Followers

Sunday, June 13, 2010

Judi bola: Bekas pemain kebangsaan sertai GMJ

Abdul Hadi Awang berucap pada ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Putik, Pengkalan Chepa dekat Kota Baru malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

Bekas pemain bola sepak kebangsaan era 1990-an, Mohd Radhi Mat Din malam tadi menyertai Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) — kempen yang diadakan untuk membantah lesen judi bola.

Penolong jurulatih pasukan bola sepak Kedah itu menyatakan pendiriannya pada ceramah yang diadakan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pengkalan Chepa dekat sini.

Bercakap pada majlis itu, Mohd Radhi menyatakan pendiriannya dengan berkata, Malaysia pernah dilihat sebagai antara negara yang terkehadapan dari segi mutu permainan satu masa dahulu sama tarafnya dengan negara Jepun dan Korea.

“Kini kita agak ketinggalan dari segi pencapaian dibandingkan dengan negara-negara tersebut.

“Saya tidak mahu mengupas kenapa mutu bola sepak kita merosot. Tetapi cukuplah untuk saya nyatakan bahawa kita sedang berusaha meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini,” kata beliau.

Kata beliau banyak usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk tujuan itu.

“Malangnya pihak kerajaan sendiri telah meluluskan judi sukan bola sepak kononnya untuk mengatasi judi haram yang berleluasa di negara ini.

“Bola ini tiada kaitan langsung dengan judi,” kata beliau sambil menambah, “malangnya sekarang sukan bola sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini.”

Mohd Radhi berkata, “ini umpama lain yang sakit, lain pulak yang di ubatnya.”

Kini beliau diamanahkan oleh kerajaan negeri Kedah untuk membimbing pasukan bola negeri itu, meningkatkan kualiti permainan dan akhirnya berjaya di peringkat antarabangsa selepas ini.

Beliau telah 26 tahun terlibat secara aktif dalam sukan bola sepak di negara ini. Pernah mewakili negeri kedah dan mewakili negara dalam pertandingan bola sepak sukan SEA.

Beliau berpendapat bahawa kerajaan seharusnya mengetatkan penguatkuasaan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membenterasnya.

Katanya jika judi sukan bola sepak dibenarkan mutu sukan bakal mengalami kemerosotan yang lebih serius selepas ini.

Dengan membacakan daripada teks, beliau menambah yang menjadi pertimbangan utama kepada penonton selepas ini bukan kualiti permainan tetapi untung atau rugi, kaya atau miskin, dapat duit atau tidak mereka.

Sebenarnya judi sukan bola sepak ini boleh dipecahkan kepada perbagai pertaruhan, kata beliau dengan merujuk kepada pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi.

“Semuanya akan dipertaruhkan. Peminat suka bola sepak akan bertukar pemikiran mereka daripada mutu bola kepada judi bola.

“Apabila tumpuan rakyat Malaysia sudah bertukar maka permainan bola akan cuba di atur oleh proksi-proksi syarikat judi.

“Apa yang kita tonton bukanlah permainan bola sebenar tetapi lakonan permaian bola,” kata Mohd Radhi yang juga ahli PAS kawasan Pokok Sena.

Turut hadir pada ceramah itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ceramah diadakan di pekarangan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dengan dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Ini kerana semua pemain dan jurulatih telah disogokkan dengan sejumlah nilai wang untuk keuntungan pihak-pihak tertentu, kata beliau.

“Maka rasuah dalam bola sepak akan menjadi lebih serius.

“Jika projek masjid dan sekolah pun adanya rasuah. Inikan pula judi bola yang sudah tentu haramnya di sisi agama Islam.

“Selain itu, lebih 80 peratus peminat bola adalah anak-anak muda. Merekalah yang akan banyak terdedah kepada judi bola,” katanya lagi.

Mohd Radhi, 45, juga berkata, beliau akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong GMJ.

“Ini adalah penting bagi memastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan.

“Usaha saya ini tidak akan berjaya tampa sokongan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mesti bangkit menentang kemungkaran ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau juga menjemput tokoh-tokoh besar dalam negara turut sama dengan GMJ.

“Saya menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Nik Aziz, Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan ramai lagi tokoh besar dalam negara ini.

“Marilah sama-sama kita turun dalam Himpunan 100,000 Rakyat Malayasia pada 3 Julai 2010 di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak pihak kerajaan memansuhkan judi sukan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran