KOTA BHARU, 22 April: Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir difahamkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Ahmad kecewa selepas hasratnya untuk dilantik sebagai Penyelia Dun Kuala Balah tidak tercapai menyebabkan dia kecewa.
“Saya sebenarnya sudah dengar cerita itu sebelum ini. Wan Khairul mengugut mahu keluar parti kalau tidak mendapat jawatan yang diimpikan.
“Bagi saya setiap pejuang perlu berjiwa besar dan tidak boleh mudah merajuk kalau tidak dapat apa yang diimpikan,” katanya.
Abdul Aziz yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, beliau difahamkan hasrat Wan Khairul membawa keluar lebih ramai pemuda termasuk AMK Cabang Ketereh gagal.
”Lebih menghairankan juga apabila bekas Setiausaha AMK Kelantan, Muhammad Ezri Zainal Abidin yang telah lama dipecat diumumkan keluar bersama Wan Khairul.
“Sedangkan Ezri tidak lagi memegang jawatan berkenaan, Setiausaha AMK Kelantan sekarang Tarmizi Mohd Yusof dari Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi di parlimen.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan Wan Khairul mengumumkan keluar PKR pada satu sidang akhbar tanpa diberitahu tempatnya.
Beliau dilaporkan berkata, tindakannya itu kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Jika ditoleh ke belakang, beberapa hari menjelang pilihan raya umum ke-12 lalu, dua pemimpin parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan membuat pengumuman keluar dari parti itu di sebuah hotel di tepi sungai.
Bekas pemimpin PKR Gua Musang, Nor Azman Mohd Amin dan Abdul Hamid Ahmad mengumumkan keluar parti terbabit. Hadir sama pada pengumuman tersebut pemimpin Umno Kelantan.
Sekarang mereka tiada lagi dalam arus politik, biar pun mungkin mengharap mendapat imbalan kalau-kalau Umno dapat merampas Kelantan pada pilihan raya tersebut.
Hari ini langkah serupa diambil Wan Khairul Ihsan apabila mengumumkan keluar parti berkenaan.
Namun pengumuman itu bukan dibuat di Kelantan sebaliknya di Selangor.
Difahamkan petang semalam, beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment