Beliau berkata pinjaman berkenaan merupakan satu "penghormatan" kepada Felda kerana ia menunjukkan keyakinan KWSP bahawa lembaga pembangunan tanah itu mampu melunaskan pinjaman berkenaan.
"Apa masalahnya pinjam? Kita pinjam pun daripada (KWSP), (KWSP) bagi kita pinjam itu juga satu penghormatan sebab yakin pada kita, kita boleh bayar.
"Kalau saya meniaga saya ada duit, takkan saya nak guna semua duit saya sendiri, saya mesti pinjam. Itu yang penting, apa yang masalahnya kalau pinjam?
"Saya pun tak tahu apa masalah yang ditimbulkan itu. Saya beli kereta pun pinjam, saya tak tahulah kalau semua orang ANAK ini semua bayar tunai, saya tak tahulah," katanya lagi, menyindir NGO yang menimbulkan isu berkenaan.
Selain ANAK, perkara itu juga ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut Felda menjelaskan sama ada salah sebuah anak syarikatnya – Felda Global Ventures – mengalami kerugian dalam pelaburan di seberang laut.
Kerugian itu didakwa melibatkan pelaburan ke dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia.
Pernah rugi
Sementara itu, ditanya sekiranya beliau menyentuh mengenai kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa secara ringkas berkata beliau hanya menyentuh mengenai kerugian itu secara umum.
"(Felda) pernah juga rugi pada awal-awal, tapi yang penting adalah bagaimana kita menguruskan kerugian itu supaya jadi baik," katanya lagi.
Dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa turut meminta wakil peneroka ke AGM berkenaan supaya "bersyukur" dan "tidak terpedaya" dengan golongan tertentu yang didakwa terus "mencucuk" masyarakat peneroka berhubung kerugian yang dialami Felda.
"Ada orang mencucuk masyarakat Felda, tapi apa nak buat memang ada orang macam itu," katanya lagi yang dipercayai merujuk kepada tindakan berterusan oleh kumpulan peneroka yang memfailkan saman ke atas Felda.
No comments:
Post a Comment