Followers

Tuesday, September 21, 2010

Sekolah Harapan terima lima pelajar hamil, seorang Cina kejutkan JAIM

Sekolah Harapan di sini, yang diwujudkan bagi pelajar-pelajar hamil, hari ini menerima kemasukan seorang pelajar Cina — perkembangan yang mengejutkan banyak pihak khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menguruskan kemudahan tersebut.

Dia adalah antara lima pelajar yang diterima masuk oleh Sekolah Harapan hari ini.

Sehingga tengah hari tadi dua orang telah mendaftar manakala tiga lagi belum tiba dan dijangka akan mendaftar masuk petang ini.

Ketua Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani ketika dihubungi The Malaysian Insider menzahirkan rasa terkejutnya dengan sambutan yang diterima daripada kaum lain terhadap usahanya memberi teduhan sementara kepada pelajar-pelajar yang mengandung.

“Saya difahamkan pelajar Muslim sahaja yang mahu mendaftar hari ini tetapi tidak menyangka pula pelajar Cina itu sudah mendaftar terlebih dahulu di Rumah Harapan,” katanya.

Rumah Harapan merupakan asrama bagi pelajar yang akan mengikuti Sekolah Harapan.

Sebelum ini rumah yang diwujudkan itu mendapati lebih ramai pelajar Melayu yang menghubungi JAIM bertanyakan prosedur untuk masuk ke Rumah Harapan itu.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati pelajar tersebut hadir ke Rumah Harapan untuk mengisi beberapa borang dan menyerahkan beberapa butiran peribadi yang diperlukan oleh JAIM.

Pelajar tersebut ditemani keluarganya yang turut hadir untuk membantunya dalam pengurusan pendaftaran pada pukul 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, Penyelia Rumah Harapan Saimah Hiran berkata, borang pendaftaran yang mengandungi butiran peribadi pelajar itu akan terlebih dahulu diserahkan kepada JAIM untuk tindakan selanjutnya.

“Pelajar ini hadir untuk mengisi semua borang yang ada dan kemudian maklumatnya akan diteliti oleh Pegawai Tadbir Agama JAIM dan kemudian baru kita tahu tindakan susulan yang akan diambil mengikut prosedur,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pelajar itu perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan melalui beberapa proses saringan dan pemilihan terlebih dahulu.

“Pelajar akan ditemu bual, akan melalui sesi kaunseling, pemeriksaan kesihatan dan akhirnya ada proses pemilihan berdasarkan penilitian terperinci dijalankan,” katanya.

Difahamkan pelajar tersebut berasal dari Johor.

Selain itu, keluarga pelajar Cina tersebut menemui Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim kira-kira pukul 11.30 pagi untuk perbincangan lanjut berhubung kemasukan anak mereka ke Rumah Harapan dan Sekolah Harapan untuk belajar.

Sekolah Harapan ini diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi pelajar dapat mengikuti kelas seperti biasa untuk persediaan menduduki peperiksaan Penilaian Menegah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sekolah tersebut hanya terletak bersebelahan Rumah Harapan yang didaftar oleh pelajar Cina itu tadi.

Dalam satu sidang media khas oleh Ab Rahaman mengesahkan sehingga hari ini lima pelajar akan diterima masuk ke Sekolah Harapan dan Rumah Harapan.

Seorang adalah pelajar tingkatan empat manakala yang lain berada di tingkatan lima.

“Sehingga hari ini kita menerima lima pelajar empat daripadanya akan duduki SPM.

“Seorang tingkatan empat dan mereka datang dari Johor, Wilayah, Pahang selebihnya dari Melaka,” katanya.

Jelas beliau, kehadiran mereka adalah secara sukarela.

Rata-rata mereka sudah mengandung lebih enam bulan.

“Kita mungkin bersedia menerima kehadiran mereka, tempat tinggal, makan minum mereka dan akan segera melihat kesihatan mereka,” kata beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kelas pembelajaran turut sudah bermula hari ini dengan sesi pengenalan diri diadakan.

“Kelas pun sudah disediakan hari ini, gurunya pun sudah ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan segala maklumat pelajar dan keluarganya akan terjamin kerahsiaannya daripada pengetahuan orang ramai.

Selain itu, beliau turut berkata akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak-pihak lain bagi memantau psikologi mereka.

“Kita faham, kita hadir dan melihat perasaan jiwa dan hati mereka yang tertekan supaya pelajar ini tidak mengulangi perkara lama,” katanya.

Tambahan kepada lima pelajar terbabit, kata beliau pihaknya juga menerima empat lagi panggilan baru bertanyakan tentang maklumat kemasukan sekolah dan rumah yang diwujudkan khas bagi melindungi pelajar mengandung anak luar nikah.

“Semua belum berumah tangga dan ada tiga hingga empat panggilan lagi dari Pulau Pinang.

“Kami jangkakan akan lebih ramai pelajar akan daftar dan nampaknya mereka berminat untuk berada di sini dan berharap pengendalian lebih baik untuk mereka semua,” katanya.

Selain itu, kesemua pelajar akan mengikuti kelas aliran kebangsaan seperti biasa pada waktu pagi dan pada sebelah petangnya akan mengikuti kelas pendidikan agama dan pendidikan moral bagi pelajar yang bukan beragama Islam.

Malah kata beliau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut sama mahu membantu pelajar ini dengan memberikan sesi kaunseling.

“NGO banyak menawar diri kepada mereka untuk memberikan sesi kaunseling tetapi kita akan pantau, siasat dan semak supaya mereka yang benar-benar pakar sahaja dibenarkan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menegaskan hanya keluarga dan hubungan rapat dengan pelajar sahaja dibenarkan datang melawat pelajar-pelajar mengandung ini.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, seorang pembantu penyelia Siti Nor Rohaini Abdul Rahim berkata, setakat ini proses pendaftaran pelajar berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pada sesi pendaftaran itu tadi, kesemua ahli keluarga mahukan anak mereka diberi peluang kedua untuk meniti hari-hari mendatang.

“Macam bapa pelajar Cina itu tadi kata kalau boleh biarlah anak dia dijaga baik di sini dan mendapat sokongan penuh untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Beliau juga berkata pelajar Cina yang mendaftar pagi tadi bagaimanapun meminta tangguh dulu untuk tinggal di asrama ekoran perlu menyelesaikan pemindahan sekolah lama ke Sekolah Harapan.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran