Followers

Tuesday, August 3, 2010

Takut Hartanya Diketahui Umum,Ezam Mahu SPRM Mantapkan Imej

Senator Ezam Mohd Nor mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah memantapkan imejnya terlebih dahulu sebelum meminta anggota Kabinet dan pemimpin kerajaan mengisytihar harta mereka kepada umum.

Bekas pengerusi Gerakan Anti Rasuah Malaysia (Gerak) itu berkata, walaupun beliau mengalu-alukan pendirian terbaru Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed dalam soal pengisytiharan harta, “namun merasakan keperluan menumpukan tumpuan kepada memantapkan imej SPRM di mata rakyat terlebih dahulu sebelum langkah baru dilakukan.”

“Kredibilti SPRM merupakan prasayarat utama dalam menjayakan sebarang langkah berani mempertingkatkan usaha reform di negara ini dan kita sedia maklum imej SPRM tercalar akibat serangan yang sengaja dilakukan oleh anasir antikerajaan yang melaungkan reform palsu,” kata bekas pemimpin PKR yang menyertai Umno Mei 2008 ini.

Kata Ezam, beliau merasakan keperluan dan fokus semasa ialah mempertingkat kredibiliti SPRM buat masa ini.

Hanya setelah kredibiliti dipulihkan sepenuhnya langkah-langkah lain dilakukan termasuk langkah perisytiharan harta kepada umum, kata Ezam yang dilantik anggota Dewan Negara tiga bulan yang lalu.

“Namun saya ingin ulangi sokongan terhadap cadangan Pesuruhjaya SPRM dan mengucapkan syabas atas cadangan jujur dan berani beliau,” katanya.

Kelmarin, Abu Kassim bersetuju dengan pandangan peserta persidangan undang-undang bahawa anggota Kabinet wajar mengisytiharkan harta kepada umum.

Abu Kassim dilaporkan bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata cadangan meminta semua menteri mengisytiharkan harta kepada umum wajar diserahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan sama ada perlu dilakukan atau tidak.

“Mengikut amalan biasa isytihar harta hanya dimaklum kepada Perdana Menteri saja,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata cadangan untuk meminta semua Menteri Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Menteri Dalam Negeri itu berkata apa yang dilakukan pada masa ini di mana semua anggota Kabinet mengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri sudah memadai.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran