Jika Islam menyeru kita semua menegakkan keadilan Islam,maka Islam juga dalam masa yang sama menegah untuk kita melakukan kezaliman. Bahkan bukan sahaja kita dilarang melakukan kezaliman , malah cenderung kepada kezaliman pun dilarang oleh Allah s.w.t.
firman Allah dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolongpun yang lain melainkan Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
Antara kisah yang masyhur tafsiran seorang ulama Islam yang melarang seorang tukang jahit menjahit jubah seorang pembesar Islam yang zalim iaitu Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi. Hajjaj adalah seorang pemimpin yang telah banyak membunuh ramai orang Islam termasuk para ulama’. Dikisahkan pada suatu hari jubah Hajjaj telah koyak dan beliau telah meminta para tukang jahit di seluruh Kota Bahgdad menjahit jubahnya yang koyak tersebut. Seorang demi seorang tukang jahit menolak permintaanya untuk menjahit jubahnya. Ditakdirkan Alllah ada seorang tukang jahit yang sudi mengambil jubah Hajjaj tersebut tetapi beliau meminta masa untuk menjahit jubah tersebut. Penangguhan itu kerana tukang jahit tersebut ingin meminta pendapat para ulama terlebih dahulu sebelum beliau memutuskan untuk menjahit jubah Hajjaj tersebut. Maka beliau telah berjumpa seorang ulama ( dikatakan ulama tersebut adalah Ibnu Sirrin ) bagi mendapatkan fatwa tentang hal tersebut. Ulama tersebut melarang tukang jahit tersebut menjahit jubah tersebut kerana jubah tersebut adalah milik seorang yang zalim. Ulama tersebut menyandarkan fatwanya di atas ayat “ Janganlah kamu cenderung kepada mereka yang membuat zalim nanti kamu akan disentuh dengan api neraka.” Bagi ulama tersebut menjahit jubah sizalim adalah termasuk di dalam golongan mereka yang menyokong kezaliman atau cenderung kepada kezaliman. Kalau menjahit jubah sizalim tergolong di dalam kategori menyokong kezaliman, bagaimanakah agaknya golongan yang menggubal akta zalim seperti ISA dengan menggunakan akta tersebut untuk menahan seseorang tanpa bicara misalnya? Kalau yang menggubal akta yang zalim sudah dikira zalim, tidakkah golongan yang memastikan golongan yang zalim itu terus berkuasa tidak termasuk di dalam golongan yang cenderung atau menyokong kezaliman?
Kita sama sama merenung dan mengambil iktibar dari kisah ini. Sesungguhnya tiap gerak geri kita,niat kita atau apa sekalipun tidak pernah terselindung dari Yang Maha Mengetahui..Semoga kita mencapai keredhaan Allah..Allahuakbar!!
Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 42-43 yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka sehingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana binggung dan cemas).”
Firman Allah dalam Surah al-An’am, ayat 68 yang bermaksud:
“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain, dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu.)”
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Sesiapa yang berperang dibawah “bendera buta” dan menyeru kepada ‘asobiyyah atau marah kerana ‘asobiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah.”-Riwayat Muslim , Ibn Majah, an-Nasai.
No comments:
Post a Comment