Followers

Tuesday, October 26, 2010

Taraf hospital tentera diturunkan, kos tetap sama

Hospital Angkatan Tentera di kem Kinrara, Puchong yang dikenali sebagai '95 Hospital ATM' dibina di bawah tahap spesifikasi sekalipun harga asalnya dikekalkan.

Dibina pada harga sebanyak RM267.89 juta, kontraktor dikatakan mengambil jalan mudah dengan membuat pindaan terhadap skop kerja - tanpa memaklumkan kepada Kementerian Kewangan.

Ia termasuklah membatalkan pemasangan penghawa dingin di semua kawasan koridor dan laluan di bangunan hospital.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, didapati beberapa skop kerja diturunkan tarafnya termasuklah:

  • Keluasan bangunan hospital dikurangkan sebanyak 7,000 meter persegi.
  • Mengurangkan sistem interkom kepada 15 stesen kritikal sahaja berbanding 52 stesten yang sepatutnya.
  • Kemudahan seperti rumah keluarga untuk pegawai dan pangkat-pangkat lain, Wisma Perwira serta Wisma Bintara tidak dibangunkan atau dibina.
  • Peralatan perubatan telah dikurangkan kepada 60 peratus daripada sasaran asal.
Laporan ini juga mendapati bahawa Project Management Consultant (PMC) - penyelaras antara klien dan kontraktor - QMC Project Sdn Bhd, dikatakan telah bertindak secara tidak profesional dan ini menyebabkan "kesalahfahaman" terhadap kos projek.

"Secara realistik tidak berlaku sebarang pengurang skop tetapi kesalahfahaman dan perkhidmatan PMC yang tidak profesional," laporan itu dipetik.

Pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pas di Galas

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 Nov ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, manakala calon Pas ialah Dr Zulkefli Mohamad, 44, ialah Pemangku Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang.

Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid mengumumkan nama kedua-dua calon itu pada 11 pagi.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti itu.

Abdul Aziz, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi dan Dr Zulkefli, menyerahkan borang pencalonannya pada 9.30 pagi.

Proses pencalonan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Presiden Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang menyatakan akan meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil ini, tidak muncul pada penamaan calon hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Galas merupakan yang kedua di Kelantan selepas Pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai 2009 dan pilihan raya kecil yang ke-12 berlangsung di seluruh negara selepas pilihan raya umum 2008.

Tindakan Ku Li jadi tanda tanya

Tindakan Pengarah Pilihan raya Umno BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak turut serta masuk ke pusat pusat penamaan menimbulkan tanda tanya.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, beliau mengharap ianya satu signal positif dan akan memberi kelebihan kepada calon PAS, Dr ulkefli Mohamad.

Bagi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed pula, beliau menjelaskan tindakan Ahli parlimen Gua Musang itu kerana beliau lebih selesa bersama rakyat.

Walaupun proses penamaan calon belum selesai, namun difahamkan Ku Li dan Datuk Ahmad Shabery Cheek telah beredar kira-kira jam 10.00 pagi. sumber harakahdaily

Monday, October 25, 2010

Sekolah Cina, badan bukan Islam terima bantuan

Sekolah persendirian Cina dan badan agama Bukan Islam di Sandakan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Sabah untuk membina dan memperbaiki prasarana mereka.

Bantuan yang disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada majlis di SJK(C) Chi Hwa di Sandakan malam tadi juga bertujuan membiayai aktiviti sekolah-sekolah dan badan-badan agama bukan Islam berkenaan.

Sekolah persendirian Cina termasuk sekolah menengah dan taman asuhan kanak-kanak menerima sumbangan berjumlah RM1.6 juta, berbanding RM1.53 juta tahun lalu.

Badan agama bukan Islam di Sandakan pula menerima bantuan sebanyak RM2.54 juta dengan RM1.39 juta untuk tokong Cina, RM1.1 juta untuk gereja dan RM50 ribu lagi untuk kuil Hindu.

Wakil sekolah persendirian aliran Cina dan badan agama bukan Islam menyambut baik sumbangan kewangan berkenaan kerana ia dapat meringankan beban mereka yang selama ini banyak bergantung kepada sumbangan masyarakat.

"Mereka yang hadir di sini untuk menerima bantuan bukan sahaja rakyat biasa tetapi juga wakil sekolah bantuan kerajaan dan persendirian. Mereka semua mendapat bahagian masing-masing daripada kerajaan negeri.

"Ini sangat baik kerana kita mempunyai kerajaan negeri yang prihatin," kata wakil gereja Katolik Sandakan, Bishop Julius Dusin Gitom.

Julius berharap program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang serta ditingkatkan jumlahnya jika kerajaan mempunyai kemampuan kerana penerima seperti sekolah-sekolah mubaligh bergantung kepada sumbangan orang awam untuk membiayai pengurusannya.

Wakil masyarakat Cina, Tan Sri Andrew Liew pula berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan itu dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.

Terdahulu, Musa dalam ucapannya berkata, kesediaan kerajaan memberikan bantuan itu kepada badan-badan agama bukan Islam mencerminkan jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memelihara kebebasan beragama di negeri itu.

Beliau berharap badan-badan agama berkenaan akan terus menggalakkan pembangunan kerohanian di kalangan masyarakat bagi membendung pelbagai penyakit sosial masa kini.

Musa berkata, bantuan itu juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan BN untuk melahirkan modal insan cemerlang yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara sesuai dengan hasrat negara menjadi negara maju menjelang 2020.

Pada 2008, kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM8 juta untuk sekolah-sekolah dan badan-badan agama bukan Islam di Sabah dan tahun lalu jumlah itu dinaikkan kepada RM10 juta.

- Bernama

Sunday, October 24, 2010

Bersedialah Pakatan Rakyat

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan bahawa pilihan raya umum mungkin akan dilakukan dalam masa beberapa bulan saja lagi.

"Masa di depan kita tidak banyak lagi. Saya tidak pasti bila PM hendak umum pilihan raya tapi hanya tinggal beberapa bulan saja ke hadapan.

"Mahu tidak mahu kita kena hadapi rakyat dalam pilihan raya akan datang," katanya ketia menyampaikan ucapan penggulungan dalam mesyuarat agung Umno 2010 hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak pula masih berteka-teki tentang kemungkinan pilihan raya umum akan dijalankan dalam tempoh yang dekat.

Katanya, pada masa ini beliau masih perlu memberi tumpuan kepada "kerja-kerja kerajaan."

Perdana menteri menambah, sekarang ini negara masih berdepan dengan krisis ekonomi yang serius.

"Jadi bila kita dah selesai (baru adakan pilihan raya)," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.

Katanya lagi, beliau melihat bahawa pemulihan ekonomi yang dijalankannya berjalan dengan mantap.

"Pelan transformasi pun dah kita rumuskan dengan begitu teliti.

"Insya-Allah hari Isnin ini akan ada pengumuman yang besar berhubung GTP (Pelan Transformasi Kerajaan) dan bererti segala perancangan kita dah sedia untuk dimulakan," katanya lagi.

Tambahnya, beliau dan timbalannya juga akan mengikuti program untuk bertemu dengan rakyat di seluruh negara.

Ditanya sekiranya program itu merupakan petanda bahawa pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi, Najib berkata langkah itu boleh diinterpretasikan dalam banyak cara.

"Saya ada susunan dalam menjalankan sesuatu," katanya lagi.

Friday, October 22, 2010

Kerja Islam Atau Umno?

Kume nak tolong bagitau, ini kroje orang yang cium tangan mike dulu..

ya le orang ni le...


(gambar dipetik dari peraktoday.com edisi 17 okt 2010 )

membaca doa sebelum memulakan upacara meletakkan ancak ke tiang seri salah sebuah rumah Projek Infra Bina Upaya (IBU)-Kampung Guar, Manong
DS Zambry memulakan upacara khurafat tersebut
Merenjis-renjis ancak ke tapak untuk dinaikkan tiang seri
Yah itu upacara mengikat ancak ketiang seri, maka dengan upacara ini akan tidak diganggu oleh jin-jin tanah di situ.

GreenBoy - ooo patutle dia tak datang muzakarah rupanya ada upacara khurafat rupanya, Ostad yang selalu buat kuliah di rumah Menteri Besar kena tegur ajaran songsang ni..saya menyeru kepada mereka yang melakukan kerja khurafat seperti ini bertaubatlah...

Festival Busana Muslim Ala Hadhari

Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.
Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.

Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: "Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif," katanya.

Wednesday, October 20, 2010

Seruan 5G Kepada Tiga Sayap Umno

Perhimpunan agung tiga sayap Umno tahun ini bermula dengan seruan daripada ketua-ketua sayapnya supaya anggota parti mengamalkan budaya politik baru ke arah kesederhanaan.

Namun indikasi yang ditunjukkan daripada para perwakilan setakat ini dilihat masih belum menunjukkan bahawa saranan berkenaan diterima dengan baik.

Istilah yang diperkenalkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya seperti "manhaj" (kaedah) dan "maqassid" (tujuan) dalam mencapai "politik baru" itu juga nampaknya diabaikan oleh para perwakilan di perhimpunan Pemuda petang ini.

Sebaliknya tumpuan dalam perbahasan perwakilan antaranya berkisar kepada wakil Pemuda Kedah, Basorri Hassan dalam menilai prestasi Khairy sebagai ketua pergerakan tersebut.

Basorri nyata kesal apabila Khairy tidak berjaya memperkukuhkan pergerakan pemuda di negeri itu. Keadaan ini dikhuatirinya akan menjejaskan peluang Umno untuk merampas kembali pentadbiran negeri itu.

Malah, beliau juga seolah-olah cuba mencabar seruan oleh Khairy supaya pergerakan itu mengambil pandangan yang lebih sederhana dalam memperjuangkan isu melibatkan kepentingan Melayu.

Tanpa berselindung, Basorri dalam sesi perbahasan ucapan dasar ketua pergerakannya petang ini berkata, Khairy lebih banyak "bergaduh" dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) daripada menjalankan usaha untuk "memperkasakan" pergerakan itu di Kedah.

"Pemuda sendiri di pusat jangan tengok kawan di bawah kecil, tapi kena ingat yang bawah juga tengok orang di atas kecil," katanya yang seolah-olah kecewa kerana menyokong Khairy dalam pemilihan lalu.

Basorri berkata, beliau merupakan satu-satunya ketua pemuda di negeri itu yang menyokong Khairy sebagai ketua sayap pergerakan tersebut.

3G - gemuk, gempal dan gebu

Umum mengetahui, Kedah dipengaruhi kuat oleh Datuk Mukhriz Mahathir -- anak kepada bekas presiden Umno yang sering dianggap tidak sebulu dengan Khairy.

Khairy dalam ucapan penggulungannya kemudian memulangkan paku buah keras kepada Basorri.

Dengan sinis, Khairy menyimpulkan bahawa pandangan seperti itu merupakan antara sikap yang patut dikikis oleh pemuda Umno sekiranya anggotanya ingin memperkukuhkan pergerakan tersebut.

Menurut Khairy, ramai di kalangan anggota Pemuda yang menyatakan bahawa mereka sayang kepada parti, namun lebih banyak berfikir untuk memenangi pemilihan parti.

Katanya lagi, anggota parti sebaliknya perlu mencontohi kesepakatan yang ditunjukkan dalam Pakatan Rakyat -- "Kalaupun mereka tidak sokong (pemimpin tertentu) dalam parti, kalau ada orang parti mereka kena serang, mereka akan bangun pertahankan."

Sementara itu di sayap Puteri pula, tahap perbahasan perwakilannya dilihat agak mengecewakan untuk perhimpunan seperti ini.

Isu yang menarik perhatian dan dilaporkan agensi berita ialah isu "3G" -- iaitu keadaan fizikal anggota pergerakan tersebut yang "gemuk, gempal dan gebu."

Perkara itu dibangkitkan wakil Perak yang mengaitkannya dengan tahap obesiti di Malaysia.

"Bagaimanapun bukan wanita saja yang ada 3G tetapi lelaki pun ada 3G siap tambah 2G lagi, iaitu gendut dan gondol, jadilah 5G," katanya, seperti dilaporkan Bernama.

Tuesday, October 19, 2010

Rosmah Mansur bangga habiskan duit rakyat

Urusan perjalanan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin naik mendadak sehingga melebihi 75.2 peratus daripada perangkaan 2008.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata jumlah kos 1,102 pegawai yang men...giringi Najib dan Muhyiddin sejak 2008 berjumlah RM21.45 juta.

Soalan berkenaan dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang ingin tahu jumlah pegawai yang mengiringi kedua-dua pemimpin berkenaan apabila mereka membuat lawatan rasmi.

“Pada 2008, kos lawatan perdana menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan timbalannya ketika itu (Najib) adalah RM5,597,583.20,” kata Chua.

Menurut beliau, apabila Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009 kos lawatan perdana menteri dan timbalannya terus meningkat kepada RM6,041,934.35 dan jumlah itu melambung kepada RM9,807,310.63 bagi tahun ini.

Membanding jumlah lawatan, Chua berkata antara 2008 hingga 2009, kos perbelanjaan perjalanan adalah 7.94 peratus manakala daripada 2009 hingga 2010 ia naik kepada 62.32 peratus.

“Saya percaya semasa lawatan rasmi jabatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri terpaksa membayar perbelanjaan boros isteri perdana menteri,” katanya.

“Rosmah Mansor (kanan) mempunyai rekod sebagai berbelanja besar di London pada 2008, saya percaya jumlah kos yang tinggi itu adalah untuk menampung perbelanjaan isterinya, sebagai contoh lawatan (Rosmah) ke Forum Antarabangsa Wanita di Washington dan New York pada Mei lalu,” kata Chua dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jawapan kepada soalan kedua Tian berhubung kos pengurusan dan pembangunan Jabatan Perdana Menteri, timbalannya serta agensi berkaitan mendedahkan jumlah itu yang berjumlah RM4.3 bilion pada 2006 melonjak kepada RM10.2 bilion tahun lalu.

“Ini bermakna ia meningkat 136 peratus dan ini tidak termasuk perbelanjaan tambahan,” kata Tian.

Pada pementangan Bajet 2011, Jumaat lalu, Najib mengumumkan peruntukkan RM18.14 bilion kepada Jabatan Perdana Menteri.

Peruntukan itu mewakili 8.55 peratus daripada jumlah peruntukan bajet yang bernilai RM212 bilion.

“Ia menerima peruntukan ketiga terbesar mengikut agihan kementerian dengan RM35.76 billion untuk Kementerian Pelajaran dan RM31.2 bilion untuk Kementerian Kewangan,” kata Tian.

Sunday, October 17, 2010

DAP: PM nyalakan 'api perkauman'

DAP menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan "kepalsuan dan retorik" untuk orang mengapi-apikan kemarahan pegawai kerajaan daripada kalangan orang Melayu bagi memastikan mereka terus menyokong kerajaan.

"Perdana menteri menunjukkan sikap sebenarnya apabila beliau menghukum pegawai kerajaan yang tidak menunjukkan kesetiaan membuta tuli kepada Umno," kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada ucapan perdana menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Pua menuding kepada dua kenyataan Najib semalam yang didakwa membangkitkan prejudis kaum:

"Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan?

"Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan UMNO tapi orang sebelah sana," Najib dipetik sebagai berkata.

Pua yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan kenyataan Najib itu menggambarkannya "sebagai hulubalang PERKASA sebenar".

Ini, menurut Pua, antara sebab kenapa Najib mengambil tindakan tidak mengkritik PERKASA untuk "kedudukan ekstrim dan rasis yang berterusan" walaupun NGO itu didakwa meningkatkan ketegangan antara kaum.

Saturday, October 16, 2010

Biarlah Umurnya Sampai PRU 13

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kini dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung.

Beliau yang juga adalah presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dijadual menjalani pembedahan jantung Isnin ini.
Pada 13 Oktober lalu, Ibrahim ketika dibidas pelbagai pihak kerana didakwa gagal berdiri ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati kematian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mendakwa tindakannya itu kerana kakinya kebas.

Katanya, ia akibat penyakit kencing manis dan rawatan perubatan yang diterimanya itu menyebabkann beliau seringkali mengantuk dan kadang-kadang sengal-sengal di kaki.

"Saya ada kencing manis, jadi kadang-kadang mata saya berair, kaki saya kebas dan kalau tak ada kawan saya mungkin tertidur."

Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada tekanan yang dihadapinya sejak akhir-akhir ini termasuk tindakan Istana Kelantan Rabu lalu yang melucutkan gelaran 'Datuk Paduka' ke atasnya itu menyumbang kepada masalah kesihatannya.

Pingat Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

Walaupun pingatnya ditarik balik oleh Sultan Kelantan sekarang, namun Ibrahim masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Ditempatkan di ICU

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya.

Abdul Rahman berkata pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lalu namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang ini.

Abdul Rahman berkata PERKASA akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada pukul 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu.

Bajet utamakan BN, petanda pilihan raya dekat

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN.

Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

"Pembentangan bajet memperlihatkan imbuhan yang pelbagai oleh kerajaan, namun adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut?" soalnya.

Menurut Lim, bagi mempertingkatkan pendapatan negara, kerajaan harus beri tumpuan terhadap tenaga kerja yang akan menjana ekonomi.

"Mengapa perlu bangunan 100 tingkat? Mereka perlu beri tumpuan kepada orang (rakyat) yang akan menjana ekonomi. Kita perlukan skil (kemahiran) dan pengalaman. Bukan insfrastruktur mega," kata ahli parlimen Bagan itu.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka.

"Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.

"Ia tidak mencapai matlamat rakyat bawahan. Transformasi ekonomi ini tidak dapat diterjemahkan dengan bajet kepada golongan sasar tapi lebih kepada projek mega yang akan mensasarkan golongan tertentu sahaja," kata Salahuddin.

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya.

"Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Friday, October 15, 2010

Ini Bajet RM Bukan Rakyat Malaysia

Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Razak Najib terganggu seketika dengan nama isterinya ditimbulkan oleh pihak pembangkang ketika beliau mengumumkan langkah menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia.

Ia bermula apabila Najib mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan pelancongan dan rakyat tempatan dimansuhkan.

“Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut...” kata Najib sambil kedengaran gelak ketawa dari ahli parlimen.

Beberapa ahli parlimen kemudiannya melaungkan “Rosmah!” disambut gelak ketawa rakan-rakan mereka.

Najib senyum sinis dan memperlahankan bacaan teks ucapannya sambil menyambung: “Pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.”

Dan sekali lagi lebih ramai yang ketawa.

Namun, sindiran paling tajam dilemparkan ketika Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dengan kuat menjerit “Rosmah! Rosmah!”, sambil sekali lagi disambut Najib dengan senyuman sinis.

Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Pembangkang, khususnya PAS berang kerana walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi, namum program PERTAMA yang diuruskannya didakwa seakan mendapat bajet 'istImewa'.

Ini berbanding peruntukkan RM95 juta sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Pembentangan bajet ini juga mendapat sambutan serta bidasan di twitter.

"Pengurangan cukai untuk beg, penyembur rambut, minyak wangi... hadiah Krismas awal Najib untuk Rosmah? Tulis MP Serdang Teo Nie Ching.

"Ini macam Bajet RM (Rosmah Mansor)," jawab MP Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Wednesday, October 13, 2010

Projek pangkalan udara Sg Besi dimeterai tanpa LOI

Jawapan bertulis daripada Kementerian Pertahanan berhubung pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat hari ini menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan berhubung projek kontroversial itu.

Menurut kementerian pertahanan, kerajaan pada dasarnya telah menerima cadangan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menterti kewangan.

Bagaimanapun, tidak ada surat menyatakan hasrat atau letter of intent (LOI) dikeluarkan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu).

Chua berkata malah, 1MDB juga telah memeterai perjanjian dengan Mubadala Development yang beribu-pejabat di Abu Dhabi bagi membangunkan semula pangkalan udara seluas 458 ekar itu.

Perjanjian yang dimeterai pada Jumaat lalu itu akan menyaksikan pembangunan semula pangkalan udara di Lembah Klang itu untuk dimasukkan ke Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIFD).

Projek yang dikenali sebagai 'Greater Kuala Lumpur ' itu dijangka menelan belanja RM26 bilion. Permeteraian kedua-dua syarikat itu disaksikan oleh Najib.

"Jika benar 1MDB memeterai perjanjian minggu lalu, jawapan Zahid adalah menggelirukan kerana sesebuah projek tidak boleh diberikan kepada sesebuah syarikat tanpa LOI," kata Chua.

Tambahnya lagi, keselamatan negara juga menjadi satu isu kerana pemindahan pangkalan udara itu juga akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk mencari tapak atau lokasi yang strategik.

"Kita terpaksa kaji bagaimana tindakan itu akan menjejaskan keselamatan sesebuah bandaraya. Ada beberapa negara di dunia yang tidak mempunyai perlindungan ketenteraan udara bagi melindungi ibu negara mereka,” kata Chua sambil memberikan contoh, pangkalan udara Andrews di Maryland, Amerika Syarikat yang terletak 13 kilometer dari ibu negara pentadbiran negara itu di Washington DC.

Tuesday, October 12, 2010

CAP: Harga rokok patut naik RM30 sekotak

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat, bagi mengawal tabiat merokok, harganya perlu dinaikkan kepada RM30 sekotak.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata, harga produk tembakau itu harus dinaikkan lebih tinggi untuk mencegah orang ramai membelinya.

"Membeli dua kotak sehari masih mampu kepada kebanyakan orang, jadi harga sekotak rokok perlu dinaikkan kepada RM30.

"Rakyat Singapura membayar RM35.40 sekotak dan rakyat Norway RM22," kata SM Mohamed (kiri).

Pada 5 Oktober lalu, kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi rokok sebanyak tiga sen sebatang, berkuatkuasa 1 Oktober.

Dengan kenaikan itu, amaun kenaikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang ialah kira-kira 63 sen, iaitu 60 sen daripada duti eksais dan tiga sen daripada cukai jualan.

Sebelum ini, kadar duti eksais bagi rokok ialah 19 sen dan 20 peratus sebatang.

Lesen kepada peruncit

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kenaikan hampir 70 sen sekarang tidak menjadi sebarang perbezaan kepada poket perokok.

"Jadi apakah langkah yang dilakukan ini sejak ia dilaksanakan dua minggu yang lalu?

"Adakah ia telah menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan tabiat buruk, tidak sihat dan boleh membunuh ini? Atau menambahkan lagi pendapatan kerajaan?" soalnya.

SM Mohamad berkata, rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk dijual di tempat awam seperti restoran, kedai kopi, pasar raya atau kedai runcit atau di tempat tumpuan remaja.

Beliau turut mencadangkan kedai runcit diberikan lesen khusus yang tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

"Hanya dengan cara ini maka ia (usaha membanteras rokok) akan dipandang serius," kata SM Mohamad sambil menyenaraikan pelbagai kesan negatif akibat merokok.

Mengambil contoh negara lain, beliau juga memberitahu terdapat, Australia telah menetapkan rokok mestilah dijual dalam kotak biasa yang kosong dan tidak menarik menjelang 1 Julai 2012.

Ibrahim Ali didakwa tidak hormati mendiang Chong

Ahli parlimen pembangkang hari ini membidas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), yang dikatakan tidak berdiri dan terus bercakap di telefon ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati pemergian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah.

Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata presiden PERKASA itu tidak sopan dan "sengaja memprovokasi", dan memberi amaran bahawa wakil rakyat pembangkang boleh mengemukakan usul terhadap Ibrahim.

ibrahim ali press conference at his home in taman melawatiBercakap di lobi Parlimen, Khalid berkata, seorang rakan MP telah meninggal dan ia hanya satu minit bertafakur sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, katanya, Ibrahim terus duduk dan bercakap dengan kuat di telefon, seperti mahu menunjukkan semangatnya sebagai juara Melayu.





Menurut Khalid lagi, jelas kepada semua ahli parlimen yang Ibrahim sedang bercakap di telefon kerana hanya suaranya sahaja yang kedengaran sedangkan orang lain diam bertafakur.


Khalid berkata, walaupun Ibrahim akhirnya berdiri, tetapi hanya pada penghujungnya.

Dalam SMS kepada Malaysiakini lewat petang ini, Ibrahim mendakwa tuduhan terhadapnya itu adalah tidak benar.

"Saya bangun. Cuma lewat sikit. Tak sampai sesaat. Kalau kata saya tak berdiri hormat adalah dusta," demikian kandungan SMS tersebut.

Dalam SMS tambahan yang dihantar Ibrahim selepas itu, beliau menulis: "Tak kan la hal macam ni pun jadi isu... Saya bangun dan masih bertafakur. Cuma lambat sikit. Tak Sampai sesaat."

Monday, October 11, 2010

Chua Soi Lek Persoal Ekuiti Bumiputera

Dr Chua Soi Lek


Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengulangi keperluan untuk kerajaan menyemak semula sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera sejajar dengan Plan Transformasi Ekonomi (ETP).













Beliau berkata ini juga bagi membolehkan kek ekonomi negara terus berkembang dan mencapai sasaran pertumbuhan pendapatan tinggi sebanyak enam peratus setiap tahun.Beliau berkata 12 sektor ekonomi utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) termasuk minyak dan gas dan telekomunikasi, juga perlu diliberalisasikan.

Bercakap kepada pemberita selepas berakhirnya perhimpunan agung tahunan ke-57 MCA di Wisma MCA di sini, Dr Chua berkata elemen berkenaan amat penting untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

“Setiap warga Malaysia adalah pemegang kepentingan dalam negara ini. Jadi apabila wujud pertumbuhan ekonomi yang baik, setiap orang akan mendapat sekeping daripada kek ekonomi itu.

“Bagaimanapun jika kita tidak berupaya meliberalisasi dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik, maka kek ekonomi dan kepingannya yang akan kita peroleh akan menjadi sangat terhad,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Chua menegaskan bahawa ini tidak bermakna “merompak Ali untuk membayar Ah Chong atau sebaliknya”.

Ditanya sama ada parti itu bersedia untuk tidak sependapat dengan Umno berhubung isu nasional tertentu, Dr Chua berkata MCA, sebagai parti politik mono etnik dalam sebuah negara majmuk, harus sentiasa perlu menerima kepelbagaian politik dalam semua parti, namun begitu kepentingan nasional perlu mengatasi kepentingan parti. — Bernama

Satu Lagi PRK Akan Di Adakan

Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya semalam.

Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi.

“Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia merupakan kubu kuat BN,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian di Kota Kinabalu semalam, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengenai kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

“Saya kehilangan seorang rakan khususnya dalam perjuangan BN di Batu Sapi. Beliau merupakan seorang Anggota Parlimen yang bekerja kuat untuk parti dan prihatin dengan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan berharap isteri serta anak-anaknya bersabar menghadapi dugaan itu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari Umno dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lepas. — Bernama

Friday, October 8, 2010

Zunar, Malaysiakini dapat kebenaran cabar KDN

Penulis kartun, Zunar dan Malaysiakini hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam yang mengharamkan buku kartun Perak Darul Kartun dan 1Funny Malaysia.

Dalam semakan kehakiman, kebenaran untuk mencabar keputusan berkenaan perlu dipohon kerana ia bukan hak automatik.

Kebenaran itu diberikan oleh hakim Mohd Zawwawi Salleh di kamarnya setelah mendengan hujah kedua-dua pihak - peguam K Shanmuga dan pendakwa raya kanan persekutuan Noorhisham Ismail.

Noorhisham tidak membantah permohonan kebenaran berkenaan.

Shanmuga berkata hakim Zawawi kemudiannya menetapkan 4 November bagi tarikh sebutan kes.

Pada 26 Julai lalu, Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Mahmood Adam dipetik media sebagai berkata buku-buku itu diharamkan kerana kementerian dalam negeri mendapati ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

Beliau dipetik berkata bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Menurutnya lagi, ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," kata Mahmood.

1Funny Malaysia, diterbitkan pada Disember tahun lalu adalah satu kompilasi kartun Zunar yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak 2005 hingga 2009.

Perak Darul Kartun pula diterbitkan oleh syarikat Zunar - Sepakat Efektif Sdn Bhd dan memapar karya beberapa kartunis Malaysia yang lain, termasuk Zunar.

Thursday, October 7, 2010

PERKASA jadi 'raksasa' kerana media UMNO

Media yang memberi liputan terlalu luas kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) sehingga NGO tersebut kini menjadi begitu popular dan ditakuti masyarakat, kata setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau menyifatkan PERKASA sebagai satu makhluk raksasa yang mengerikan, dan menyalahkan media kerana menyebabkan pertubuhan berkenaan dipandang sedemikian.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, beliau cuba mententeramkan keadaan dengan mengatakan PERKASA juga sama seperti pertubuhan lain yang memperjuangkan hak kaum masing-masing di negara ini seperti Dong Jiao Zong.

“PERKASA cuma satu NGO, ada banyak lagi NGO lain. Kita akan bersama dengan mana-mana NGO yang boleh membantu kita," katanya ketika ditanya mengenai hubungan di antara Umno dengan pertubuhan tersebut.

Beliau ditanya demikian, susulan daripada kenyataannya yang bercanggah sebelum ini mengenai hubungan antara Umno dan BN dengan PERKASA.

Ketika bercakap kepada sebuah portal berita, Tengku Adnan dilaporkan telah menyatakan pendirian bahawa BN perlu menjauhkan diri daripada PERKASA kerana tindakan pertubuhan itu telah menghakis sokongan bukan Melayu kepada parti berkenaan.

Beliau juga memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa PERKASA telah menjadi satu bebanan kepada BN kerana pertubuhan yang diketuai ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali itu sering berbalah dengan pemimpin parti itu.

Media dipersalahkan

Bagaimanapun, beliau mengambil pendirian berbeza, susulan daripada kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 17 September lalu bahawa parti itu tidak berdepan sebarang masalah dengan PERKASA walaupun terdapat usaha di kalangan pemimpin Umno untuk menjauhkan diri daripada pertubuhan itu.

Tengku Adnan berkata, pihak media yang sepatutnya dipersalahkan kerana memperbesar-besarkan isu mengenai PERKASA.

“Kenapa anda bercakap tentang PERKASA? Siapa yang cipta PERKASA? Anda semualah, (pihak) media. Bagi saya, kalau ikutkan saya, saya akan 'black out' berita mengenainya.

"Ada banyak lagi NGO lain, kenapa tidak bercakap tentang mereka?" soalnya yang nyata tidak senang apabila diajukan soalan berkenaan.

PERKASA dilihat telah menyaingi fungsi Umno dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu dan mendakwa telah menarik pengaruh yang besar di kalangan anggota masyarakat tersebut - dengan keahlian yang didakwa mencecah 200,000 orang di seluruh negara.

Sebanyak 60 peratus daripada ahlinya juga merupakan ahli Umno, seperti yang didakwa oleh presidennya sendiri sebelum ini.

Apabila ditanya sejauhmana benarnya dakwaan itu, Tengku Adnan sekadar berkata, Umno tidak menyekat mana-mana ahlinya untuk menyertai pertubuhan lain.

“Umno ada ahli dalam pelbagai NGO seperti Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) dan PERKASA. Saya juga di dalam Abim sebelum ini, sebab bagi kita, kita mahu berkhidmat kepada masyarakat," tambahnya.

Muhyiddin 'berubah' kerana kerusi no 1

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, mantan bosnya Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berubah menggunakan pendekatan “mengapi-apikan sentimen Melayu” disebabkan penangan kerusi perdana menteri yang sedang diintainya.

Mustaffa – bekas setiausaha politik Muhyiddin selama empat tahun sehingga Disember 2008 - berkata perkara itu juga disebabkan keadaan politik sekarang berbeza berbanding ketika Muhyididin memimpin kementerian belia dan sukan lebih sepuluh tahun lalu.

“Ada perbezaan pendekatan sebab dalam hal sekarang ini, beliau sudah mula mengintai kerusi nombor satu negara,” katanya ketika ditanya sama ada Muhyididin masih merupakan orang yang sama.

“Jadi sebab itu (sekarang ini), segala langkah yang beliau (Muhyiddin) ambil, sifatnya adalah untuk mengintai peluang kerusi nombor satu negara.”

Mustaffa - yang meletakkan jawatan bagi menyertai reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim – berkata, pendekatan Muhyididin kini “berganjak” kerana kedudukannya dalam Umno tidak lagi “terancam”.

Sebelum ini, menurut Mustaffa, Muhyiddin bergelut membuang label sebagai “orang kanan Anwar”, antaranya kerana menjadi antara menteri terawal melawat Anwar setelah dibebaskan daripada penjara.

Alat Dr Mahathir

“Sehingga dalam banyak keadaan (pada masa itu) beliau agak tersisih daripada arus perdana politik (perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) pada masa itu.

“Tetapi kini beliau sudah dapat rasakan ada kekuatan yang tersendiri, oleh itu pendekatan dan imej yang beliau ketengahkan agak berbeza berbanding 10 tahun lalu,” kata aktivis belia dan NGO Islam itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur tengah hari semalam, Mustaffa tidak menolak kemungkinan timbalan perdana menteri “yang sukar senyum tetapi berhati baik” itu mungkin diperalatkan Dr Mahathir bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam konteks politik Umno, hal itu mungkin saja berlaku,” katanya sambil berkata perkara itu mungkin bertujuan mempertahankan legasi panjang pemerintahan Dr Mahathir sebelum ini.

Tanpa segan, Mustaffa - yang kini mengorak perjalanan politiknya sendiri melalui PKR dan mula menggapai kedudukannya yang sama dengan Muhyiddin dalam Umno sebagai timbalan – sanggup berdebat dengan mantan bosnya itu berhubung isu Melayu.

“Apa yang tidak betul, kita akan kritik, termasuk (isu) yang terbaru ini. Beliau yang kita faham berada di belakang PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) membawa sentimen Melayu... Dan saya sedia mencabar beliau (nyatakan) juga bagaimana bentuk Melayu yang kita ketengahkan?

Tiga persamaan dengan Muhyididin

“Apakah Melayu yang boleh mengizinkan rasuah boleh berleluasa? Atau apakah pimpinan Melayu boleh membenarkan penyelewengan wang rakyat terbiar begitu sahaja?” soal Mustaffa bertubi-tubi.

“Jika ingin beliau gunakan sebagai alat untuk memenuhi aspirasi serta serakah politik Umno, itu kita akan serang habis-habisan. Dan jika beliau ingin berdebat, kita juga sedia berdebat dengan beliau dalam hal itu.”

Menurut analisis Mustaffa juga, dalam masa yang sama pendekatan Muhyiddin dilihat berbeza dengan Najib yang menurutnya cuba mengambil hati masyarakat bukan Melayu.

“Itu sifatnya (politik) pedang bermata dua, double standard dalam politik yang mereka lakukan,” kata Mustaffa.

Menegaskan PKR mengamalkan politik nilai yang tidak berasaskan perkauman, 'politik lama' Umno dan BN itu sudah mula pecah, terutamanya apabila peneroka Felda dan Felcra sebagai penyokong kuat kerajaan didakwa sudah berubah.

Bagaimanapun, di sebalik semua kritikan keras itu, Mustaffa mengakui, beliau pada 12 tahun lalu berkongsi tiga persamaan dengan Muhyididin, iaitu saling menekuni aspek kepemudaan, hampir dengan nilai keagamaan dan memberi “dokongan baik” kepada Anwar.

Karektor itulah yang mungkin mewujudkan keserasian antara mereka dalam satu pasukan, akui Mustaffa.

Latheefa Nafi Dakwaan Rahimi, Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang

latheefa2





Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Latheefa Koya menafikan sekeras- kerasnya dakwaan Rahimi Osman bahawa beliau memaksa bekas pembantu Datuk Seri Anwar itu menandatangani dua akuan bersumpah berhubung pembabitan Perdana Menteri dan isterinya dalam konspirasi Fitnah II terhadap Ketua Oposisi.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan apa-apa paksaan ke atasnya. Dia pada ketika itu adalah salah seorang saksi berkaitan kes DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Sebagai peguam pasukan pembelaan, kami hanya semata-mata menyediakan kenyataan untuk saksi-saksi yang berkenaan. Ini merupakan cara lazim dalam sesuatu pembelaan. Dia telah secara sukarela bekerjasama pada setiap masa," kata Latheefa dalam satu SMS kepada Suara Keadilan petang tadi.

Latheefa berkata adalah tidak masuk akal dan ganjil Rahimi menunggu lebih dua tahun untuk mengatakan beliau dipaksa menandatangi surat akuan yang tidak pun pernah digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan Fitnah II terhadap Anwar yang berjalan kini.

"Saya mendapati kenyataannya adalah fitnah dan berniat jahat dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Saya akan memanggil satu sidang akhbar untuk penjelasan lebih lanjut perkara ini," jelas beliau.IMG_5363

Rahimi yang pernah bekerja di pejabat Ketua Umum sebagai pembantu petang tadi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kelang berhubung dakwaannya terhadap Latheefa.

Beliau mendakwa terpaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008 yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai dalang di belakang konspirasi liwat terhadap Anwar melalui bekas pembantu yang juga rakan baik Rahimi, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tanah KTMB Bernilai RM400 Juta Dijual Pada Harga RM50 Juta









Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan tindakan penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)yang bernilai RM400 juta kepada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan harga yang jauh yang lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata adakah rakyat Malaysia ditipu lagi berhubung perjualan yang membabitkan tapak seluas 8 hektar milik KTMB yang terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar. "Tanah ini, yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan perkhidmatan kereta api.

"KTMB sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan. Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam.

"Mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Namun katanya, kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan jika sekiranya tapak tersebut dibangunkan semula, adakah unit-unit pembangunan itu akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun. Ini memandangkan tanah itu diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80 peratus,

"Bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan Bumiputera?

"Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?.


"Adakah rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?," soalnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut melahirkan kebimbangannya kerana tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti apa yang berlaku di dalam skandal Pelabuhan Bebas Cukai Port Klang (PKFZ) yang membabitkan berbilion ringgit dana rakyat.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyenaraikan beberapa bentuk manipulasi keuntungan yang dikenali sebagai ketirisan ekonomi dan menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan rakyat seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura.

1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.

) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.

3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon persendirian dalam kes PKFZ.

4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit yang sudah siap untuk golongan Bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.

5) Pemilik Bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.

6) Untungnya akan mengalir ke tangan persendirian dan bukannya institusi Bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali.

7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela Bumiputera, untuk menegakkan benang basah.

"Ianya merupakan satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.

"Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, ini kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," tegas beliau.

Tambahnya, pada sesi parlimen Oktober depan, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar ini.

Surat Terbuka Anthony Loke Buat Reezal Merican

Saya merujuk kepada kenyataan En Reezal (Utusan Malaysia, m/s 7, 27 September 2010) yang terus melakukan fitnah dan tohmahan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana sumber perjudian untuk program pembasmian kemiskinan orang-orang Islam di negeri tersebut.

Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menafikan dakwaan tersebut dan memberikan penjelasan mengenai sumber dana yang digunakan untuk program membantu rakyat miskin, namun En Reezal nampaknya tidak berminat untuk mendengar fakta dan terus menggunakan taktik kotor untuk memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya tidak berasa hairan mengapa En Reezal berbuat sedemikian kerana sememangnya anda dan parti anda telah bankrap idea politik dan ketandusan isu di Pulau Pinang dan terpaksa bergantung kepada senjata fitnah untuk kekal relevan di negeri tersebut.

Namun, yang menjadi bahan ketawa kepada rakyat umum ialah cara En Reezal mempermainkan isu ini yang menunjukkan tahap hipokrasi anda pada tahap yang paling tinggi.

Apakah En Reezal yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang terdahulu tidak mengetahui bahawa semua bentuk hasil cukai perjudian dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan di bawah Kerajaan Persekutuan?

Sekiranya En Reezal dan rakan-rakan anda dalam Pemuda Umno begitu cetek pengetahuannya, biar saya menyalurkan sedikit maklumat kepada anda dan rakan-rakan anda.

Soalan saya di Sidang Dewan Rakyat pada 9 Jun 2010 yang lalu berbunyi:

Tuan Loke Siew Fook (Rasah) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada hasil cukai perjudian diasingkan daripada Akaun Hasil Disatukan, mekanisme untuk menguruskan hasil judi, kegunaan hasil ini dan berapa peratuskah hasil ini disalurkan untuk menangani masalah sosial akibat daripada masalah perjudian.

JAWAPAN:

1. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada Kerajaan. Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 97 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (semakan) 1972 semua hasil atau terimaan yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah dikreditkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah terdiri dari tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil Kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara.

2. Pada masa ini Kerajaan tidak ada memperuntukkan sejumlah peruntukan yang khusus bagi menangani masalah sosial akibat ketagihan judi. Namun Kerajaan pada setiap tahun menyediakan peruntukan dalam bajet tahunan kepada Kementerian-kementerian berkaitan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti social.

3. Selain dari itu Kerajaan juga sedang dalam peringkat kajian untuk mewujudkan satu kod yang khusus dalam Akaun Hasil Disatukan bagi mengakaunkan semua kutipan daripada aktiviti perjudian dan ia akan disalurkan kepada perbelanjaan yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Saya yakin En Reezal fasih dalam Bahasa Malaysia dan boleh memahami maksud jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Presiden parti yang diwakili oleh En Reezal.

Untuk maklumat En Reezal juga, hasil cukai perjudian yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional adalah berjumlah RM2.3 billion sepanjang tahun 2009. Ini termasuklah cukai daripada kasino di Genting, cukai pertaruhan dari nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan sebagainya.

Angka ini juga bukan direka oleh saya tetapi telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek di Dewan Rakyat pada tempoh hari. Untuk rekod, Senator Awang Adek juga merupakan pemimpin daripada parti yang sama dengan En Reezal.

Jadi, untuk pengetahuan En Reezal, sebahagian perbelanjaan mengurus negara dan perbelanjaan pembangunan adalah dari sumber hasil perjudian yang dikatakan haram oleh En Reezal. Ini termasuklah elaun dan gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti kesayangan En Reezal!

Sama ada ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan pemimpin-pemimpin parti Umno, terpulanglah kepada kebijaksanaan En Reezal untuk membuat kesimpulan!


Sekian dimaklumkan, terima kasih. “MALAYSIAN FIRST”. Berkhidmat untuk rakyat.


* Loke Siew Fook adalah Ketua Pemuda Sosialis DAP dan Ahli Parlimen Rasah.

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran