ULU BERNAM 23 Apr - Pengundi di Felda Gedangsa diseru memilih calon berdasarkan kehebatan pemimpin tersebut bukannya terpengaruh dengan cercaan dan perbuatan mengaibkan calon yang bertanding.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata Umno terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga terpaksa menggunakan taktik tidak bermoral menghina calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.
"Kita kena pilih pemimpin yang mempunyai kehebatan bukan dengan mengaibkan dan menceritakan keburukan orang.
"Datuk Zaid Ibrahim ini peguam dan dulunya Menteri, tapi demi prinsip memperjuangkan untuk menghapuskan Akta Keselamatan Negara (ISA) yang tidak dipersetujui oleh Umno, maka beliau keluar parti.
"Calon Barisan Nasional, Kamalanathan kata dia ada ijazah tapi betul ke dia ada, sebelum pilihan raya lagi sudah mengaku ada ijazah," soal Fauzi yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan.
Menurutnya lagi Zaid mempunyai kaliber yang hebat dan ketokohannya akan membantu menaikkan martabat serta kebajikan rakyat Hulu Selangor.
Mengulas isu ahli KEADILAN keluar parti, Fauzi berkata perkara ini berlaku sejak zaman Umno semasa pimpinan Datuk Onn Jaafar lagi.
"Datuk Onn semasa menjadi Presiden Umno telah mengusul supaya parti disebut dibuka kepada bukan Melayu tetapi ditolak oleh ahli Umno dan menyebabkan beliau keluar parti dan menubuhkan Parti Negara.
"Isu ahli keluar parti ini perkara biasa tambahan pula semasa berlangsungnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor ini," ulas Fauzi lagi.
No comments:
Post a Comment