Followers

Friday, August 20, 2010

Selangor Catat Pelaburan, Jumlah Projek Perindustrian Tertinggi Di Malaysia

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mencatatkan pelaburan dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan sebanyak 120 projek.

Menurut beliau, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2010.

"Statistik Mida itu menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Teresa berkata, sebanyak 120 jumlah projek yang diluluskan di Selangor dan angka tersebut merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Tambah beliau, selepas Selangor, Johor menduduki tangga kedua dengan 65 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 44 projek.

Katanya, daripada 120 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 68 merupakan projek baru manakala baki 52 merupakan projek yang diperkembangkan.

Selangor juga telah mencapai jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 7,602 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM942 juta atau 38 peratus daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala RM1.52 bilion atau 62 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM366 juta, diikuti Singapura dengan RM121 juta dan Jerman, RM116 juta.

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," kata Teresa.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran