Followers

Tuesday, October 26, 2010

Taraf hospital tentera diturunkan, kos tetap sama

Hospital Angkatan Tentera di kem Kinrara, Puchong yang dikenali sebagai '95 Hospital ATM' dibina di bawah tahap spesifikasi sekalipun harga asalnya dikekalkan.

Dibina pada harga sebanyak RM267.89 juta, kontraktor dikatakan mengambil jalan mudah dengan membuat pindaan terhadap skop kerja - tanpa memaklumkan kepada Kementerian Kewangan.

Ia termasuklah membatalkan pemasangan penghawa dingin di semua kawasan koridor dan laluan di bangunan hospital.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, didapati beberapa skop kerja diturunkan tarafnya termasuklah:

  • Keluasan bangunan hospital dikurangkan sebanyak 7,000 meter persegi.
  • Mengurangkan sistem interkom kepada 15 stesen kritikal sahaja berbanding 52 stesten yang sepatutnya.
  • Kemudahan seperti rumah keluarga untuk pegawai dan pangkat-pangkat lain, Wisma Perwira serta Wisma Bintara tidak dibangunkan atau dibina.
  • Peralatan perubatan telah dikurangkan kepada 60 peratus daripada sasaran asal.
Laporan ini juga mendapati bahawa Project Management Consultant (PMC) - penyelaras antara klien dan kontraktor - QMC Project Sdn Bhd, dikatakan telah bertindak secara tidak profesional dan ini menyebabkan "kesalahfahaman" terhadap kos projek.

"Secara realistik tidak berlaku sebarang pengurang skop tetapi kesalahfahaman dan perkhidmatan PMC yang tidak profesional," laporan itu dipetik.

Pertandingan satu lawan satu antara BN dan Pas di Galas

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 Nov ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, manakala calon Pas ialah Dr Zulkefli Mohamad, 44, ialah Pemangku Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang.

Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid mengumumkan nama kedua-dua calon itu pada 11 pagi.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti itu.

Abdul Aziz, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi dan Dr Zulkefli, menyerahkan borang pencalonannya pada 9.30 pagi.

Proses pencalonan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Presiden Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang menyatakan akan meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil ini, tidak muncul pada penamaan calon hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Galas merupakan yang kedua di Kelantan selepas Pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai 2009 dan pilihan raya kecil yang ke-12 berlangsung di seluruh negara selepas pilihan raya umum 2008.

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran