Followers

Wednesday, February 9, 2011

Bantahan Anak terhadap Isa Samad tepat

Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman tidak hairan jika pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baru, memburukkan pasaran saham.

Katanya, perkara itu memang sudah dijangka oleh Anak yang dari awal-awal lagi menyatakan bantahan terhadap perlantikan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

"Sebab itu dari awal lagi kami dari Anak menentang sekeras-kerasnya pemilihan Isa Samad sebagai pengerusi Felda kerana rekodnya yang sangat buruk.

"Bukan sahaja sebab rasuah waktu pemilihan Umno, tetapi juga rekod buruk sewaktu menjadi menteri besar Negeri Sembilan dahulu," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Investment, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam forum anjuran badan pemikir, Ideas dilapor berkata, pemilihan Isa Samad sebagai pengerusi Felda menyebabkan pasaran saham menjadi tidak menentu.

Katanya, terdapat banyak GLC yang mempunyai bekas ahli politik dilantik sebagai pengerusi tetapi bagi Felda, adalah kes yang jarang berlaku di mana pasaran bimbang dengan pelantikan itu.

Manakala seorang panel, Anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), Zainal Aznam Mohd Yusof berkata, rekod Mohd Isa yang terpalit dengan gejala rasuah adalah punca kebimbangan pasaran.

Beliau menyifatkan perlantikan Isa sebagai sesuatu yang menyedihkan.

"Sampai sekarang saya tertanya-tanya, atas asas apakah Isa dipilih oleh (Datuk Seri) Najib Razak.

"Apa yang Najib cuba untuk tunjukkan dengan melantik Isa? Atau adakah kerana Isa ada hubungan rapat dengan beliau dan Rosmah?" soal Mazlan lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak pihak yang sebelum ini menganggap bantahan yang dibuat Anak semata-mata bertujuan populis dan berkepentingan politik.

Tambahnya, apa yang didedahkan pada forum semalam membuktikan bantahan mereka selama ini adalah berasas.

"Ini bukan soal politik, ini soal integriti. Harapan kita nak tengok kecemerlangan Felda setanding dengan zaman Felda ketika dipengerusikan Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dulu," ujarnya lagi.

Namun dengan perlantikan Isa katanya, harapan itu sangat kabur ekoran beberapa tindakan awal Isa yang disifatkannya sebagai angkuh.

"Dia awal-awal lagi bagi amaran kepada pegawai Felda supaya letak jawatan kalau sokong Pakatan Rakyat dan dia ugut juga peneroka.

"Saya tak nampak dengan keangkuhan dia ini, dia mampu besihkan nama baik Felda yang telah buruk sejak zaman (Tan Sri) Yusof Noor," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran