Followers

Sunday, November 20, 2011

Pemimpin PR Sambut Baik Hasrat Selangor Ada Pilihanraya Selepas Jun 2012


Saturday, 19 November 2011 | Ruangan: Berita

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM, 19 November : Keputusan Kerajaan Selangor untuk hanya membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas Jun tahun depan akan memberi peluang untuk rakyat menikmati faedah daripada Belanjawan 2012.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty yang dihubungi TVSelangor/Selangorkini berkata , keputusan itu dilihat suatu yang berhemah bagi melaksanakan Bajet 2012 demi kepentingan rakyat keseluruhan.

“Kenyataan Menteri Besar itu adalah memenuhi persefahaman yang wujud antara negeri-negeri yang ada dalam Pakatan Rakyat kerana ia adalah menepati dengan kuasa-kuasa yang terdapat dalam perundangan negeri seperti Selangor,Pulau Pinang ,Kedah dan juga Kelantan yang mengikut undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri yang pihak berkuasa negeri boleh menentukan bila-bila masa tarikh pilihanraya dengan memaklumkan kepada Sultan atau Yang Dipertua.

“Saya rasa ini adalah keistimewaan yang akan diberi oleh negeri-negeri kerana kerajaan negeri hendak memenuhi manifesto kepada rakyat. “Dan saya rasa ini satu keputusan yang berhemah oleh kerajaan negeri yang juga sudah dibicarakan dalam Majlis Pakatan Rakyat,” katanya.

Semasa penggulungan di sidang DUN Selangor pada Nov 16 Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tempoh selepas Jun 2012 dianggap relevan dan sesuai selepas belanjawan negeri dapat dilaksana dan dinikmati oleh rakyat.

Manakala Timbalan Pengerusi DAP Dr. Tan Seng Giaw pula berkata kerajaan pusat sewajarnya menangguhkan pilihanraya umum dalam masa terdekat bagi memberi peluang dan ruang kepada Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pilihanraya menjalankan kerja mereka.

“Ini memang berasas, kerana Perdana Menteri ingin mewujudkan jawatankuasa khas pilihanraya untuk reformasi pilihanraya dan jawatankuasa pilihan itu sedang membuat kerja di Parlimen, dan jawatankuasa sedemikian memang mengambil masa, kalau sampai Jun 2012 pun adalah masa yang singkat terutama syor-syor yang diadakan mesti dikemukakan bagi dilaksanakan,” katanya.

“Dan dengan adanya Jawatankuasa Khas Pilihanraya ini kalau lah ada pilihanraya ke13 diadakan sebelum keputusan jawatankuasa ini dikuatkuasakan ini bermakna pihak Barisan Nasional tidak jujur dan ikhlas,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau mahu pemimpin Pakatan di peringkat pusat memperincikan keputusan pilihanraya berasingan.

“Jadi saya kena tunggu mesyuarat daripada Pakatan Rakyat agar mendapatkan gambaran yang sebenarnya apa perincian berkenaan perkara berkenaan,” katanya menjawab ringkas.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata kepimpinan tertinggi parti memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk memilih tarikh untuk mengadakan pilihanraya negeri.

No comments:

Post a Comment

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran