Followers

Saturday, February 5, 2011

Mahathir Berjaya Melemahkan Melayu Dalam Pemerintahannya Dahulu

Pemimpin-pemimpin PAS membidas Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa bekas perdana menteri itu sengaja menyerang Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mahu menutup kegagalan pentadbiran negara ketika zaman pemerintahannya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, selain mahu menutup kegagalan pentadbirannya, kenyataan Dr Mahathir itu juga mahu memecahkan sokongan orang Melayu yang kini memihak kepada PAS-Pakatan Rakyat.

“Jadi jangan nak tebus kesalahan itu dengan meletakkan di atas kepala Nik Aziz, PAS dan Nik Aziz bukan penyebab tapi Umno-BN sendiri.

“Jangan letakkan beban kegagalan ketika beliau memerintah dan punca masalah pada Nik Aziz dan PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menegaskan, tindakan Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang menyerang peribadi Nik Aziz ekoran kegagalan beliau mendapat kepercayaan orang Melayu.

“Jadi saya harap beliau hentikan propaganda dan usaha-usaha untuk cuba memomokkan isu perpaduan orang Melayu demi kepentingan politik Umno-BN.

“Semua penghakisan sokongan orang Melayu ini berpunca pada zaman beliau yang mana kita lihat orang Melayu bangkit kerana kepincangan dan penyelewengan yang berlaku di zaman beliau,” katanya.

Tambah Mahfuz (gambar), kenyataan Dr Mahathir itu bersifat menghasut yang boleh menjejaskan perpaduan kalangan orang Melayu.

“Saya harap beliau dapat bercakap secara rasional, saya anggap kenyataan beliau itu bersifat menghasut tanpa sebarang fakta tentang masalah perpaduan orang Melayu.

“Bagi saya orang Melayu tidak berpecah, orang Melayu tiada masalah di peringkat biasa (akar umbi) kerana yang jadi masalah apabila Umno-BN berhadapan dengan hakisan sokongan orang Melayu.

“Sekali lagi saya tegaskan orang Melayu tidak berpecah... orang Melayu tak berpecah. Jadi jangan mengheret kerana perbezaan politik sebagai punca perpecahan,” kata beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan orang Melayu negara ini boleh disatukan jika dapat “ketuk kepala” Nik Aziz dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan masalah itu berpunca daripada kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Dr Mahathir juga menyifatkan usaha menyatupadukan orang-orang Melayu itu menemui jalan buntu kerana tidak adanya keinginan daripada kedua-dua pemimpin tersebut untuk ke arah itu.

Beliau berkata demikian pada wacana “Kaum Melayu dan Masa Depan” anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan kelmarin.

Sementara dalam tulisan blognya Isnin lalu, Dr Mahathir mendakwa Islam dibawa oleh Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, “lebih teruk dari Islam nasionalis” dan menjadi penyumbang kepada perpecahan orang Melayu Islam negara ini.

Beliau seterusnya berkata, Nik Aziz dan PAS hanya berperanan untuk memecahbelahkan orang Melayu Islam di negara ini.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Dr Mahathir menyerang dasar Islam yang dibawa PAS seolah-oleh membayangkan Islam yang menyebabkan perpecahan orang Melayu di negara ini.

“Beliau (Dr Mahathir) sebut punca perpecahan Melayu daripada PAS tapi saya tengok dari sudut PAS kita berpegang kepada prinsip Islam.

“Kalau beliau tuduh dasar PAS sebagai punca perpecahan ini bermakna beliau tuduh Islam sebagai punca perpecahan, sepatutnya beliau tidak serang kita, kita sudah banyak kali cakap kepada Umno supaya kembali kepada Islam,” katanya.

Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu, punca perpecahan orang Melayu bukan disebabkan PAS tetapi Umno-BN.

“Saya nak tanya di sini, siapa yang menyebabkan perpecahan di Kelantan? Sudah 20 tahun PAS memerintah tapi kenapa kerajaan persekutuan tidak mengiktiraf Kelantan selain menafikan hak Kelantan? Punca perpecahan bukan disebabkan PAS tapi kerajaan perseketuan di bawah Umno-Barisan Nasional.

“Kenyataan kata Nik Aziz punca perpecahan terang-terang salah, yang menyebabkan punca perpecahan adalah Umno-BN, malah tidak tanduk Umno-BN mewujudkan perpecahan,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, serangan yang dibuat Dr Mahathir itu tidak akan menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap PAS.

“Serangan macam ini tidak akan jejaskan PAS kerana serangan peribadi ini bukan perkara baru dalam politik Malaysia.

“Walaupun Umno-BN cuba menjatuhkan maruah Nik Aziz tapi ia tidak akan berjaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran