Pakatan pembangkang akan memilih calon yang mampu mewakili parti dan bukan yang menang kemudian lompat parti, demikian tegas Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali malam tadi.
Beliau berkata pakatan pembangkang akan mengumumkan calonnya pada 13 April ini di Pusat Komuniti Serendah di Hulu Selangor.
Katanya pakatan yang turut terdiri daripada PAS dan DAP telah membuat keputusan menyerahkan kepada PKR untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
"Senarai calon terlalu panjang dan kita (pakatan) akan mendengar pandangan dari negeri dan akar umbi sebelum menentukan calon.
"Kita akan pilih calon yang betul-betul boleh mewakili kita bukannya calon yang menang kemudiannya lompat (parti), kita mahu calon yang berpegang pada amanah yang diberikan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di Hulu Selangor.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.
Pilihan raya kecil itu diadakan pada 25 April ini berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac. Pencalonan diadakan pada 17 April.
- Bernama
No comments:
Post a Comment