PULAU PINANG, 22 April: Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria menggangap laporan Berita Harian hari ini bertajuk 'Agong tolak Mansor' bersikap melampau untuk melagakan dirinya dengan Timbalan Ketua Menteri I, Dr Mansor Othman dan pihak istana.
Beliau ketika dihubungi kesal dengan tajuk berkenaan seolah-olah beliau berselisih mengenai isu tersebut sedangkan dirinya dan Dr Mansor mempunyai hubungan yang akrab.
"Pagi tadi saya telah menelefon Dr Mansor menjelaskan keadaan sebenar supaya Dr Mansor tidak terkejut dengan tajuk berita itu. Saya langsung tidak menyentuh tentang cadangan kerajaan negeri mencadangkan Dr Mansor tetapi hanya bercakap Yang di-Pertuan Agong memperkenankan dirinya sebagai Pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) sehingga 31 Disember 2011, " terangnya.
Cerita itu sengaja direka untuk memecahkan perpaduan yang nyata kukuh walaupun jawatan YDP Maipp menjadi kontrovesi setelah Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan daripada Barisan Nasional (BN).
Akhirnya jawatan YDP Maipp telah diselesaikan dengan penuh harmoni apabila bekas YDP Maipp lalu, Shabudin Yahya meletakkan jawatan pada bulan Januari lalu.
Beliau berharap semua berita yang disiarkan menepati kehendak lojik atau apa yang disebut bukan berlandaskan motif tertentu untuk melagakan seseorang.
"Buatlah berita yang benar jangan mencipta apa yang tidak disebut, mudah-mudahan tidak menimbulkan kontroversi yang baru, " jelasnya.
No comments:
Post a Comment