Followers

Sunday, September 19, 2010

Umno Persoal Halal Haram

Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog “Pisau.Net” itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

“Saya terima banyak panggilan daripada warga emas yang bertanyakan mengenai perkara itu dan mereka bimbang serta gelisah kerana sudah menerima wang RM100 dan RM1,000 terbabit sejak kerajaan negeri melaksanakan program penghargaan warga emas.

“Mereka sangat bimbang dengan dakwaan wang berkenaan dari sumber duit judi yang haram bagi umat Islam... penjelasan berkenaan bagi menghilangkan keraguan orang ramai di mana sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan walaupun sudah beberapa hari blog berkenaan membuat dakwaan terbabit,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

“Kami tidak buat menuduh mereka (kerajaan negeri ) berbuat demikian...cuma mahu penjelasan selepas blog berkenaan (Pisau.Net) membuat dakwaan baru-baru ini kerana ia membabitkan orang ramai terutama warga emas beragama Islam yang turut sama menerima wang berkenaan.

“Ambil tindakan terhadap blog berkenaan sekiranya dakwaan dibuat tidak benar, jangan hanya berdiam diri seperti dilakukan mereka sekarang sehingga menyebabkan rakyat merasa gelisah,” katanya.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku mengamalkan CAT (Kompeten, Akauntabiliti dan Telus), kerajaan negeri harus telus dan menyatakan sumber kewangan bagi program pemberian wang ehsan berkenaan. — Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran