Followers

Monday, September 20, 2010

Isu masjid: Mais didakwa amal double standard, tidak adil

Teo sewaktu lawatannya ke Surau Tholabiah Kampung Paya, Sungai Ramal Luar, Kajang
Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membidas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana mengamalkan sikap “double standard” berhubung isu tidak membenarkan orang bukan Islam daripada memasuki ruang solat masjid dan mendakwa institusi agama tersebut telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Ini jelas menunjukkan sikap double standard oleh Mais kerana sebelum ini mereka kata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat dan ia meliputi semua termasuk wakil rakyat serta ahli politik.

“Tapi bila membabitkan wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN), Mais seolah-olah tutup sebelah mata dan membenarkan wakil rakyat itu memasuki ruang solat untuk memberikan sumbangan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insider.

Beliau menyifatkan Mais sebagai “alat politik” Umno-BN kerana tidak mempunyai pendirian dalam isu tersebut.

“Ini adalah politik yang diamalkan Umno-BN, nampaknya Mais seperti lembu yang dicucuk hidung sehingga sanggup mendengar apa sahaja arahan yang dikeluarkan.

“Malah apa yang saya terkejut Mais juga telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Umno berpura-pura dalam isu yang hampir sama yang melibatkan wakil rakyat Hulu Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

“Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan masjid dan surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya,” kata Khalid dalam blognya.

Tulisan bertajuk “Umno, Kura-Kura dan Perahu”, Khalid menambah, menurut Umno dan BN lagi, ia dilakukan demi memperoleh undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri.

Khalid turut menyiarkan beberapa gambar di blognya menunjukkan wakil rakyat Umno memberikan tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid Felda Gedangsa.

Khalid menimbulkan persoalan sama ada wakil rakyat berkenaan mempunyai tauliah.

Selain itu beliau turut menyiarkan gambar Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan bersama ADUN Umno menyerahkan sumbangan cek di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Usaha mendapatkan komen Mais dan Kamalanathan sejak dua hari lalu berhubung isu ini gagal berhasil.

Pada 2 September lalu, Mais telah mengeluarkan surat arahan supaya orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ke ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Setiausaha Mais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata larangan itu perlu dipatuhi demi menjaga kesucian dan kehormatan masjid dan surau.

Selain itu, beliau berkata larangan daripada memasuki ruang solat itu juga turut melibatkan semua orang bukan Islam termasuk wakil rakyat sama ada dari PR atau BN.

Bagaimanapun tidak pasti bila kes terbaru ini dilaporkan berlaku.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu campur tangan dalam isu dan memanggil Mais untuk beri penjelasan.

“Saya berharap Sultan Selangor dapat memanggil Mais untuk beri penjelasan dalam isu ini kerana badan itu telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan.

“Sultan Selangor juga harus melihat perkara ini dan bersikap adil kepada semua pihak termasuk kepada pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula berkata, Mais perlu menjelaskan keadaan yang sebenar mengenai larangan yang dibuat sebelum ini yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki ruang solat masjid dan surau.

“Bukankah ini tidak adil? Bila wakil rakyat Pakatan kata tidak boleh tapi bila wakil rakyat BN pula boleh pula.

“Jadi macam mana keadaan sebenarnya? Jadi saya minta Mais supaya menjelaskan semula syarat dan arahan larangan yang mereka keluarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau juga mahu Mais mengambil tindakan tegas dalam isu itu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Mais telah membelakangkan arahan yang dikeluarkan institusi itu sendiri.

“Ini jelas menunjukkan wujudnya sikap double standard yang diamalkan Mais dan saya melihat ia tidak adil.

“Bila melibatkan wakil rakyat PR perkara ini dikatakan salah malah diperbesarkan tetapi bila libatkan wakil rakyat BN, Mais hanya membisu.

“Malah ia menunjukkan seolah-olah arahan yang dikeluarkan Mais tidak terpakai kepada wakil rakyat BN selain ada kepincangan yang berlaku,” katanya.

Bulan lalu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching telah dari DAP telah menerima surat amaran daripada Mais meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Selain Teo, seorang lagi ahli Parlimen dari PR William Leong (Ahli Parlimen Selayang) juga turut “diserang” kerana memberikan sumbangan kepada masjid dan surau di bahagian Parlimen Selayang.

Mais kini masih menyiasat dakwaan yang membabitkan William.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran