KUALA LUMPUR, 8 April: Tindakan kerajaan membawa dua anggota Parlimen Bebas Zulkifli Nordin dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim bersama rombongan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat dilihat sebagai sebahagian dari 'bayaran balik'.
Ini kerana, jasa kedua-duanya memukul PKR, PAS dan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim khasnya selepas mereka meninggal parti itu perlu dibayar balik selain apa yang mereka telah terima sebelum ini.
"Nampaknya ini adalah masa untuk membayar balik dan mereka nampaknya menjadi anggota Parlimen kegemaran pemimpin BN (berbanding MP dari Umno sendiri)," kata Dr Hatta Ramli, anggota Parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily.
Tindakan ini nampaknya tidak menyenangkan anggota Parlimen BN sendiri kerana biasanya merekalah yang mendapat peluang ini.
Untuk itu, pentadbiran Datuk Seri Najib menjadikan sikap Pakatan Rakyat yang suka membuat undian belah bahagi sejak kebelakangan ini sebagai alasan.
Ia disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi pihak kerajaan BN.
"Disebabkan kekerapan MP pembangkang membuat undian secara blok (memerlukan kehadiran MP untuk mengundi) pada setiap kali sidang Parlimen, saya memutuskan bahawa tiada MP Barisan Nasional yang akan dibawa keluar negara apabila parlimen bersidang.
"Juga adalah tidak adil bagi memaksa MP pembangkang mengiringi Perdana Menteri untuk lawatan ini.
"Mereka akan menuduh saya tidak berlaku adil kerana mereka juga memerlukan jumlah berkenaan bagi pengundian secara blok.
“Jadi, yang boleh pergi ialah hanya MP Bebas,” katanya di lobi parlimen.
Ketika kecoh dengan dakwaan rasuah dan pembelian anggota Parlimen, tiga anggota Parlimen PKR keluar parti manakala seorang lagi dipecat.
Yang keluar adalah Zahrain sendiri selain Tan Tee Beng dan Mohsin Samsuri manakala Zulkifli dipecat.
"Mereka bukannya anggota bebas sebenarnya kerana setiap kali bercakap mereka menghentam PKR, PAS dan DAP," kata Tian Chua, anggota Parlimen PKR kawasan Batu.
Perdana Menteri telah bertolak ke Amerika Syarikat untuk bertemu Barack Obama manakala timbalannya ke Perancis. Kedua-dua anggota Parlimen Bebas itu dijangka akan bersama PM di Amerika Rabu depan.
No comments:
Post a Comment