Followers

Monday, October 25, 2010

Sekolah Cina, badan bukan Islam terima bantuan

Sekolah persendirian Cina dan badan agama Bukan Islam di Sandakan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Sabah untuk membina dan memperbaiki prasarana mereka.

Bantuan yang disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada majlis di SJK(C) Chi Hwa di Sandakan malam tadi juga bertujuan membiayai aktiviti sekolah-sekolah dan badan-badan agama bukan Islam berkenaan.

Sekolah persendirian Cina termasuk sekolah menengah dan taman asuhan kanak-kanak menerima sumbangan berjumlah RM1.6 juta, berbanding RM1.53 juta tahun lalu.

Badan agama bukan Islam di Sandakan pula menerima bantuan sebanyak RM2.54 juta dengan RM1.39 juta untuk tokong Cina, RM1.1 juta untuk gereja dan RM50 ribu lagi untuk kuil Hindu.

Wakil sekolah persendirian aliran Cina dan badan agama bukan Islam menyambut baik sumbangan kewangan berkenaan kerana ia dapat meringankan beban mereka yang selama ini banyak bergantung kepada sumbangan masyarakat.

"Mereka yang hadir di sini untuk menerima bantuan bukan sahaja rakyat biasa tetapi juga wakil sekolah bantuan kerajaan dan persendirian. Mereka semua mendapat bahagian masing-masing daripada kerajaan negeri.

"Ini sangat baik kerana kita mempunyai kerajaan negeri yang prihatin," kata wakil gereja Katolik Sandakan, Bishop Julius Dusin Gitom.

Julius berharap program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang serta ditingkatkan jumlahnya jika kerajaan mempunyai kemampuan kerana penerima seperti sekolah-sekolah mubaligh bergantung kepada sumbangan orang awam untuk membiayai pengurusannya.

Wakil masyarakat Cina, Tan Sri Andrew Liew pula berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan itu dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.

Terdahulu, Musa dalam ucapannya berkata, kesediaan kerajaan memberikan bantuan itu kepada badan-badan agama bukan Islam mencerminkan jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memelihara kebebasan beragama di negeri itu.

Beliau berharap badan-badan agama berkenaan akan terus menggalakkan pembangunan kerohanian di kalangan masyarakat bagi membendung pelbagai penyakit sosial masa kini.

Musa berkata, bantuan itu juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan BN untuk melahirkan modal insan cemerlang yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara sesuai dengan hasrat negara menjadi negara maju menjelang 2020.

Pada 2008, kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM8 juta untuk sekolah-sekolah dan badan-badan agama bukan Islam di Sabah dan tahun lalu jumlah itu dinaikkan kepada RM10 juta.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran