Babak kali ini menyaksikan penulis editorial Utusan Malaysia membidas Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana menjauhkan diri dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, pimpinan Ibrahim Ali.
Ada pihak yang berpendapat Najib tidak lagi mampu mengekang pemberontakan bloc konservatif dalam Umno.
Namun bagi pembaca setia kolum Awang Selamat, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, skrip kali ini disyaki untuk mengangkat Najib sebagai wira mempertahankan 1Malaysia dari tekanan puak-puak rasis.
Utusan Malaysia hari ini mempertikaikan dakwaan bahawa Umno perlu menjarakkan diri dari Perkasa jika ia mahu menarik sokongan bukan Melayu. Bagi Awang Selamat, Umno perlu mempertahankan teras masyarakat yang diwakilinya, sepertimana badan-badan yang mewakili etnik-etnik lain di negara ini.
Semalam, kepimpinan kanan Umno ditayangkan media seperti berbahagi pendapat. Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar Perkasa, Ketua Penerangan Ahmad Maslan, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata Perkasa adalah perlu untuk mempertahankan kepentingan Melayu.
Bagi Mahfuz, babak sandiwara ini tidak mempunyai perisa secukupnya untuk mengamit imaginasi rakyat Malaysia, yang umumnya sedar Perkasa dinaungi Umno.
"Umno selama ini pun bukan juara orang Melayu pun, hanya retorik. Hakikatnya dibawah cengkaman Umno, Melayu tidak maju dan berkembang manapun," kata Mahfuz.
"Buat masa ini, Perkasa dilihat tidak menguntungkan sudut politik. Maka mereka perlu membuat kenyataan seolah-olah untuk meminggirkan Perkasa," tambah beliau.
Mahfuz berkata Umno dalam dilema menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. Beliau menjelaskan bahawa Umno menyedari sokongan pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu adalah penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Di mata Mahfuz, sandiwara ini membuktikan Najib sedang merencana strategi untuk menawarkan sesuatu yang seakan-akan sama dengan komitmen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan yang berteraskan merit, keadilan dan lapangan peluang yang saksama untuk semua kaum yang memerlukan bantuan.
"Pakatan Rakyat akan mengisi tuntutan-tuntutan rakyat Malaysia, untuk Melayu, untuk Islam. Bukan lagi Umno atau Perkasa," kata Mahfuz.
No comments:
Post a Comment