Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Prof Zainal Kling untuk menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Malaya tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British. Pengarah Operasi PPP, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan, supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik. Menurutnya, mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar. “Mengemukakan cadangan intelek melalui cara ini bukanlah kaedah ahli-ahli akademik sebaliknya kaedah orang awam termasuklah ahli-ahli politik,” ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah itu, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi. Tambah beliau, sebaliknya sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik. Oleh sebab itu, ujarnya PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri. Menurutnya, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Khoo Kay Kim dan Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai para ahli akademik di dalam mahupun di luar negara. Katanya, kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Malaya, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu, manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British. “Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana, PhD dan Pasca Kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun,” ujarnya. Beliau berkata, pandangan yang menyatakan Malaya tidak pernah dijajah, justeru pegawai yang berkhidmat tidak boleh disebut pegawai British merupakan satu premis akademik yang nyata bertentangan. Oleh sebab itu, katanya cadangan intelek seperti itu tidak sepatutnya dilontar hanya dengan sehelai dua muka surat kenyataan akhbar sehingga tidak dapat dikritik, dinilai, diteliti dan disahkan oleh ahli-ahli akademik yang lain. “Bagaimana mereka boleh melakukan semua ini sedangkan tiada argumen-argumen akademik yang dikemukakan, sebaliknya hanya sekadar bergantung kepada takrif sempit istilah colonialism yang dipilih. “Bukankah seseorang ahli akademik dan profesor sentiasa hidup dengan argumen?” soalnya. Tambahnya, takrifan colonialism yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya. “Tidakkah istilah ‘naungan’ (protectorate) pada kurun ke 19 lazimnya adalah merujuk kepada colonial protectorate?” tanya beliau. Demikian juga, jelasnya dengan istilah ‘lindungan’ (protected) lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka. “Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Lanka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat,” ujarnya Menurutnya lagi, menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir. “Oleh kerana tesis baru MPN ini perkara yang besar malah turut melibatkan status negara-negara yang lain, adalah tidak wajar ia dilontarkan hanya melalui kenyataan akhbar,” katanya. Katanya, mereka sepatutnya mengemukakan satu artikel atau buku ilmiah, supaya ahli-ahli akademik dan profesor-profesor di seluruh dunia dapat memberi maklum balas terhadap tesis mereka. Beliau menambah, berdasarkan tesis baru mereka, MPN juga perlu menentukan kedudukan Raymond Dancey yang merupakan ketua Rumah Pasong Bukit Kepong dan ketika itu baru sahaja menamatkan perkhidmatan di Wilayah Naungan British, Palestin. “Menurut banyak pihak dialah menjadi sasaran utama Mat Indera. Adakah dia Polis British atau Polis Malaya?” soalnya lagi. |
Followers
Saturday, September 10, 2011
Tidak dijajah: MPN dicabar terbit buku ilmiah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment