Followers

Friday, May 21, 2010

pemberimilik tanah,orang asli kecewa menteri luar bandar



Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) hari ini menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menolak sekeras-kerasnya Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli yang diluluskan kerajaan pada 4 Dis tahun lepas.

Penyelaras JKOASM Tijah Yok Chopil mendakwa dasar tersebut digubal dan diluluskan tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli terlebih dahulu.

“Kerajaan hanya menumpukan pelaksanaan dasar ini tetapi tidak fokus untuk memberi penjelasan dan mendengar maklum balas Orang Asli dari pelbagai peringkat. Apa yang dibuat adalah berkempen supaya Orang Asli menerimanya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

JKOASM turut menolak hasil bengkel kajian semula dasar tersebut yang diadakan pada 6 April lepas dan sebarang cadangan pindaan terhadap Akta 134, Akta Orang Asli 1954 yang dijangka dibentang di Parlimen Jun depan.

Tijah berkata bantahan tersebut disuarakan kerana dasar pemberimilikan tanah itu tidak menurut intipati dan niat ikhlas gagasan 1Malaysia.

Justeru, JKOASM mendesak dasar itu dimansuhkan selain mewartakan hak wilayah tanah adat Orang Asli sebagai Rizab Orang Asli.

“Apa yang kami mahukan adalah kerajaan datang dan berbincang dengan pihak Orang Asli sebelum membuat apa-apa keputusan. Ini kerana selepas hampir 53 tahun merdeka, Orang Asli masih ramai yang hidup dalam kesusahan dan tidak maju seperti yang diuar-uarkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya kerajaan dapat memberi penjelasan dan berbincang dengan Orang Asli dalam merancang dan melaksanakan sesuatu, ia pasti dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

JKOASM mewakili hampir 30,000 Orang Asli yang berdaftar di enam negeri iaitu Perak, Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. — Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran