Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, pelantikan Ezam itu telah berjaya mempamerkan sikap tidak setia kawan dan menghormati suara rakyat.
"Jika Ketua Pemuda Umno yang menang telah dikesampingkan, manakala yang kalah pula dilantik menganggotai kabinet dan kini Ezam yang dulunya melabelkan Umno dan BN itu sebagai perasuah besar serta penuh dengan penindasan dan kezaliman tiba-tiba dilantik sebagai Senator membuktikan parti itu semakin hampir dengan kehancuran.
"Umno dan BN sudah tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa sehingga Datuk Seri Najib terpaksa membawa seorang yang tidak mempunyai jasa besar kepada partinya serta yang tidak mempunyai prinsip perjuangan yang kental dilantik sebagai Senator semata-mata untuk menentang kewibawaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.
Tambahnya lagi, Umno dan BN hanya mengharapkan ahli Parlimen yang lompat parti dan mereka yang tidak mempunyai prinsip untuk berkokok bagi pihak mereka.
"Namun begitu rakyat jangan gusar dan bimbang kerana Ezam yang kita kenali sekarang ini bukannya yang kita kenali dahulu semasa berkokok tentang kejahatan, penyelewengan, korupsi dan ketidakadilan yang diamalkan oleh Umno dan BN.
"Ia juga tidak ubah sebagai seorang upahan untuk melaksanakan misi Najib bagi mematahkan kekuatan dan kekentalan yang ada pada Anwar sebagai seorang tokoh yang ternyata mempunyai karisma dalam perjuangan dan kepimpinan selama ini," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment