Followers

Wednesday, September 15, 2010

RM24 Juta Tak Cukup Bukti

Khir Toyo mengakui bahawa beliau tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan. Namun katanya, tohmahan rasuah yang dilemparkan ke atasnya setakat ini masih belum berjaya dibuktikan.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Khir mengambil peluang untuk menjelaskan satu persatu, setiap tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Antara dakwaan berkenaan adalah berhubung kunjungannya ke 'Disneyland' di Perancis dan Amerika Syarikat.

Katanya, lawatan kerja itu bukan semata-mata untuk melawat taman tema tersebut tetapi untuk mendapatkan pelaburan daripada negara berkenaan ke Selangor.

Hasil daripada semua lawatan itu, Selangor berjaya memperoleh pelaburan asing berjumlah RM11.87 billion. Pelaburan ini juga menyediakan 30,000 peluang pekerjaan di Selangor, kata Khir.

Begitu juga dengan bayaran insentif kepadanya selaku pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disifatkan sebagai imbuhan atas masa tambahan yang diluangkannya di syarikat berkenaan.

Mengulas dakwaan berkaitan pembelian unit apartmen di Mekah yang dibuatnya selaku pengerusi syarikat milik kerajaan negeri. Katanya rumah berkenaan kekal dimiliki oleh syarikat berkenaan.

Berikut adalah sedutan daripada wawancara dengan Khir Toyo:

Rentetan daripada siasatan ke atas isu melibatkan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Tun Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah. Pada masa itu timbul nama Datuk Seri.

Nama sayalah (timbul). Saya tak ada ambil hati. Saya tahu semua cerita. Saya tahu dua tiga hari sebelum tu. Saya tak risau. Negara kita ada undang-undang, ada sistem. Yang salah akan tetap dikenakan tindakan. Mahkamah akan tentukan salah atau tidak.

Saya ambil contoh tentang (pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad), semua salahkan Kudus, tapi hari ini dia diadili. Jadi jangan cepat buat persepsi orang ini dia ada kes. Tun Dr Ling Liong Sik pun belum tentu salah lagi.

Satu lagi yang menjadi tuduhan ialah berkenaan kediaman Datuk Seri. Adakah lebih baik jika sebuah agensi hartanah menilai rumah Datuk Seri untuk memadamkan cakap-cakap ini?

(Firma) Rahim & Co sudah nilaikan rumah saya. Saya dah keluarkan dalam blog saya, apa lagi? Adakah Rahim & Co tak independen? Dia dilantik oleh bank, bukan saya. Takkanlah bank tak bijak dan biarkan saya lantik penilai sendiri? Saya dapat pinjaman daripada bank (untuk beli rumah tersebut). Kalau saya dapat rumah itu dengan tunai, orang bolehlah siasat saya.

Kosnya tak mencecah RM24 juta?

Kalau 24 juta saya dah kayalah.

Jadi apa yang Datuk Seri tulis dalam blog ini...

(Adalah) realiti. Saya nafikan (tuduhan). Sebab itu saya saman balik (ADUN Sekinchan) Ng Sue Ling ini. Orang ini tidak lulus matematik dalam STPM pun. Dia tak terlibat dengan penilaian harta. Saya tak faham kenapa press semua percaya dengan dia. Kalau dia ni ada kelulusan dalam penilaian hartanah, bolehlah percaya. Saya saman tanya beritahu dari mana datang 24 juta, tak boleh jawab. Ini adalah tuduhan politik daripada political animal. Terpulang pada pihak berkuasalah. Kalau dipanggil saya akan pergi. Malah, saya isytiharkan semua aset saya.

Bagaimana pula dengan tuduhan mengenai lawatan ke Disneyland?

Ini bukan isu. Saya pergi, singgah dekat Perancis, nak pergi ke Jerman. Ada masa terluang kita lawat Disneyland untuk mencari pengalaman. Bukan kita betul-betul ke Disneyland. Untuk kunjungan itu saya bawa balik RM3 billion. Tiada apa-apa kesalahan.

Kalau hari ini, kerajaan negeri tak pergi ke Eropah. Pergi ke China dan Singapura sahaja untuk dapatkan pelabur, ia mustahil sebab syarikat di China takkan buka kilang di Selangor kerana kos untuk menjalankan perniagaan di Selangor tinggi berbanding di China.

Tetapi syarikat di Eropah (saya) tumpukan, yang ada teknologi tinggi semua sedang mencari tapak untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Selangor. Tiap-tiap tahun saya pergi tiga kali. Saya pergi Jepun, saya pergi Korea, Eropah, Amerika, sebab nak tarik pelaburan.

Jika saya duduk dalam negara sahaja, jadi macam sekaranglah. Terus terang saya katakan, nak pergi negara Arab untuk pelaburan susah. Saya dah buat. (Penasihat ekonomi Selangor Datuk Seri) Anwar Ibrahim kata apa? Dia kata kerajaan (dapat pelaburan) berbillion (daripada) syarikat dari Timur Tengah padahal sampai sekarang tak berlaku.

Timur Tengah bukan (dalam industri) pembuatan. Dia macam kita, pemaju, syarikat infrastruktur, perkara seperti itu. Tapi yang betul-betul (dalam) pembuatan, perjalanan saya ke Disneyland inilah hasilnya (syarikat pembuat sel solar) Q-Cell tengah buat tu.

Jadi hasil dari pergi Morocco dan Disneyland jumlahnya RM3 billion?

Kita pergi ke sekeliling tempat masa tu. 15 hari kita pergi, bukannya (dengan) tangan kosong sahaja. Saya boleh duduk dalam negara sahaja. Tak ada perbelanjaan.

Ada tak perbelanjaan tambahan ditanggung. Contohnya Datuk membawa terlalu ramai orang?

Mereka tanggung kos sendiri. Mereka boleh ikut lawatan saya selagi mereka tanggung kos sendiri. Kalau anda nak bincang dengan syarikat besar-besar ni tak boleh pergi seorang. Anda kena datang dengan pegawai dan delegasi.

Jadi berapa banyak pulangan yang diperolehi daripada misi dagangan ini?

Kalau that lawatan itu sendiri, kita dapat RM3 billion. Yang selebihnya banyak lagilah. RM1 billion, RM2 billion. Saya pergi ke Jepun dapat RM1 billion. Sebab itu kita dapat RM11.87 billion (semuanya).

Jadi Datuk kata semua perbelanjaan untuk lawatan ini sudah ditampung dengan pelaburan yang dibawa masuk?

Ya. Peluang pekerjaan cukup banyak. 30,000. Ia bukan (kerja) mudah. Anda ingat seronok ke pergi seberang laut ni?

Bolehkah lawatan ini dibuat dengan kos lebih murah?

Isunya sekarang, OK. Saya terus terang katakan saya ikut Arahan Am. Saya ikut undang-undang.
OK, anda (tanya) begitu, OK. Anda tidak persoalkan mengapa PM naik penerbangan kelas pertama? Isunya sama. Saya tak nampak ada salah. Kalau ada masalah, maka ambil tindakan.

Jadi Datuk hanya menikmati kemudahan ini?

Saya rasa, kalau nak kira kemudahan, saya kerja 18 jam sehari. Sepatutnya saya dapat lebih lagi. Saya rasa dan lihat pembangunan selama lapan tahun itu sangat baik. Rekod menunjukkan IMD (Institute of Management and Development) sendiri buat laporan, bukan saya yang hendak angkat bakul, rekod dalam audit syarikat berkaitan kerajaan negeri pun nampak semua.

Bagaimana pula dengan bayaran insentif daripada GLC kepada Datuk sebagai MB? Khalid Ibrahim persoalkan perkara ini

Saya rasa semua MB dapat, termasuk Khalid Ibrahim hari ini. Ini (amalan) daripada MB sebelumnya. Kita ikut sahaja.

Datuk tak persoalkan? Mengapa?

Tidak. Setiap MB. Siapa-siapa pun (dapat).

Adakah ini amalan standard di negeri lain?

Setakat yang saya tahu. Sebab kita habiskan banyak masa bersama. Dan, yalah, kita ikut bonus pegawai dapat. Dan kita jalankan perniagaan. Kita tak guna duit rakyat pun.

Jadi bayaran ini hak sebagai MB?

Sebab isunya, PKNS (menghasilkan keuntungan) daripada menjalankan perniagaan. (Seperti) setiap CEO dia setiap syarikat swasta. Samalah, sebagai menteri besar, kita sebagai pengerusi PKNS satu perkara berbeza. Kita kena luangkan masa lebih.

Jadi ini bayaran untuk usaha lebih untuk GLC ini?

Ya, kalau syarikat rugi saya kena tanggung juga, betul tak? Ini perniagaan. Business is business.

Datuk juga ambil tanah yang ditawarkan pada harga diskaun. Datuk tidak rasa 'saya tidak patut ambil?'

Sekali sahaja seumur hidup saya. Dekat Bangi, tiga lot rumah, tak ingat dah. Sekali. Seumur hidup. Setakat pengetahuan saya, saya tidak ambil hak rakyat.

Ini pula tentang pembelian apartmen di Mekah

Saya beli atas nama saya on behalf sebagai pengerusi. Ia dipunyai oleh negeri. Saya dah suruh (pindah milik kepada kerajaan negeri) sekarang ini. Tapi (GLC) tak mahu buat. Tak tahu (kenapa). Apa saya dokumen (yang perlu), saya akan tandatangan. (Ketika itu) PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) memberi kuasa untuk membeli lima buah apartmen. Kita ditawarkan lebih, tapi mereka pun nak beli lima sebab (terma belian) tunai. Lima buah (milik) KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) ada lagi lima, sepuluh.

(Saya jelaskan dalam blog), kami ditawarkan lebih sebab masa saya beratur ramai-ramai saya dapat lebih, tawarkan kepada kerajan negeri, kerajaan negeri sanggup beli hanya lima. Yang lain ditawarkan kepada orang lain lah, kalau tidak rugilah deposit.

Tapi sebelum beratur tu Datuk tentu ada kelulusan daripada lembaga pengarah untuk beli lima sahaja?

Tidak, tidak, tidak. Saya pergi ke sana dulu.

Jadi apabila sudah beli baru ditanya kerajaan negeri mahu atau tidak?

Tidak, saya tawarkan kepada mereka di sini (Malaysia). Mereka (lembaga pengarah) buat mesyuarat semua di sini.

Tapi masa mula-mula beli, beli untuk Datuk sendiri dululah?

Tidak, saya tidak ada. Saya beli sebagai pengerusi. Mula-mula kita beli dapat lima, tapi ditawarkan lebih. Syarikat kata dia tak nak. Saya kata kalau ada pembeli yang nak beli lebih baik dibeli. Kalau tidak, tak diambil. Lembaga kata beli lima. Saya ditawarkan lebih

Itulah soalnya. Lembaga pengarah kata beli lima sahaja, mengapa Datuk beli lebih?

Saya ditawarkan lebih. Lembaga kata beli lima, di sana ditawarkan lebih. Saya kata kalau tidak mahu beli, cari pembeli lain.

Masa itu belum beli lagi?

Belum lagi. Saya jalankan dengan fikiran yang jelas. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Lima, itu yang depa mampu. Sebab bayar tunai. Jadi sampai sekarang sebarang surat saya (akan) tandatangan. Saya tak terlibat langsung dalam pengurusan, transaksi, tak ada. Tiada satu pun masuk ke dalam akaun saya.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran