Followers

Monday, July 25, 2011

Biometrik: Bukan langkah selamat malah sia-sia













Penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya, terutama bagi proses pengesahan pegundi, bukanlah satu langkah yang baik, tepat dan selamat, malah merupakan usaha yang sia-sia dan membazir.

Untuk membolehkankan pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan adil, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak sepatutnya memperkenalkan sistem itu, tetapi menimbang 8 cadangan jawatankuasa Bersih 2.0 yang dikemukakan kepada pihak SPR dan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, hanya dengan menerima cadangan itu, semoga imej dan integriti pemerintah dan SPR di mata dan hati rakyat Malaysia dapat dipulihkan.

Menurut beliau, setiap sistem teknologi maklumat yang memerlukan pengesahan aplikasi sistem akan merujuk kepada pengkalan data.

Katanya, SPR telah diketahui umum telah lama menggunakan aplikasi teknologi maklumat untuk menyimpan maklumat pengundi di dalam pengkalan data.

"Malah maklumat daftar pengundi boleh dicapai oleh setiap pengundi secara ‘online’ dengan menggunakan kekunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk aplikasi sistem SPR itu mengarahkan capaian maklumat pengundi daripada pengkalan data SPR.

"Rakyat tahu masalah utama aplikasi sistem teknologi maklumat SPR bukanlah pada aplikasi itu, tetapi data atau maklumat yang berada di dalam pengkalan data SPR," katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas cadangan SPR untuk memperkenalkan sistem biometrik dalam pilihanraya.

Menurut beliau, dalam konteks SPR, hanya SPR sahaja yang tahu siapa yang bertanggungjawab untuk memasukkan dan mengemaskinikan data atau maklumat tersebut di dalam pengkalan data.

Data atau maklumat di dalam pengkalan data, katanya, tidak boleh berubah dengan sendirinya. Sebaliknya, ia hanya boleh berubah dengan tindakan manusia yang menggunakannya.

"Siapa yang menggunakannya? Anda tahu siapa? Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti data atau maklumat bukanlah kerana aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu, kenapa sistem biometrik dicadangkan?

"Sistem biometrik juga adalah sebuah aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan ‘hardware’ atau perkakasan serta perisian dan bukan ‘software’ atau perisian semata-mata untuk capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini," ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, sistem biometrik yang menggunakan cap jari akan bertindak sebagai kunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk capaian data atau maklumat daripada pengkalan data.

"Setiap rakyat Malaysia mempunyai nombor kad pengenalan unik dan boleh dipadankan dengan cap jari yang juga unik. Sepertimana maklumat nombor kad pengenalan yang perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan maklumat pengundi dicapai (nama penuh, alamat, tempat mengundi dan sebagainya), cap jari juga perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan capaian itu dilakukan.

"Sepertimana didapati terdapat nombor kad pengenalan yang sama tetapi mempunyai tempat mengundi yang berbeza (pelbagai lokasi), cap jari juga boleh dipadankan dengan tempat mengundi yang berbeza selagimana nombor kad pengenalan dan cap jari yang sama dimasukkan oleh SPR ke dalam beberapa rekod (tempat mengundi dan alamat) yang berbeza, keputusan daripada sistem biometrik juga akan menghasilkan senarai pengundi yang boleh mengundi di beberapa lokasi mengundi," kata Nasrudin (
gambar).

Oleh itu, menurutnya, isu ketelusan dan pengundi hantu bukanlah kerana aplikasi capaian (perkakasan atau/dan perisian). Jadi, apa perlu ia ditukarkan jika prosesnya sama? Pertukaran lebih dilihat hanya dari aspek kosmetik luar.

"Jawapannya adalah tidak perlu. Siapakah lagi yang akan mendapat habuan dari kegawatan ini melalui cadangan sistem biometrik itu?

"Secanggih manapun aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu (perkakasan atau perisian, biometrik (cip/kad Id, suara, pengesahan ibu jari atau mata), jika data atau maklumat yang sedia ada di dalam pengkalan data tidak dibersihkan, tidak dikawal dan diurus selia secara bebas oleh badan yang bebas serta dipercayai rakyat akan ketelusan mereka, saya tidak melihat sumbangan sistem biometrik itu kepada ‘ketelusan' itu khususnya penyelesaian kepada solusi isu pengundi hantu.

"Malah manipulasi sistem biometrik boleh dilakukan kepada pengkalan data. Biometrik boleh mencegah penipuan pilihanraya, Biometrik juga boleh digunakan untuk menipu pilihanraya,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran