Followers

Monday, May 10, 2010

LAGI LAPORAN POLIS TERHADAP NIK AZIZ DAN GUAN ENG

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKAS) Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.





Laporan terhadap kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu dibuat oleh Yang Dipertua Perkasa Selangor Abdullah Mansor di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 3.25 petang tadi.


Abdullah berkata laporan dibuat terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan kerana mempertikaikan larangan Sultan Selangor supaya tidak berpolitik di masjid dan surau yang tidak mematuhi Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1996.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berkata laporan yang dibuat terhadap Lim adalah berhubung kenyataannya pada sesi penggulungan di sidang DUN Pulau Pinang baru-baru ini yang menuntut supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan.





Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu merupakan satu prejudis dan hasutan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan, rasa gelisah dan persepsi buruk rakyat terhadap Polis Diraja Malaysia, katanya.


"Ia juga merupakan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di mana pelantikan Ketua Polis Negara adalah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Katanya dalam laporan itu, PERKASA juga meminta Lim tidak lagi menggunakan nama Khalifah Umar Abdul Aziz dalam mana-mana ucapan, penerbitan atau lain-lain bentuk komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran