HULU SELANGOR, 22 April: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor bakal mengumumkan berita gembira kepada warga peneroka khususnya generasi kedua Felda Sungai Buaya berhubung isu kediaman mereka.
Pengumuman itu dijangka dibuat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 24 April ini sempena Himpunan Generasi Felda Peringkat Kebangsaan kali kedua di Felda Sungai Tengi.
Program tersebut adalah anjuran Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
Pengerusi Anak, Mazlan Aliman (gambar) berkata, hasil pertemuan dengan menteri besar, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memberi respons positif dan akan mempercepat proses mengukur kawasan kediaman generasi kedua.
"Kita akan dengar Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) buat pengumuman menggembirakan tentang perumahan ini.
"Tidak syak lagi Selangor akan menjadi negeri pertama membuat perubahan ini,” katanya ketika ditemui di tapak himpunan tersebut semalam.
Isu kediaman generasi kedua Felda adalah antara isu besar yang sedang diperjuang peneroka sejak lama dahulu.
Dengan pengumuman yang akan dibuat itu katanya, nasib generasi kedua Felda akan lebih terbela dengan mempunyai kediaman sendiri.
"Kami dah jumpa menteri, menteri besar bersilih ganti, namun tiada perubahan.
"Namun sejak dua tahun Pakatan Rakyat perintah Selangor, kita lihat jauh lebih baik berbanding kerajaan BN," tambahnya lagi.
Bidang kuasa tanah pula, katanya adalah di bawah kerajaan negeri, dan kerajaan Selangor juga sedang mengkaji status tanah di Sungai Tengi Selatan supaya diambil semula dari Felda Plantation dan diberikan kepada peserta supaya peneroka mendapat 10 ekar tanah dan kediaman mereka.
Sehubungan itu jelasnya, Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor adalah permulaan untuk warga Felda menuntut perubahan.
"Kalau kerajaan negeri Pakatan Rakyat boleh buat, kenapa Umno BN tak boleh buat? Sebab itu kena undi Datuk Zaid Ibrahim.
"Kalau tak mula di Hulu Selangor, saya tidak nampak segala kejahatan dan kezaliman Umno/BN boleh ditamatkan," katanya.
Dalam pada itu Himpunan Generasi Felda Peringkat Kebangsaan kali kedua akan bermula 23 (esok) dan berakhir 24 April ini.
Pelbagai program dan acara disediakan antaranya sukaneka, persembahan pentas, acara padang dan gerai-gerai pameran.
Manakala pada hari terakhir pula, himpunan tersebut akan dirasmikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Penasihat Ekonomi negeri Selangor, sebelum pengumuman oleh Menteri Besar.
Pada malamnya pula, pemimpin Pakatan Rakyat akan menyampaikan pidato dan ceramah termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment