Kerajaan negeri Selangor meminta pihak polis agar tidak menyekat sebarang programkerajaan negeri untuk memberi penerangan kepada rakyat khususnya berkaitan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Abdul Khalid, pihak polis seringkali cuba menutup dewan dan menghalang program yang dianjurkan kerajan negeri kerana mereka dikatakan berbincang mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung 9 Julai depan.
Malah katanya, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut memandangkan ia telah menyekat kebebasan kepimpinan Pakatan Rakyat untuk menyebarkan maklumat telus kepada rakyat.
“Oleh itu saya meminta dalam usaha program-program kita ini, saya meminta pihak polis agar tidak menyekat semua program kerajaan negeri dalam usaha memberi penerangan dan berjumpa dengan rakyat. Saya difahamkan pihak polis di negeri Selangor juga mencuba untuk menutup dewan-dewan dan tempat perjumpaan kerana mereka dikatakan berbincang tentang program Bersih.
“Saya akan berjumpa ketua polis negeri supaya tidak menyekat program-program negeri untuk berjumpa dengan orang ramai. Program-program negeri mesti dibenarkan dan pihak polis boleh mendengar forum-forum serta ceramah negeri yang dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu Abdul Khalid turut memberitahu media bahawa beliau amat menyokong tuntutan Bersih 2.0 yang mahukan Pilihan Raya Umum (PRU-13) dibuat dengan adil,telus dan cekap.
Katanya lagi, kerajaan negeri tidak memperuntukkan kewangan dalam perhimpunan Bersih 2.0, sebaliknya menyediakan peruntukan khas untuk membantu mengedarkan risalah kepada rakyat supaya mereka faham apa yang diperjuangkan Bersih.
“Kita tidak membuat keputusan untuk Bersih, itu paling penting. Tetapi kita juga memberi peruntukan untuk membolehkan mereka memberikan penerangan yang betul kepada seluruh masyarakat di Selangor,” katanya.
Beliau dengan tegas turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan terdapatnya fahaman komunis dalam perjuangan Bersih 2.0 dengan berpendapat Bersih adalah golongan yang memperjuangkan demokrasi supaya rakyat dapat bersuara dengan aman sekaligus mendorong pembangunan negara dengan lebih pesat.
No comments:
Post a Comment