Followers

Wednesday, July 28, 2010

Prof Aziz: Benar guru aktif berpolitik langkah silap Umno-BN

Keputusan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini, yang diumumkan semalam adalah satu langkah “terdesak Umno-BN” yang silap, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan

Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.

“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini.

“Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.

Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.

Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran