Followers

Saturday, July 3, 2010

Editor: ‘Suara Keadilan tak akan mohon maaf, bayar satu sen pun’

Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib menunjukkan edisi akhbar itu bertajuk "Felda Bangkrap" dan surat diterima daripada Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Gambar oleh Choo Choy May

Suara Keadilan, akhbar terbitan PKR, tidak akan memohon maaf, malah tidak akan membayar sebarang sen kepada pengurusan Felda sebaliknya bersedia bersemuka dengan agensi persekutuan tersebut berhubung laporan bertajuk ‘Felda Bankrap” bulan lalu.

Pada waktu yang sama, akhbar itu juga akan menemui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam, Ahad ini untuk membolehkan terbitan tersebut dikeluarkan seperti biasa sementara menunggu kelulusan pembaharuan permit penerbitan kelak.

“Saya akan menemui ketua setiausaha KDN untuk mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin, saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan sebaik yang mungkin... saya yakin,” kata Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Kata beliau, berdasarkan surat rasmi dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri hari ini, Suara Keadilan tidak boleh diterbitkan lagi sehingga permitnya diperbaharui.

Ketika kementerian memutuskan demikian Suara Keadilan dalam proses menerbitkan edisi akan datang, yang dijadual berada di pasaran Selasa ini.

Bagaimanapun penerbitan itu menjadi tanya tanya ekoran keputusan kementerian.

Sehubungan itu kata beliau, sementara Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan penjelasan pihaknya penerbit akhbar tersebut berharap akan menerima kebenaran untuk dibolehkan ia diterbitkan seperti biasa.

Akhbar mingguan itu mempunyai edaran kira-kira 100.000 naskhah dan diedarkan di seluruh negara.

Suara Keadilan menerima permit penerbitan kali pertama pada 2008, selepas pilihan raya umum ke-12.

Permit penerbitan tahunan akhbar mingguan Suara Keadilan luput kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui permit Suara Keadilan sehingga mereka berpuas hati dengan penjelasan diberikan oleh pengurusan akhbar mingguan itu berhubung laporan mengenai Felda.

Keputusan itu diambil oleh panel khas Kementerian Dalam Negeri semalam.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab. Samad berkata permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat tempoh kelmarin akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan memuaskan diterima daripada pihak penerbitan akhbar itu.

“Bermula dari 1 Julai (semalam), permit penerbitan bagi Suara Keadilan tidak lagi sah dan dengan demikian, penerbitan tersebut tidak boleh dicetak atau diterbitkan,” kata beliau.

Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tiada seorang pun boleh mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar atau menawar untuk menerbit, menjual, mengeliling atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau di Singapura melainkan jika permit di bawah perengan (a) atau (b) subseksyen (1) seksyen 6 telah diberikan oleh Menteri berkenaan akhbar itu.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran