Followers

Tuesday, August 24, 2010

Dokumentari Razak gagal sebut peranan Ismail

Dokumentari terbitan National Geographic yang memaparkan perjalanan hidup perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein dianggap menarik dan mantap dari segi penerbitan dan persembahan tetapi mempunyai plot atau jalan cerita yang tidak sempurna.

Paling ketara, peranan Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu adalah menteri dalam negeri langsung tidak disebut - baik secara profesional, mahupun secara peribadi.

Menurut pengarah dokumentari itu, Justin Ong, selepas tayangan perdana dokumentari berkenaan di Kuala Lumpur, ia dilakukan demi kepentingan cerita yang cuba dipaparkan.

“Kami ingin fokus kepada aspek tertentu sepanjang kehidupannya.”

“Malah, masih banyak lagi personalti dan isu yang ingin kami gabungkan tetapi tidak dapat dilakukan,” jelas pengarah itu.

Ini, menurut Ong adalah kerana untuk menggambarkan 'cerita yang lebih besar' mereka hanya memasukkan apa yang dianggap penting dan relevan sahaja untuk dimuatkan dalam dokumentari sejam itu.

Diasak mengapa Ismail tidak dipaparkan kerana beliau bersama Abdul Razak berperanan penting dalam peristiwa berdarah 13 Mei dan juga Dasar Ekonomi Baru, yang disentuh secara agak mendalam dalam dokumentari berkenaan, Ong gagal memberi penjelasan memuaskan.

Malah, Ismail ada antara segelintir rakan dan pemimpin yang dimaklumkan oleh Abdul Razak berhubung rahsia besarnya mengenai sakit leukemia yang dihadapinya.

'Pengorbanan' Abdul Razak yang merahsiakan penyakitnya daripada umum “demi kepentingan negara” juga disentuh dalam pembikinan dokumentari itu tetapi yang menjadi tandatanya orang yang mengetahui rahsia itu langsung tidak disebut.

“Rakaman pertama adalah lebih panjang, kami terpaksa menyunting bagi mengeluarkan lebih banyak...,” tambah ketua wilayah Asia, National Geographic, Basil Chua.


Chua berkata dokumentari itu dibuat supaya ia bersesuaian kepada semua peringkat umur, daripada lima tahun sehingga kepada mereka yang hidup pada zaman Abdul Razak, menjelaskan kesingkatan dan beberapa subjek yang ditinggalkan itu.

Dokumentari itu juga mempertahankan Abdul Razak daripada dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab mendalangi kejatuhan bapa kemerdekaan Malaysia dan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran