HULU SELANGOR, 25 April: Beberapa bas telah membawa keluar penyokong Umno/BN dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pertak kira-kira jam 3.00 pagi tadi.
Bas yang sebahagiannya penuh dengan penumpang yang dipercayai ‘pengundi hantu’ itu berjaya disekat keluar dari IKBN oleh petugas Angkatan Muda Keadilan.
Keadaan menjadi kecoh dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila penyokong Umno/BN tiba di kawasan itu, disusuli pasukan polis tidak lama kemudian.
Walaupun begitu, bas-bas berkenaan akhirnya bergerak keluar meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 6.00 pagi dengan diiringi pihak polis ke destinasi yang tidak diketahui.
Harakahdaily difahamkan, selain bas, berbelas buah kereta juga digunakan untuk membawa ‘pengundi hantu’ dari IKBN.
Dipercayai, mereka dihantar ke beberapa daerah mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang sudah mulai dibuka sejak jam 8.00 pagi tadi.
Sementara itu, Suara Keadilan online melaporkan, Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa berkata, sebanyak lima buah bas kilang didapati diparkir di luar IKBN Pertak sejak pukul 3 pagi tadi.
"Apabila kami sampai sebanyak 15 buah kereta keluar dari IKBN dan kesemua kereta mempunyai antara lima hingga enam orang.
"Kita tidak tahu sejak pukul berapa mereka melakukan operasi membawa pengundi hantu tetapi kami percaya ramai yang telah dibawa keluar," kata Fariz.
Fariz berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan tetapi sehingga kini tidak ada respons.
No comments:
Post a Comment