Followers

Monday, April 19, 2010

Dr Pornthip tidak hadir inkues Teoh Beng Hock Esok

KUALA LUMPUR, 19 April — Pendapat pakar oleh Dr Pornthip Rojanasunand yang sangat dinanti-nantikan berhubung bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock akan ditangguhkan lagi memandangkan kerajaan Selangor tidak menerima sebarang respon daripada beliau hari ini.

Seorang pegawai kerajaan negeri berkata: “Minggu lepas kami menghantar surat kepada Kementerian Kehakiman Thailand supaya mereka membantu urusan Dr Pornthip (gambar) untuk menghadiri inkues ini namun sehingga petang ini, tiada sebarang respon diterima daripada kementerian berkenaan.”

Bagaimanapun, Dr Pornthip secara tidak rasmi telah membayangkan kepada peguam negeri bahawa beliau boleh hadir, asalkan mendapat kebenaran daripada kementerian tempat beliau bertugas sekarang, katanya.

Sementara itu, ketua pendakwaan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi, mengesahkan bahawa sehingga kini, tiada sebarang bayangan daripada Dr Pornthip atau para pegawai Thai.

“Bagi kami, koroner dijadual mendengar permohonan ex-parte daripada abang Teoh iaitu Meng Kee, esok, untuk menyaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kerana menghina mahkamah,” katanya.

Jumaat lepas, Meng Kee memfailkan notis usul di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menyaman Nazri bagi kesalahan menghina mahkamah kerana mendakwa Dr Pornthip sebagai “pembohong” setelah beliau enggan menghadiri inkues itu esok, dengan mendakwa beliau berada di bawah tekanan daripada kerajaannya sendiri dan pihak berkuasa di Malaysia.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan esok untuk Dr Pornthip memberi pendapatnya sebagai seorang pakar dalam post-mortem kedua ke atas mayat Teoh yang dilakukan oleh Dr Shahidan Md Noor di Hospital Sungai Buloh pada 22 Nov tahun lepas.

Azmil turut menetapkan 26 dan 27 April untuk pakar patologi dari Britain Dr Peter Vanesis, yang dilantik oleh SPRM, memberi pendapatnya sebagai seorang pakar.

Teoh ditemui mati di Plaza Masalam di Shah Alam, yang menempatkan pejabat SPRM negeri, pada 17 Julai selepas dipanggil memberi keterangan oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri. — Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran