Followers

Monday, October 11, 2010

Satu Lagi PRK Akan Di Adakan

Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya semalam.

Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi.

“Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia merupakan kubu kuat BN,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian di Kota Kinabalu semalam, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengenai kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

“Saya kehilangan seorang rakan khususnya dalam perjuangan BN di Batu Sapi. Beliau merupakan seorang Anggota Parlimen yang bekerja kuat untuk parti dan prihatin dengan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan berharap isteri serta anak-anaknya bersabar menghadapi dugaan itu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari Umno dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lepas. — Bernama

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran