Followers

Tuesday, August 31, 2010

Merdeka: Anwar selar 'pelampau peralat sentimen'

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pimpinan Umno yang disifatkannya tanpa segan silu menuduh orang lain pengkhianat dan pembelot demi kepentingan politik sendiri.

Sedangkan, menurut ketua umum PKR itu, pihak itulah sebenarnya yang memperalat sentimen perkauman sempit dan agama.

"Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna kemerdekaan?" katanya.

Dalam perutusan kemerdekaan hari ini, Anwar juga menegaskan keperluan mempertahankan perlembagaan dan menjaga hak dan kepentingan Melayu-Islam seperti termaktub dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau antaranya menyeru:

- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama persekutuan, agama-agama lain boleh diamalkan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri negeri Sabah-Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

- Memartabatkan pengunaan bahasa Melayu dan memperluaskannya sebagai lingua franca serta melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh turut mengulangi gesaan supaya akta kontroversi ISA dimansuhkan serta mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan darurat yang masih berkuatkuasa.

Atas semangat persekutuan, Anwar juga berharap wujudnya hubungan yang adil antara kerajaan pusat dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Friday, August 27, 2010

Rumah RM21 juta: Hadiah untuk keluarga Taib?

Adakah syarikat pembalakan Samling menghadiahkan rumah agam berusia 100 tahun di Seattle bernilai sekurang-kurangnya US$6.8 juta (RM21 juta) kepada keluarga ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud?

Soalan itu diajukan di sebuah laman sesawang anti-Abdul Taib - Sarawak Report dalam siri terbarunya yang mendedahkan kepincangan di negeri itu.

Rumah agam itu dibeli oleh firma Pelaburan CSY yang berpangkalan di California pada 1991 melalui anak syarikatnya, WA Boylston Inc, dan pemilikan hartanah itu didakwa dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun kemudian dengan harga nominal US$1 (RM3.1).

Menurut Sarawak Report, CSY adalah huruf pertama nama presiden Pelaburan CSY, - Chee Siew Yaw - anak lelaki Yaw Teck Seng yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai rakyat Malaysia yang ke-13 terkaya di Malaysia bersama anak sulungnya, Yaw Chee Ming.

Teck Seng, 72, adalah pengasas konglomerate Samling Global, yang menjalankan operasi pembalakan di hutan di Sarawak sebelum berpindah ke luar negara seperti Guyana, Russia dan China.

Awal minggu ini, dana pencen Norway mengumumkan keputusan kerajaan untuk melupuskan 16 juta sahamnya di Samling berikutan operasi 'tidak beretika' yang dijalankan di syarikat itu di Sarawak dan Guyana. Ia termasuk dakwaan menjalankan kegiatan pembalakan haram dan memusnahkan alam sekitar.

Bagaimanapun semalam, Abdul Taib mempertahankan Samling, sambil menyifatkannya sebagai syarikat yang 'bertanggung-jawab'.

“Abdul Taib dalam kapasitinya sebagai ketua menteri, menteri kewangan, menteri perancangan negeri dan sumber - telah menguasai pengeluaran lesen pembalakan Sarawak untuk lebih 30 tahun, - ini menimbulkan persoalan berhubung tindakannya yang memihak syarikat tidak beretika,” kata Sarawak Report.

Rumah agam dua tingkat ini, pada pada asalanya dibina pada 1910. Ia terletak di kawasan kejiranan eksklusif di Boylston Avenue East yang mempunyai pandangan bandar Seattle.

Bangunan ini mempunyai enam bilik mandi, lima bilik tidur dan bilik bawah tanh, patio yang luas, garaj, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.

Menurut Sarawak Report, rumah agam milik keluarga ini mempunyai kawasan yang boleh memuatkan enam padang bola.

Khairy keluar jika majoriti Umno sokong Perkasa



Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran beliau akan meninggalkan parti itu jika majoriti ahlinya menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Menyangkal tanggapan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad bahawa Umno kini “tenggelam” di sebalik aktiviti Perkasa yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali, Khairy berkata, bukan setiap ahli parti dominan Barisan Nasional itu menyokong pertubuhan tersebut.

“Jika wujud situasi di mana mereka (ahli Umno) memilih Perkasa berbanding saya, saya akan keluar,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau di sini semalam.

Kedua-dua wakil rakyat itu mengambil bahagian dalam Forum Ramadan 2010 anjuran majalah The Leaders di sini malam tadi.

Dipetik New Straits Times, Khairy sekali lagi melahirkan pendirian menentang isu-isu yang dibawa oleh Perkasa sejak kebelakangan ini.

Jun lalu kedua-dua Khairy dan Ibrahim terlibat dalam perang kenyataan dengan ketua Perkasa itu mempertikaikan kepimpinan Khairy sambil menegaskan beliau sebenarnya “bangga dengan label jaguh politik kampung” yang diberikan oleh Ketua Pemuda Umno itu berhubung isu membela Ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.

“Saya bangga kerana dipanggil jaguh kampung... sekurang-kurangnya saya dekat dengan rakyat, bermakna (saya) barang ‘asli’.

“Saya adalah seorang jaguh kampung macam lembu jantan berani berjuang... apa yang datang di depan saya, saya akan lawan habis,” kata Ibrahim.

Ketika itu Khairy menyifatkan Ibrahim sebagai “ahli politik jaguh kampung” yang tiada hak sama sekali untuk mendesaknya berhenti sebagai wakil rakyat hanya kerana membela Datuk Dr Wee Ka Siong.

Khairy mengetuai Pergerakan Pemuda Umno sejak Mac 2009.

Dalam kenyataan terbaru awal minggu ini, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas menyertai senarai pihak yang menggesa agar mereka yang menyentuh soal kepentingan Bumiputera dan kontrak sosial supaya balik ke negara asal mereka.

Ibrahim berkata “siapa yang tidak menghormati kontrak sosial iaitu Perkara 153 boleh keluar Malaysia, balik negara asal nenek moyang.”

“Jangan hipokrit,” kata Ibrahim yang lazimnnya lantang dalam kenyataan dikirim menerusi khidmat pesanan ringkas.

Dalam pada itu laporan Bernama memetik Khairy berkata, kerajaan mesti bersikap adil dan telus dalam pemberian projek pembangunan bagi menarik minat pelabur swasta.

“Kerajaan perlu membuktikan bahawa peluang mendapatkan projek pembangunan akan diberikan kepada syarikat yang menawarkan harga serta nilai terbaik kepada kerajaan dan ia perlu dibuat secara terbuka dan telus.

“Sama ada penswastaan pangkalan udara (Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi) atau penswastaan Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh, kesemua pemberian projek tersebut mesti dibuat secara terbuka dan telus,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata kerajaan perlu melaksanakan sistem ekonomi yang lebih liberal dan telus, bebas daripada campur tangan politik dan amalan kronisme.

“Jika kita masih mengharapkan pelabur asing membelanjakan wang mereka di sini, bagaimana ia boleh dilakukan jika kita tidak tahu siapa yang membangunkan tanah pangkalan udara Sungai Besi atau tapak di mana Penjara Pudu pernah ditempatkan?” katanya.

BTN Punca Kakitangan Kerajaan Menjadi Ektremis Kaum

Biro Tatanegara (BTN), sebuah unit propaganda Umno-Barisan Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri dipersalahkan atas kewujudan sikap perkauman dikalangan kakitangan kerajaan yang diloihat semakin menjadi dewasa ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kem latihan BTN yang diwajibkan ke atas semua kakitangan kerajaan dan juga golongan pelajar pada asasnya mengajar dan memupuk nilai ekstremis 'Ketuanan Melayu' dan mengutuk kaum lain sebagai satu kaedah lapuk Umno-BN mengekalkan undi Melayu.

Kata beliau atas sifat modul kursus yang dijalankan BTN yang menjurus kepada pengajaran ekstremisme kaum menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mengambil langkah drastik menghentikan penghantaran pegawai dan kakitangan awam kerajaan negeri menghadiri mana-mana kursus yang dianjurkan agensi itu.

Khalid juga merujuk kepada kejadian seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India baru-baru ini.

"Walaupun setelah lebih 50 tahun Merdeka, bagaimana pula seorang guru yang bekerja untuk kerajaan Umno-BN boleh berkata sebegitu? Ini jelas menunjukkan sistem pengajaran guru itu sendiri salah pada dasarnya," kata Khalid ketika menjawab soalan peserta pada 'Ramadhan Forum' yang dianjurkan oleh majalah Leaders di sebuah hotel di sini semlam.

Khalid berkata melalui dasar 'Ketuanan Melayu' kerajaan Umno-BN menakut-nakutkan orang Melayu dengan propaganda kemungkinan perkelahian antara kaum akan tercetus jika mereka tidak terus menyokong Umno-BN.

"Apabila sebahagian rakyat menjadi takut untuk mengundi pembangkang manakala sebahagian lagi menjadi ekstremis Melayu, maka tujuan Umno-BN dan dasarnya telah tercapai iaitu meraih undi dengan apa cara sekalipun," jelas beliau.

Beliau menganggap kejadian di mana dua pengetua masing-masing di Kulai dan Bukit Selambau mencemuh pelajar Cina dan India dilihat sebagai sebahagian daripada rencana teliti yang telah lama dirancang oleh Umno-BN.

Khalid berkata tindakan membangkitkan isu perkauman adalah senjata terahkir Umno-BN apabila sedar majoriti rakyat sudah tidak lagi yakin terhadap kepimpinan mereka.

"Rakyat bukan macam dahulu, mereka boleh lihat sendiri dan sedar pembangunan yang di bawa oleh kerajaan Umno-BN selama lebih 50 tahun ini hanyalah satu gimik untuk meraih undi dan satu kaedah memberikan projek pembangunan kepada kroni-kroni Umno-BN," tegas beliau lagi.

Thursday, August 26, 2010

Kilang arak: Umno melutut pada siapa

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.

"Saya nak tanya lah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Noh dalam wawancara tersebut secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak tersebut.

Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun belum dibuat.

Khalid bagaimanapun menjelaskan Pakatan Rakyat Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.

Jelasnya, lawatan ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang tersebut mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.

"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.

"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.

Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang dibangkitkan Noh, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.

"Saya rasa Noh Omar tak mengaji Siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.

PAS Selangor, jelasnya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung Syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.

"Bukan orang bukan Islam je menolak Syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.

"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.

Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.

"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.

Muktamad: Felda diarah bayar peneroka RM11 juta

Selepas lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain, mahkamah itu yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.

Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Keputusan sebulat suara

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Menurut Alauddin, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

"Justeru, rayuan itu ditolak."

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah meningkat

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.

Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.

Isu khutbah: Apakah ‘Salam 1 Malaysia’ juga haram, soal Dr Asri

Di sebalik kontroversi doa dan isu khutbah, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan mengapa salam baru — “Salam 1 Malaysia” yang turut didakwa mendoakan kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat berbilang kaum tidak diharamkan jika ia bertentangan dengan hukum Islam.

Sehubungan itu, kata Asri (gambar), ahli-ahli politik tidak kira fahaman politik seharusnya mengelakkan fatwa-fatwa yang tidak konsisten yang beliau sifatkan sebagai “fatwa ala Taliban.”

Beliau percaya bahawa ekoran isu khutbah sekarang kemungkinan ada fatwa-fatwa baru akan dikeluarkan dan ia seharusnya tidak mencetuskan suasana “porak-peranda dan prejudis.”

“Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim.

“Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa,” katanya.

“Salam 1 Malaysia” menjadi ucapan yang diamalkan sejak konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

“Semua parti politik utama bagi orang Melayu dan Islam di negara ini iaitu Umno dan PAS hendaklah mengelakkan fatwa yang tidak serasi dengan keharmonian dan kehidupan negra ini, dalam konteks Malaysia... kerana Islam itu mengutamakan keamanan dan kedamaian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

Dalam tulisan terbaru di blognya, Asri menjelaskan, di Malaysia secara praktiknya, orang ramai sudah biasa dengan amalan memberi ucapan — terutama di media-media kerajaan — “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”.

“Walaupun Nabi s.a.w — seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja.

“Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’,” katanya.

Justeru soal Asri, tidakkah “salam sejahtera kepada bukan beragama Islam” itu satu doa untuk mereka.

“Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini?” kata tokoh agama ini yang lazimnya melontarkan pandangan-pandangan dilihat ‘progresif’.

Dalam tulisannya itu di bawah tajuk “Doa untuk bukan bukan Muslim: Bicara harmoni buat Mufti Perak”, tambah Asri, para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup.

“Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan,” katanya lagi.

Asri menambah, pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara ini khususnya dalam dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

“Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya.

“Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu,” katanya.

Asri berkata beliau akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian.

Katanya, doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik dan juga mungkin tujuan kempen politik.

“Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana,” katanya lagi.

Sehubungan itu Asri menjelaskan, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredahan sesuatu pihak semata.

Jelas beliau, hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian.

“Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak-peranda.

“Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

“Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan Muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?” ujar beliau lagi.

Asri juga berkata, “perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini.”

“Orang Cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini.

Wednesday, August 25, 2010

Hasil Kenaikan 5 Harga Barang Kakitangan Kerajaan Juga Yang Untung.....penoreh getah di dahulukan

Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

Dalam satu kenyataan hari ini, perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan. Ia akan dibuat sebelum 1 Syawal.

"Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara.

Cuepacs harap bonus lebih tinggi

Dalam reaksi spontan, kongres kesatuan pekerja-pekerja dalam perkhidmatan awam (Cuepacs) dan persatuan pesara kerajaan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 seperti yang diumumkan hari ini.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pemberian bantuan khas kewangan bagi Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu akan meringankan beban mereka ketika menyambut Aidilfitri bulan depan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu, ini sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam," kata ketika dihubungi.

Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan bonus yang lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober ini.

-Bernama

Berundur Pun Tak Mengapa,Saya Sudah Kaya

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan ketua menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.

"Saya tidak tahu...terserah kepada parti dan perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Amanah Raya Berhad (ARB) kepada tiga pelajar Sarawak yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, di Kuching, semalam.

Taib, yang sebelum ini ialah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Asajaya sebelum bertukar ke kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian pada 2001, berkata beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Taib yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau memutuskan untuk tidak bersara.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, ketua menteri berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, katanya trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya dan menurutnya kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini.
Diminta mengulas kemelut yang dihadapi oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pernah kalah teruk pada pilihan raya negeri Sarawak 2006, Taib berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti itu.

"Selama ini saya sudah banyak membantu SUPP, sama ada mereka mahu menerimanya atau tidak, ia perkara lain. Saya sudah memberikan analisis dan nasihat mengenai masalah mereka sebelum ini.

"Kini terpulang kepada mereka. Jika saya melakukan lebih dari itu, ada di kalangan pemimpin SUPP akan mengkritik saya kerana mencampuri hal ehwal dalaman parti itu," katanya sambil menambah SUPP sebenarnya lebih perlu membantu diri mereka sendiri, bukannya mengharapkan bantuan dari luar dalam memulihkan kekuatan parti berkenaan.

Pada pilihan raya negeri 2006, PBB memenangi 34 daripada 71 kerusi negeri diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dengan 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan kerusi dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) lapan kerusi manakala selebihnya dimenangi parti-parti pembangkang.

Isu khutbah: Kerajaan Pulau Pinang dakwa Umno ‘talam dua muka’

Kain rentang menjemput orang ramai menghadiri majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk calon BN dua hari sebelum hari mengundi pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kerjaan negeri Pulau Pinang menyerang balas terhadap Umno berhubung isu nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng digunakan dalam khutbah dengan menimbulkan tindakannya menganjurkan sembahyang hajat bagi calon BN pilihan raya kecil Hulu Selangor P. Kamalanathan, April lalu.













Sambil menyifatkan Umno bertindak “talam dua muka”, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Abdul Malik Kassim berkata, BN ada membacakan Yasin dalam sembahyang hajat yang diadakan khusus bagi calon mereka yang berhadapan dengan wakil Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Kamalanathan memenangi kerusi itu.

“Jika mengatakan nama Ketua Menteri dalam khutbah tidak betul, mengadakan sembahyang hajat dan membacakan Yasin bagi calon bukan Islam BN adalah lagi tidak betul,” kata Abdul Malik sambil menunjukkan gambar kain rentang yang menjemput orang ramai menghadiri majlis tersebut.

Kata beliau gambar itu diperoleh dari Internet.

“Solat hajat dan membaca Yasin adalah satu perkara besar dalam agama, ia tidak seharusnya dilakukan (dalam bentuk sedemikian),” kata Abdul Malik lagi.

“Mereka yang mengadakan sembahyang khas adalah mereka yang sama membawa isu khutbah Jumaat ini,” kata beliau merujuk kepada dakwaan Umno bahawa beberapa masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Lim bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam khutbah kedua Jumaat.

Umno menafikan mereka sengaja mengadakan isu ini.

Kedua-dua Abdul Malik dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman yang menghadiri sidang media itu menegaskan, nama Yang di-Pertuan Agong tidak pernah digugurkan daripada khutbah Jumaat oleh mana-mana masjid di negeri itu.

Mereka juga meminta polis mempercepatkan siasatan ekoran tohmahan yang dikenakan ke atas khatib dan imam dalam isu semasa ini.

Mansor berkata, pihaknya juga sedang mengendalikan siasatan sendiri dan akan mendedahkan hasilnya dalam waktu terdekat.

Polis Pulau Pinang telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat isu kejadian khatib yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Isu itu ditimbulkan oleh Umno Pulau Pinang Khamis lalu

Tuesday, August 24, 2010

Kes saman fitnah Husam selesai luar mahkamah



Kes saman fitnah oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa terhadap bekas Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Shaari Hassan diselesai di luar mahkamah.

Keputusan itu, yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Zaidi Ibrahim di sini hari ini, dibuat selepas Shaari bersetuju membayar ganti rugi kewangan yang dituntut oleh Husam (gambar).

Husam, yang ditemui pada di pejabatnya, bagaimanapun enggan mengumumkan jumlah ganti rugi itu tetapi menyatakan jumlahnya “amat memuaskan hati”.

Pada 25 Dis 2007, di Masjid Padang Lalang di Tanah Merah, Shaari didakwa membuat berunsur fitnah melibatkan Husam, yang kemudiannya memfailkan saman menuntut agar Shaari memohon maaf kepadanya dan membayar sejumlah ganti rugi.

Pada prosiding hari ini Husam diwakili Hisham Fauzi manakala Shaari diwakili Azmi Abdullah. — Bernama

Angkara Dimarah Bermain Mercun,Surau Di Simbah Cat

Empat orang ditahan polis berhubung siasatan sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban yang disimbah dengan cat merah awal pagi semalam.

Pada sidang media hari ini, Ketua Polis Negeri SembilanDatuk Osman Salleh berkata kempat-empat remaja berumur antara 16 hingga 18 tahun ditahan awal pagi ini.

Mereka dalam lingkungan antara 16 hingga 18 tahun.

Menurut Osman, siasatan awal mendapati keempat-empat mereka bermain mercun berhampiran surau itu tetapi diarahkan supaya meninggalkan kawasan itu.

Oleh
kerana tidak berpuas hati, mereka memutuskan untuk menyimbah cat di surau yang baru dibuka pada Julai lalu itu.

"Nampaknya mereka bertindak ikut gerak hati,” kata Osman.

Tambahnya, keempat-empat remaja itu akan dikenakan tahanan reman empat hari sebelum polis memutuskan sama ada untuk mendakwa mereka kerana merosakkan rumah ibadat.

Pada kejadian awal pagi semalam, polis menemui satu tin cat dan dua penutup tin cat.

Oleh itu, polis percaya dua tin cat telah digunakan.

Pada satu bahagian surau tersebut, polis menemui pecahan kaca yang dipercayai pecahan botol arak, atas tanah dekat tingkap surau tersebut.

Berdasarkan bekas di kaca tingkap, katanya, polis percaya botol arak itu dibaling ke arah tingkap tersebut.

Bagaimanapun, kaca tingkap itu tidak pecah tetapi sebaliknya botol yang dibaling itu yang pecah.

Royalti minyak: Kelantan tentukan tindakan saman Petronas esok

Keputusan untuk menyaman Petronas berhubung tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan akan diketahui esok selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri membuat keputusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata peguam yang dilantik mengenai urusan itu terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

“Jika semua berjalan lancar fail saman itu akan didaftarkan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini iaitu sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan.

“Perbincangan esok bagi membolehkan pihak peguam membuat penjelasan dan berbincang mengenai draf writ saman yang akan dikemukakan nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil sebarang tindakan termasuk tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf penyaluran wang ihsan menggantikan royalti minyak oleh kerajaan pusat, dan telah menuntut lebih RM1 bilion royalti tersebut berikutan hasil minyak yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM25 juta yang telah diberikan kepada rakyat Kelantan pada Mei lalu.

Mengulas perkara itu lagi Husam berkata mantan Pengerusi Petronas yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan persetujuan untuk memberikan afidavit bertulis dalam kes saman itu nanti.

“Apa pun pintu rundingan masih terbuka antara kerajaan Kelantan dan Pusat dan terpulanglah bagaimana kaedah untuk menyelesaikannya,” katanya. — Bernama

Khatib Tidak Keseorangan - Mahfuz

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, khatib yang dikaitkan dengan doa supaya Lim Guan Eng diberikan hidayah tidak keseorangan dalam menghadapi siasatan apa yang disifatkan sebagai ‘undang-undang baru Umno’.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mahu polis dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang membuat siasatan sepenuhnya berhubung dakwaan penggunaan nama (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah Jumaat.

"Oleh kerana Umno histeria sangat apabila doa untuk Guan Eng dibacakan dalam khutbah, polis dengan pantasnya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat pembacaan doa itu.

"Kalau baca doa untuk Guan Eng dalam masjid menjadi satu kesalahan di sisi Najib sehingga polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat, sepatutnya polis menyiasat sama majlis solat hajat dan bacaan Surah Yaasin di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Bharu bagi kemenangan Kamalanathan," kata beliau yang menyifatkan histeria Umno itu semata-mata berpunca dari ketandusan modal politik dan tidak ada kena mengena dengan Islam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan, sejak bilakah Najib dan Umno membuat undang-undang yang meletakkan usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam sebagai satu kesalahan?

"Apa yang dilakukan hanyalah memohon doa agar Guan Eng diberikan hidayah dan tidak ada kena mengena dengan fitnah dan pembohongan Umno kononnya nama Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan Zainal Abidin).

"Adakah Umno sudah mengada-adakan undang-undang baru menggantikan undang-undang Allah sehingga usaha mendoakan mana-mana orang bukan Islam diberikan hidayah memeluk agama Islam menjadi satu kesalahan di dalam undang-undang baru Umno itu?" Mahfuz mempersoalkan.

Bagi beliau, adalah sesuatu yang natural bagi mana-mana orang Islam untuk mengharapkan orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.

"Mengharap dan berdoa sepatutnya tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukan paksaan. Soal sama ada orang yang didoakan hendak memeluk Islam atau tidak, itu hak dia.

"Tetapi nampaknya Umno meletakkan usaha itu sebagai satu kesalahan. Nampaknya yang dihalalkan oleh Allah sudah menjadi haram di sisi Umno," kata Mahfuz.

Khatib yang menjadi mangsa ‘undang-undang baru Umno’ itu, Ustaz Zakaria Ahmad dilaporkan mengakui ada melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan tidak pernah mendoakan keselamatannya sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberikan hidayah memeluk agama Islam.

Beliau memberitahu, pihak polis telah menghubunginya dan memintanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Zakaria berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama memberi keterangan kepada polis kerana percaya tidak ada apa yang perlu disembunyikan.- HARAKAH DAILY

Isu Pasir NOH Terkedu

Penubuhan pasukan khas antirasuah pasir oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) didakwa menyebabkan timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar tidak berani 'berkokok' lagi menyerang pentadbiran Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, perkara itu juga disebabkan permohonan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Datuk Seri Muhyiddin Yassin, menteri dalam negeri dan ketua polis negara supaya menangkap pencuri pasir.

"Keputusan yang bijak ini telah mematikan isu pasir di Selangor, kononnya berlaku penyelewengan (seperti didakwa) oleh hero pasir Datuk Noh Omar dan (bekas menteri besar) Datuk Seri Khir Toyo.

"Kita mengharapkan kalau boleh SPRM boleh buka balik fail-fail projek pasir yang dikendalikan oleh kerajaan BN dahulu, supaya rakyat tahu siapakah perompak pasir di Selangor," katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Khalid mengumumkan SPRM dan KSSB bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai wakil kedua-dua pihak bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris berkata PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan di Selangor kerana mengambil pendekatan itu supaya SPRM lebih bebas memantau operasi KSSB dan mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

"PAS berpandangan tindakan ini menunjukan betapa serius kerajaan Pakatan yang hendak memastikan khazanah bumi Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum.

"Selama ini industri pasir adalah merupakan lubuk emas untuk kroni Umno. Kesannya yang kaya kroni, manakala negeri dan rakyat makan lumpur," katanya.

Menurut beliau lagi, apabila industri pasir yang distruktur semula selepas Pakatan Rakyat memerintah kutipan royalti semasa jauh mengatasi zaman pemerintahan BN.

Dokumentari Razak gagal sebut peranan Ismail

Dokumentari terbitan National Geographic yang memaparkan perjalanan hidup perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein dianggap menarik dan mantap dari segi penerbitan dan persembahan tetapi mempunyai plot atau jalan cerita yang tidak sempurna.

Paling ketara, peranan Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu adalah menteri dalam negeri langsung tidak disebut - baik secara profesional, mahupun secara peribadi.

Menurut pengarah dokumentari itu, Justin Ong, selepas tayangan perdana dokumentari berkenaan di Kuala Lumpur, ia dilakukan demi kepentingan cerita yang cuba dipaparkan.

“Kami ingin fokus kepada aspek tertentu sepanjang kehidupannya.”

“Malah, masih banyak lagi personalti dan isu yang ingin kami gabungkan tetapi tidak dapat dilakukan,” jelas pengarah itu.

Ini, menurut Ong adalah kerana untuk menggambarkan 'cerita yang lebih besar' mereka hanya memasukkan apa yang dianggap penting dan relevan sahaja untuk dimuatkan dalam dokumentari sejam itu.

Diasak mengapa Ismail tidak dipaparkan kerana beliau bersama Abdul Razak berperanan penting dalam peristiwa berdarah 13 Mei dan juga Dasar Ekonomi Baru, yang disentuh secara agak mendalam dalam dokumentari berkenaan, Ong gagal memberi penjelasan memuaskan.

Malah, Ismail ada antara segelintir rakan dan pemimpin yang dimaklumkan oleh Abdul Razak berhubung rahsia besarnya mengenai sakit leukemia yang dihadapinya.

'Pengorbanan' Abdul Razak yang merahsiakan penyakitnya daripada umum “demi kepentingan negara” juga disentuh dalam pembikinan dokumentari itu tetapi yang menjadi tandatanya orang yang mengetahui rahsia itu langsung tidak disebut.

“Rakaman pertama adalah lebih panjang, kami terpaksa menyunting bagi mengeluarkan lebih banyak...,” tambah ketua wilayah Asia, National Geographic, Basil Chua.


Chua berkata dokumentari itu dibuat supaya ia bersesuaian kepada semua peringkat umur, daripada lima tahun sehingga kepada mereka yang hidup pada zaman Abdul Razak, menjelaskan kesingkatan dan beberapa subjek yang ditinggalkan itu.

Dokumentari itu juga mempertahankan Abdul Razak daripada dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab mendalangi kejatuhan bapa kemerdekaan Malaysia dan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Monday, August 23, 2010

PAS: Jangan naikkan tarif air, cukai tanah

Cadangan supaya semua kerajaan negeri menaikkan tarif air dan cukai tanah bagi meningkatkan hasil pendapatan dianggap sesuatu keputusan yang dibuat oleh mereka yang tidak memahami derita rakyat bawahan.

Ketua penerangan PAS pusat, Idris Ahmad, cadangan itu sesuatu yang tidak wajar dikemukakan ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan barang keperluan harian.

“Pelik, perdana menteri yang sering melaungkan slogan rakyat didahulukan tiba-tiba itulah cadangan yang beliau kemukakan dalam mesyuarat kewangan negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri,” kata Idris dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

“Sepatutnya beliau sebagai perdana menteri dengan gaji dan elaun yang sudah melimpah ruah, kena memikirkan bagaimana untuk meringankan bebenan rakyat di negara ini.

“Sebaliknya otak yang ada kepada beliau mengambil jalan pintas iaitu dengan menaikkan cukai, hapuskan subsidi, GST, saman ekor, menaikan harga minyak.”

'Jangan bebankan rakyat'

Menurut Idris, persoalan pokok dalam menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi yang berpunca daripada rasuah, ketirisan ialah pemimpin negara sepatutnya mencari jalan supaya khazanah negara dapat dinikmati semua rakyat.

Katanya, sebagai contoh, Pakatan Rakyat di Selangor yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim bertegas tidak akan menaikkan tarif air kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Malahan beliau bersedia ke mahkamah semata-mata untuk kepentingan rakyat dan memastikan kekayaan Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat di Selangor. Sekarang rakyat Selangor dapat menikmati air percuma 20 meter padu.

“Kerajaan Selangor dibelasah oleh pimpinan Umno kerana memberi air percuma kepada rakyat. Mereka menuduh ini satu tindakan yang membazir wang negeri. Inilah otak pemimpin Umno daripada atas hingga ke bawah, fikiran mereka sama, iaitu fikir macam mana hendak kaut hak rakyat, bukan hendak bagi hak rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan Selangor menolak cadangan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang bernilai RM8 bilion adalah sesuatu yang bijak.

Jimat RM6 bilion

“Sebaliknya kerajaan Selangor akan meneroka sendiri sumber air denagan kos RM2 bilion sahaja, dapat jimat wang rakyat sebanyak RM6 bilion,” katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan pusat pada prinsipnya bersetuju supaya cadangan kenaikan tarif air dan cukai tanah di semua negeri diseragamkan pada masa depan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri tanpa mengira fahaman politik mengenai kedua-dua cadangan berkenaan.

"Dalam soal hasil tanah dan juga daripada segi kos bekalan air, kita akan cuba mendapatkan persefahaman dalam hal ini.

"Dalam erti kata lain, kalau ada cadangan hendak naikkan harga air atau cukai tanah, kita sedang cuba untuk mendapatkan pendirian yang seragam atau bersama di antara semua kerajaan negeri," kata Najib.

Kempen 1 juta tandatangan bantah saman ekor

Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) akan melancarkan kempen mengutip satu juta tandatangan untuk membantah saman ekor hari ini.

Pelancaran tersebut akan diadakan di bazar Ramadan Pasar Keramat pada jam 5.30 petang ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, yang akan merasmi pelancaran tersebut, berkata barisan exco DPPP serta ketua Pemuda PAS negeri akan turut hadir.

Pelancaran petang ini akan diikuti dengan kempen mengutip tandatangan pengunjung bazar Ramadan tersebut.

Katanya, DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menentang saman ekor.

Ia ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan dalam saman ekor.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena adalah pengerusi Jawatankuasa Anti-Saman Ekor (Kase).

Ekoran desakan kuat aktivis dan parti pembangkang, kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan mereka yang disenaraihitamkan itu membaharui lesen dan cukai jalan tanpa perlu membayar saman ekor sehingga Februari tahun depan.

Bagaimanapun, mereka tidak dikecuali daripada membayar saman ekor tersebut.

Nasrudin berkata, kempen hari ini akan diikuti dengan pelancarannya di peringkat negeri-negeri bagi merealisasikan kutipan 1 juta tandatangan.

Misteri Kehilangan RM1.825 Bilion Di Sarawak

Bilionair Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud kembali mendapat tumpuan dan kali ini berhubung RM1.825 bilion yang diperuntukan kepada "orang-orang yang tidak dikenali" pada 2009.

Dalam satu pendedahan mengejutkan, para penyiasat mendakwa jumlah itu lebih dari separuh dari Belanjawan Pembangunan Negeri.

Sarawak Report, yang mendedahkan angka itu, yang boleh diperolehi dalam laporan DAP berkata, Taib gagal mencatat RM4.8 bilion ke dalam akaun perbelanjaan kerajaan dalam tempuh tiga tahun lalu sahaja (termasuk 2009).

Berikut ialah sedutan dari artikel yang dimuat ke dalam portal:

Projek-projek rahsia

DAP, yang baru-baru ini memenangi pilihan raya kecil parlimen Sibu dengan menewaskan Barisan Nasional, mendedahkan Belanjawan Alternatif 2010 yang disembunyikan, di mana mereka mendesak supaya disemak semula mengikut kaedah perakaunan yang betul. Ini supaya rakyat benar-benar tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan.

Ini adalah hak mereka dan demikian juga di bawah undang-undang Malaysia, sejajar dengan kehendak negara-negara di dunia yang bertamadun.

Angka DAP itu menunjukkan Taib, bukan sahaja memperuntukan 80% dari keseluruhan belanjawan pembangunan negeri kepada tiga kementerian yang bertanggngjawab terus kepada beliau tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah, kebanyakan wang itu telah dibelanjakan ke atas "projek-projek rahsia" tanpa sebarang maklumat mengenainya.

Dalam keadaan sebegini, rakyat Sarawak menganggap wang itu telah dicuri.

Taib berfikir beliau dapat melepaskan diri dengan tidak memberitahu rakyat di mana beliau membelanjakan wang itu. Tetapi apa yang pasti ialah projek-projek rahsia ini tidak ada satu pun yang memberi manfaat kepada rakyat miskin di mana tanah mereka telah diambil untuk tujuan penanaman kelapa sawit yang kini dimiliki oleh beliau dan konco-konconya.

Jadi apa yang sedang berlaku dan bagaimana ke semua wang ini hilang? Dokumen belanjawan DAP menyediakan analisa secara terperinci.

Pertama, ia menggariskan tahap penguasaan seorang individu bahawa Taib bertanggungjawab terhadap perbelanjaan Sarawak.

Beliau secara peribadi menguruskan ketiga-tiga jabatan utama yang berbelanja besar di negeri itu. Ini bermakna setiap perbelanjaan mesti melaluinya dan tidak ada menteri lain boleh berbuat apa-apa tanpa mendapat kebenarannya.

Ketiga-tiga kementerian itu khususnya (Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber dan Perancangan dan Kementerian Ketua Menteri) menguasai 80% dari Belanjawan Pembangunan.

Kementerian-kementerian ini membelanjakan tiga perempat dari jumlah belanjawan itu walaupun kebanyakan projek sepatutnya dikendalikan di bawah jabatan-jabatan yang berlainan.

Kedua, dokumen-dokumen ini menerangkan sistem perahsian yang dibentuk untuk menyalurkan lebih dari separuh dari jumlah wang ini.

Di mana wang tersebut?

Dalam tempuh beberapa tahun lalu, Taib membentuk satu kategori yang menjadi misteri bernama "Sumbangan Kerajaan Ke Arah Agensi Dana Amanah Yang Diluluskan" di mana wang itu disalurkan.

Tidak ada spesifikasi siapa "Agensi-Agensi Yang Diluluskan" atau kepada Dana Amanah yang mana satu wang telah disalurkan dan kerajaan berkali-kali enggan menyediakan maklumat tentang perkara ini apabila diminta.

Boleh jadi wang ini disalurkan kepada emak saudara, kakak, sepupu, anak-anak atau perempuan simpanan….. bagaimana seseorang itu boleh tahu dan apa hak beliau menyimpan rahsia ini?

Maka dalam tahun 2009 sebanyak RM1.825 bilion (59.3% dari keseluruhan belanjawan negeri yang berjumlah RM2.430 bilion) tidak tercatat dalam akaun Belanjawan Pembangunan mengikut perkiraan DAP.

Dalam 2008, ia berjumlah RM1.719 bilion (60% dari jumlah RM2.865 bilion) dan pada 2007, ianya sebanyak RM1.257 bilion (54.8% dari jumlah RM2.294 bilion).

Ada benarnya DAP menimbulkan persoalan ini,

mengenai apa gunanya mengaudit 40% dari belanjawan itu jika bakinya sebanyak 60% dirahsiakan? - FMT

Untuk Renungan Di Bulan Mulia

Buat Karpal Singh, Lim Kit Siang, Chua Soi Lek, MCA, GERAKAN Kedah dan pihak2 yang seangkatan dengan mereka, angah nak tegaskan di sini, Bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran. Salah 1 syarat keimanan adalah percaya kepada Kitabullah. Kufur kami andai menolak salah satu perkara atau hukum di dalam Al-Quran. Ini KEIMANAN kami. Kami MUSLIM yang BERIMAN. Kami bukan ambil separuh dari Al-Quran dan tinggal separuh. Kami sayang agama kami. Kami sayang dengan hukum2 di dalam Al-Quran. Dan kami sayang pemimpin kami yang memperjuangkan undang2 Allah. Memperjuangkan hukum hudud. Yang memperjuangkan apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang. Ini KEPERCAYAAN kami yang HAKIKI. Perjuangan PAS jelas. Berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijmak Ulama'.

Kami tidak ada masalah jika kamu mahu tahu lebih lanjut apa itu hudud. Kami sedia terangkan sehingga kamu faham, sehingga kamu hadam, sehingga kamu tidak berprasangka dengan kami. Kami mahu menjadi MUSLIM yang MUKMIN. Tidak lebih dari itu. Kerana di sisi kami ada DOSA dan PAHALA. Dan kerana di hadapan kami ada SYURGA dan NERAKA.

Dan angah pun maklum yang kamu semua tahu HUDUD ini untuk MUSLIM. Untuk Muslim UMNO, Untuk Muslim PAS, untuk Muslim PKR, untuk Muslim yang ada dalam DAP, untuk Muslim yang ada di dalam Gerakana, untuk Muslim yang non partisan, untuk Melayu Muslim, untuk Cina Muslim, untuk India Muslim, untuk Orang Asli Muslim, untuk Semua bangsa di dunia yang MUSLIM. Ini iktikad kami. Ini keimanan kami. Bukan untuk Cina Kristian, Cina Budha, India Hindu, India Kristian dan mana2 bangsa yang lain selain dari Islam. Ini hak kami. Ini hak kami sebagai seorang MUSLIM. Apa yang susah sangat nak faham?

Ya, kamu semua beriktikad dengan mengatakan : "Idea negara Islam disokong dan digerakkan oleh tiga perdana menteri terkemudian — Tun Dr Mahathir Mohamad Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak Ia bercanggah dengan pendirian tiga perdana menteri terdahulu iaitu Tunku Abdul Rahman Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang menganggap Malaysia negara sekular dan bukannya negara Islam."

DAP mendapat undi dari Melayu Muslim, dari Cina Muslim, dari India Muslim dan lain2 muslim yang ada di Malaysia. PAS juga sama. PKR juga sama. Tetapi kenapa kamu SOMBONG dengan KEIMANAN kami ni? Kami masih waras untuk berdialog secara terbuka untuk menerangkan apa itu ISLAM. Untuk menerangkan apa itu undang2 Islam. TG Nik Aziz berkali2 menyatakan jika kamu tak faham, dia akan jelaskan sehingga kamu faham dan tidak ada perselisihan lagi. PKR juga sama. Bukan main ramai Melayu Muslim di dalamnya. Kita Muslim yang beriman. Jangan anggap isu hudud ini perjuangan PAS sahaja. Kami berdosa andai berfikiran demikian.

Nak harapkan UMNO? Ke laut la jawabnya. Muslim di dalam UMNO hanya semata2 MUSLIM. Bukan MUSLIM yang BERIMAN. Ambil sebahagian ayat dalam Al-Quran, bantah sebahagian ayat dalam Al-Quran. Sebab apa UMNO sebegini? Sebab saraf otaknya dah tersumbat. Dan jika Karpal Singh dan lain2 bersikap mcm UMNO walaupun kamu bukan Islam, kamu sama je mcm UMNO. Ego dan tidak mahu belajar.

Angah seorang Muslim.
Acik seorang Muslim.
Andak seorang Muslim.
Semua admin KBSB seorang Muslim.
Dan majoriti ahli di KBSB Muslim.

Apa lagi yang kurangnya Islam ni? Apa lagi yang kamu nak tahu tentang Islam ni? Islam lengkap. Ia dari Allah. Tuhan sekalian alam. Kamu juga beriman dengan Allah. Allah jua menerangkan perkara ini di dalam Al-Quran. Makanya, kenapa kamu berterusan sebegini?

Pelaksanaan Hudud ini bukan milik PAS!
Pelaksanaan Hudud ini milik kami semua UMAT ISLAM!
Pelaksanaan Hudud ini bukti kami beriman dengan AL-Quran!
Pelaksanaan Hudud ini bukti kami beriman dengan ajaran Islam!
Pelaksanaan Hudud ini bukti kami beriman dengan ALLAH!

Oksigen yang Allah bagi kamu guna, Air yang Allah bagi kamu minum, segala rezeki berupa makanan kamu makan, mata yang Allah bagi kamu lihat, hidung yang Allah bagi kamu hidu dan dapat bau, lidah dan mulut yang Allah bagi kamu cakap, tangan yang Allah bagi kamu pegang, Kaki yang Allah bagi kamu jalan, gigi yang Allah bagi kamu kunyah, anggota badan yang Allah bagi kamu bekerja darinya, tetapi bila Allah bagi OTAK dan AKAL FIKIRAN kamu tak mahu guna, Bila Allah bagi Al-Quran kamu tak mahu ikut, Bila Allah bagi HUDUD bagi penyelesaian permasalah sosial, kamu tentang. Ini Tidak betul. Walhal ia untuk MUSLIM!

Ini kami. Kami MUSLIM. Kami MUKMIN. Kamu Non Muslim. Kamu tidak beriman dengan apa yang kami percaya. Dan kenapa kamu BERLAGAK? EGO? SOMBONG? Angah percaya, Vijay Kumar Murugavell, Jerome Lim, Vasantaroo Appalasamy, Balendran Balasubramaniam dan lain2 Non Muslim yang cukup dekat dengan ISLAM, tidak akan bersikap seperti yang ditunjukkan oleh mrk2 yang angah sebutkan di atas.

Ayuh semua MUSLIM, ini hak kita! Ayuh semua MUKMIN, ini kewajiban KITA! Bukan kewajiban PAS semata2. Ini yang Allah perintahkan! Angah sentiasa berada di belakang TG Nik Aziz! Pastikan setiap non muslim di Malaysia jelas apa itu HUDUD! Dan pastikan mereka jelas HUDUD ini untuk siapa! Samada cepat atau lambat HUDUD dilaksanakan, bukan milik kami. Ia milik Allah! Yang penting, kami perjuangkan apa yang ALLAH perintahkan!- angah

Sunday, August 22, 2010

Ketua Pengarang Akhbar Nanban Buat Laporan Polis Dakwa Terima Ugutan Bunuh

Ketua Pengarang harian Tamil Malaysia Nanban M.S. Maryanandy hari ini membuat laporan polis mendakwa beliau menerima ugutan bunuh daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Maryanandy berkata beliau menerima panggilan ugutan itu daripada seorang pemuda India kira-kira pukul 9 malam tadi yang turut melemparkan kata-kata kesat kepadanya.

“Orang itu bercakap dalam bahasa Tamil mengugut akan bunuh saya dan akan menyerang pejabat akhbar Tamil Malaysia Nanban jika terus menulis berita-berita mengenai masalah kaum India,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Maryanandy berkata pada malam semalam ketuanya Shafee Zaman Sikandar Batcha, yang merupakan pengarah akhbar itu, turut menerima panggilan ugutan yang sama melalui telefon bimbitnya 10 minit lebih awal daripada panggilan ugutan yang diterima beliau.

“Ugutan yang sama yang diterima oleh Shafee, di mana pemuda itu tidak bagi tulis sebarang berita (mengenai isu tersebut). Kalau tidak, dia akan serang kami dan kami akan dibunuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ASP Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan itu, dan perkara itu akan disiasat. — Bernama

Asri Gesa Jangan Politikkan Isu Doa Khutbah

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Barisan Nasional untuk tidak mempolitikkan isu doa khutbah solat Jumaat.

Asri berkata tiada salahnya mendoakan panduan dan petunjuk diberi kepada pemimpin, atau mendoakan kerajaan yang bersimpati dan adil pada rakyat.

"Jangan politikkan isu ini. Saya minta Pakatan Rakyat dan juga BN untuk tidak mempolitikkannya," kata Asri, yang menambah beliau tidak tahu sejauh mana kesahihan dakwaan Umno berhubung perkara ini.

Beliau menambah apa yang tidak boleh dilakukan adalah mendoakan kesejahteraan untuk seorang pemimpin yang tidak adil, serta memanjatkan pujian-pujian akan pentadbirannya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa beberapa masjid di Permatang Pauh dan Jelutong menggantikan nama Yang Dipertuan Agong kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam doa khutbah mereka.

Kerajaan Negeri dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagaimanapun menafikan mengeluarkan arahan kepada mana-mana masjid, dan berikrar menghukum mereka yang didapati berbuat demikian selepas siasatan dijalankan.

Lidah Umno bagaimanapun terus memainkan isu ini dan terbaru, khatib Masjid Jamek Padang Menora dikatakan telah menyebut nama Ketua Menteri dalam doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Imam Ibrahim Ishak berkata nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukan.

Khatib tersebut nampaknya mendoakan tuhan supaya membuka pintu hati Lim Guan Eng untuk menerima Islam.

Taktik Raih Sokongan, UMNO BN Gugat Keharmonian Kaum

Tindakan parti komponen Barisan Nasional, MCA menjadikan isu perkauman sebagai eksperimen menilai sokongan kaum tertentu kepada parti- parti di Malaysia setelah lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan adalah tidak wajar sama sekali.

Demikian pandangan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, melihatkan pertelagahan di antara UMNO dan MCA dalam isu ekuiti Bumiputera sehinggakan peristiwa hitam 13 Mei diungkit kembali.

"Pertamanya saya melihat ini sebagai satu kegagalan komunikasi dalam Barisan Nasional yang mungkin juga dibelakangi strategi politik tertentu tetapi apa pun walaupun strategi dan sebagainya tidak
sepatutnya dijadikan bahan uji kaji untuk menilai sokongan rakyat kepada kerajaan kerana kesannya nanti amat buruk dan kita tidak mahu peristiwa buruk berlaku dalam negara"

Ketegangan di antara UMNO dan MCA mula tercetus apabila Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek dalam ucapannya di Kongres Ekonomi Cina Malaysia, menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Berikutan itu pelbagai pihak mengecam tindakan Soi Lek termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dalam Utusan Malaysia mendesak MCA untuk menyelesaikan pergeseran itu melalui semangat parti.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming pula berpendapat, persengketaan yang kononnya wujud diantara pemimpin UMNO dan MCA, tidak ubah umpama lakonan semula babak- babak akhir yang membawa kepada Operasi Lalang.

Operasi itu menyaksikan 106 ahli politik pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan dikatakan pemimpin MCA yang bertelagah sebaliknya diarah bercuti ke negara luar.

"Pada pandangan saya, pergaduhan terbuka di antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek adalah jelas satu sandiwara dalam adegan drama pada tahun 1980-an"

Malah katanya, ia petanda yang cukup jelas bahawa UMNO dan MCA kini dalam keadaan buntu untuk berhadapan dengan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke- 13, langsung menggunakan pelbagai taktik untuk mematikan langkah seteru politik mereka.

Justeru beliau senada dengan Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memberi amaran kepada DAP supaya tidak mudah melatah dengan permainan politik UMNO.

"Adalah wajar dan bijak, pemimpin DAP jangan jatuh ke perangkap sandiwara yang dimainkan oleh Barisan Nasional kali ini"

Sementara itu Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf pula mahu Pakatan Rakyat memperkukuh jaringan kerjasama dan tidak mudah termakan umpan UMNO-Barisan Nasional.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah, kita perlu teguhkan agenda reformasi kita. Maksud saya, akhir sekali yang boleh menentukan ialah rakyat bukan pendekatan kita panggil security ataupun pendekatan regim represif, UMNO-BN menggunakan ISA ini"

Yusmadi juga menyifatkan hasrat MCA meminta kerajaan mengurangkan ekuiti Bumiputera sebagai retorik politik semata-mata.

"Pertama sekali saya mempertikaikan keikhlasan MCA di dalam retorik 30 peratus Dasar Ekonomi Baru kerana pendekatannya itu lebih ke arah untuk menyelesaikan masalah dalaman MCA sendiri. Bukannya hendak menyelesaikan masalah ketidakadilan masyarakat Malaysia secara
keseluruhan," katanya.

Saturday, August 21, 2010

Isu khutbah: Kerajaan negeri nafi, bantah keras dakwaan Umno Pulau Pinang

Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim berkata siasatan awal mendapati tiada perkara sebegitu berlaku sebagaimana didakwa oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam.

“Ini kerana teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan negeri dan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” kata Abdul Malik dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malah, peraturan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dengan jelas menyebut jika terdapat pentadbiran masjid ingin menjemput para khatib jemputan, mereka perlu mendapat kelulusan jabatan itu terlebih dahulu sebelum dibenarkan membaca khutbah. “Saya yakin selepas gagal memainkan isu perkauman sempit, bagi menggambarkan kononnya kerajaan negeri menindas bangsa Melayu dan agama Islam, pihak-pihak tertentu sedang mencuba untuk mensabotaj kerajaan negeri melalui isu ini pula,” katanya.

Semalam Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Lim dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Kata beliau, tindakan terdesak ini bertujuan untuk melaga-lagakan hubungan baik pimpinan Pakatan Rakyat, dengan pihak istana seterusnya bagi menimbulkan kemarahan orang Melayu sepertimana yang berlaku di Johor dalam isu kain rentang.

Dalam kenyataannya, Abdul Malik berkata, selepas dua tahun mentadbir Pulau Pinang, kerajaan negeri telah membuktikan perkembangan agama Islam mendapat keutamaan.

“Ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Peruntukan untuk pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam telah ditambah sebanyak 100 peratus, daripada RM12.5 juta pada 2008, RM20.5 juta tahun lalu dan bertambah kepada RM24.3 juta tahun ini.

Begitu juga buat julung kalinya bermula tahun 2009 kerajaan negeri memberikan sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM231,000 setiap tahun kepada 206 buah masjid dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM1.5 juta pada 2009 dan meningkat RM1.75 juta pada 2010.

“Bahkan, hasil daripada bantuan itu, Madrasah Al-Aminiah Permatang Pauh berjaya mewujudkan sebuah makmal sains yang pertama di kalangan SAR di negeri ini.

“Program-program agama yang julung kali diadakan seperti sambutan bulan al-Quran, anugerah huffaz dan istimak hufaz sejak diperkenalkan pada 2008 mendapat sambutan dan peningkatan yang memberangsangkan,” katanya.

Abdul Malik menambah, keprihatian Ketua Menteri untuk hadir pada majlis-majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Maulidur Rasul, serta menghadiri dan menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Pulau Pinang dicemburui pihak tertentu.

Katanya, ini kerana perkara sedemikian tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini.

“Kelainan dan kemesraan inilah yang mengusarkan pihak tertentu yang terpaksa bergantung kepada talian hayat melalui isu perkauman sempit bagi menarik semula sokongan rakyat, khususnya orang Melayu .

“Namun, kita yakin majoriti rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah sebegini,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, cabaran yang diterima tidak akan membantut dan melemahkan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memartabatkan agama Islam di negeri ini.

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran