Rakyat bakal berdepan risiko berganda sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) masih diberi peluang mentadbir negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Padah yang bakal ditanggung rakyat antaranya kenaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG biar pun kenaikannya ditangguh sementara sekarang.
Lebih membimbangkan lagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diketepikan sebelum ini akan dilaksanakan sepenuhnya apabila rakyat memberi kuasa politik kepada BN.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman berkata, bebanan besar bakal ditanggung rakyat akan menjadi kenyataan sekiranya BN masih diberi mandat pada pilihan raya umum nanti.
”Ini kerana keputusan kerajaan tidak menaikkan harga RON95, diesel dan LPG hanya sebagai taktik memenangi hati rakyat semata-mata.
”Pengumuman tersebut dilakukan bertujuan mengelakkan BN tidak lagi menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor menafikan tindakan kerajaan tidak menaikkan harga RON95 ada kaitan dengan pilihanraya umum.
Azihan juga berkata, keputusan kerajaan BN menangguhkan kenaikan harga bahan api dan LPG sebagai menandakan pilihanraya imum ke-13 semakin hampir sekarang.
Oleh itu, AMK berhujah kenaikan harga barang pastinya tidak lagi terkawal selepas pilihan raya umum nanti apabila BN masih memiliki kuasa politik.
”Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda kenaikan harga RON95, diesel dan LPG sekarang. BN perlu dihalang daripada terus menindas rakyat,” ujarnya.
Menurutnya juga bebanan kehidupan rakyat semakin berat sekarang berikutan keputusan kerajaan sebelum ini menaikkan harga barangan keperluan harian termasuk gula dan memperkenalkan tarif baru elektrik.
”AMK mencabar Perdana Menteri supaya subsidi kepada syarikat besar penjana bebas elektrik (IPP) dimansuhkan bagi membolehkan subsidi itu digunakan untuk rakyat,” katanya.
Sekarang hampir 34 peratus warga pekerja di Malaysia yang berjumlah 4 juta dibayar gaji kurang RM700 sebulan, manakala 40 peratus rakyat berpendapatan kurang RM1500 sebulan.
Azihan juga berharap rakyat perlu bersatu-padu berjuang memastikan kuasa yang dimiliki kerajaan BN sekarang tidak lagi disambung hayatnya selepas pilihan raya umum ke-13.
”Rakyatlah yang akan menjadi tuan yang sebenar dalam menentukan situasi negara pada masa depan. Silap percaturan mereka akan menerima padah,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment