Followers

Tuesday, July 5, 2011

Agong titah kerajaan supaya runding dengan Bersih

Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya kerajaan pusat Barisan Nasional mengadakan rundingan dengan penganjur Bersih 2.0 bagi menyelesaikan isu perhimpunan aman menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih.

Seri Paduka mahu kedua-dua pihak berunding secara bertamadun bagi menyelesaikan masalah, dan tidak mengikut perasaan kerana boleh berlaku “yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran”.

“Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong menyeru kerajaan BN agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

“Yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau pun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walau pun niat asalnya baik,” titah Agong.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini telah mendapat reaksi buruk dari kerajaan BN di mana polis telah menangkap lebih 100 orang kerana memakai baju-T kuning serta menahan sesiapa sahaja yang memiliki risalah menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mengalu-alukan titah Seri Paduka yang bimbang dengan “kegilaan” kerajaan BN terhadap rakyat prihatin yang setia dan patriotik kepada negara yang hanya mahu kepada pilihan raya bersih.

Sebagai langkah pertama untuk mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, beliau mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya bertemu dengan penganjur Bersih 2.0 untuk membincangkan kepincangan dan kelemahan sistem dan amalan pilihan raya di Malaysia.

Katanya, langkah kedua yang perlu dilakukan oleh kerajaan BN ialah untuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menarik balik pengharaman Bersih dan membebaskan semua yang ditahan termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.

Sementara itu, walau pun Agong sudah bertitah, lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, masih mendesak kerajaan BN supaya menangkap semua yang terlibat dengan penganjuran Bersih 2.0.

Dalam satu rencana hari ini, Utusan mendakwa:

“…penganjur dan penyokong Bersih…juga tidak peduli sama ada ia akan memberi kesan buruk kepada orang ramai atau tidak, apa yang penting bagi mereka ialah berarak di jalan raya kononnya bagi menuntut sebuah pilihan yang bersih dan adil.

“Atas sebab itulah, langkah polis menutup pintu rundingan dengan kelompok berkenaan amat tepat. Masa untuk berlembut sudah berakhir, tiada lagi pujukan, rayuan mahu pun perbincangan tetapi sekarang adalah masa untuk bertindak. Ini memandangkan demonstrasi pada tarikh tersebut mempunyai seribu satu kesan buruk kepada negara.”

Utusan terus mendesak supaya pihak berkuasa supaya tidak berunding dengan penganjur Bersih 2.0 walau pun telah dititahkan oleh Seri Paduka untuk berbuat demikian. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran