PETALING JAYA, 24 April — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pada Rabu lalu berjanji akan mengumpulkan beribu-ribu selipar bagi menyambut bekas perdana menteri Britain Tony Blair, tetapi hari ini kurang 100 selipar muncul di tempat beliau dijadual berucap.
Rabu lalu, Ibrahim berkata beribu-ribu selipar akan menyambut Blair jika beliau menjejakkan kaki ke negara ini.
Mereka membantah kedatangan Blair ke negara ini dan meminta kira-kira 50 badan bukan kerajaan (NGO) memulakan gerakan melalui apa jua kaedah seperti “facebook” dan “twitter” membantah kedatangan Blair.
Perkasa dan Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO), yang dipengerusikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk sebuah syarikat yang beribu pejabat di Singapura yang menjemput Blair memberikan ceramah pada kongres perniagaan hari ini.
Hari ini, mereka berhimpun di pintu masuk pintu masuk Jusco pusat membeli-belah Sunway Pyramid sambil melaungkan “Allahuakbar” dan “Blair, Blair! Bastard!”.
Kemudian mereka membakar risalah yang memuatkan wajah Blair.
Kumpulan yang hadir hari ini kebanyakannya terdiri daripada pemuda Melayu dan beberapa warga Iraq.
Ibrahim bersama empat wakil dibenarkan masuk Pusat Konvensyen Sunway Resort Hotel & Spa oleh polis untuk menyerahkan nota bantahan kepada Blair.
Bagaimanapun media tidak dibenarkan.
Kelima-lima mereka muncul setengah jam kemudian sambil memberitahu bahawa mereka tidak dapat menemui Blair.
“Saya kecewa kerana saya tidak dapat menemui Blair kerana keselamatan terlalu ketat,” kata Ibrahim, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.
“Kami tidak tahu di mana Blair berada. Mungkin dia beada di tandas atau di celah-celah kedai kain ataupun berselindung dalam lif. Kami tidak dapat mengesan beliau,” katanya.
Ibrahim berkata, beliau telah menyerahkan dokumen yang dikeluarkan oleh Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur.
“Apabila kami menemui wakil Blair, dia berkata kami tidak menemui Blair secara peribadi atas alasan keselamatan,” katanya.
“Dan, saya memberitahu wakil itu bahawa Blair tidak pernah berfikir tentang keselamatan rakyat Iraq. Mereka menceroboh dan mengebom Iraq mengikut kehendak mereka dan sekarang Blair bercakap tentang keselamatan peribadi. Jadi saya berkata, ‘pergi jahanam bersama Blair!’. Ini yang saya memberitahu sebentar tadi,” katanya.
No comments:
Post a Comment