Followers

Saturday, September 25, 2010

ADUN-ADUN Yang Berwajib Sila Ambil Perhatian

Para pembeli rumah Ukay Bistari di Hulu Kelang, projek yang kini terbengkalai, memberi kata dua akan mengundi kepada perikatan - sama ada BN atau Pakatan Rakyat — yang sanggup menyelesaikan masalah mereka sebelum pilihan raya umum ke-13. Kata dua mereka muncul di tengah-tengah usaha keras PR dan BN mahu menambah kedudukan mereka di Dewan Undangan Negeri Selangor.

PR mengambil alih kerajaan negeri, yang paling kaya di negara ini, menerusi pilihan raya umum dua tahun lalu.

“Dalam tindakan terdesak terakhir ini, para pembeli yang kebanyakannya penduduk kawasan Parlimen Ampang dan Gombak kini menawarkan peluang kepada kerajaan negeri dan pusat dalam tender yang unik bagi memberi undi blok kepada kerajaan yang sedia membantu masalah perumahan kami,” kata

Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah UKB (PHUKB) Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman dalam emel kepada media hari ini.

“Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa (kami ada)n minimum 4,000 undi dalam pilihan raya umum akan datang,” kata beliau lagi.

The Malaysian Insider difahamkan tindakan agresif pembeli-pembeli terbabit sudah cukup untuk menjatuhkan wakil PR di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Kata dua mereka sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat tidak peduli mengenai politicking yang wujud sekarang, sebaliknya mahu masalah-masalah setempat yang dihadapi diselesaikan.

Ia juga memberi amaran kepada PR bahawa penguasaan mana-mana negeri termasuk Selangor bukan sesuatu yang kekal jika masalah seumpama itu tidak diselesaikan.

Dr Rafick memberitahu The Malaysian Insider hari ini, kesemua 2,000 ahli PHUKB menyokong rancangannya dan sanggup melakukan apa sahaja bagi membolehken masalah perumahan mereka diselesaikan.

“Setakat minggu lalu, kami menerima pengesahan bahawa bank undi yang terjamin adalah seramai 6,000 orang,” kata beliau sambil menambah mereka juga sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan rakan-rakan mereka dan jiran masing-masing.

“Kami akan bercakap atas satu suara dalam isu ini,” kata beliau.

Daripada jumlah itu, 68 peratus pengundi adalah dari kawasan Parlimen Ampang, 30 peratus dari Gombak dan baki dari kawasan lain.

Beliau mendakwa jika kerajaan PR mengetepikan permintaan mereka, kemungkinan wakil rakyat semasa akan dibuang undi keluar dan digantikan oleh BN.

“Berdasarkan paten undi dan keputusan pilihan raya umum lalu, bilangan undi yang kami tawarkan sudah cukup untuk mengubah kedudukan Ahli Parlimen Gombak dan Ampang serta ADUN Bukit Antarabangsa,” tegas beliau.

Naib Presiden PKR Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa manakala Ketua Wanitanya Zuraida pula Ahli Parlimen Ampang.Bagi membuktikan ikhlas dalam niat mereka, ahli-ahli PHUKB akan berhimpiun di tapak projek pada 3 Oktober untuk menaikkan kain rentang 6.6 meter x 10 meter (20 kaki x 30 kaki) menghala ke arah Jalan Lingkaran Tengah untuk meluahkan pendirian mereka.

“Kami sudah penat menjadi mangsa dalam semua perundingan bagi menyelesaikan isu ini, yang terbengkalai sejak 2003,” katanya.

“Kerajaan negeri Selangor telah campur tangan dan menjadikan keadaan lebih buruk bagi kami.

“Kami juga mengadakan perbincangan menerusi kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi sehingga kini tiada masa yang diselesaikan,” katanya.

Dr Rafick juga melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan negeri Selangor yang lebih banyak fokus ke atas pilihan raya {KR berbanding isu-isu lain yang lebih penting.

“Saya sangat kecewa. Dalam kapasiti peribadi, saya mengundi Azmin dalam pilihan raya tetapi nampaknya beliau telah mengecewakan saya,” katanya.

Azmin akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan pusat PKR bulan depan.

“Kami telah memberikan pemaju-pemaju satu peluang. Kami juga sudah bercakap dengan kerajaan Selangor, kementerian.

“Adalah jelas, ia memerlukan kekuatan politik untuk menyelesaikan masalah ini. Sebab itu kami tiada pilihan, dan perlu melakukan yang ini,” kata Dr Rafick.

Menurut laporan kemajuan PHUKB yang dikeluarkan Februari lalu, projek pembangunan perumahan Ukay Bistari bernilai RM200 juta dimulakan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai Damai Bistari Sdn Bhd, yang dimiliki penuh oleh Intelbest Corporation Sdn Bhd.

Damai Bistari, menurut Dr Rafick, diuruskan oleh Tan Sri Chan Ah Chye yang merupakan penasihat korporatnya.

Chan juga pengarah eksekutif Talam Corporation Bhd, syarikat yang terpaksa memperoleh sokongan kewangan kerajaan negeri Selangor berjumlah RM392 juta untuk diselamatkan daripada hutang.

Projek Ukay Bistari melibatkan 1,800 unit rumah kos rendah, apartmen kos sederhana, apartmen servis. rumah-rumah teres, lot-lot kedai dan pejabat.

Sejak dilancarkan 98 peratus unit sudah habis dijual tetapi pembangunannya berhadapan dengan masalah ekoran kesukaran kewangan.

Tarif air: Syabas tuntut Selangor bayar pampasan RM308 juta

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menuntut RM308 juta daripada kerajaan Selangor, didakwa sebagai “pampasan”, kerana menghalang menaikkan tarif air di negeri itu.

Kerajaan negeri menerima dua surat tuntutan bertarikh 15 September 2010.

“Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung dalam perjanjian konsesi,” kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, Syabas juga mengugut untuk mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian.

“Ditegaskan di sini, kerajaan negeri sedikit pun tidak gentar dengan tuntutan Syabas,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air teruk, bekalan air tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit.

Ia menambah, jika Syabas dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37 peratus seperti yang disebutkan dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal berbanding harga petrol semasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan.

“Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan,” katanya.

Ia menjelaskan, konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

“Pengenalan konsep tersebut tidak tercatatat langsung bahawa penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah.

“Dengan ini, kerajaan negeri menyatakan semangat konsep penswastaan telah dicabuli oleh golongan yang tamak dan berkepentingan sekali gus telah mencabar kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, kerajaan Selangor pada masa yang sama yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret Syabas ke mahkamah kerana kegagalan mereka mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.

“Akibat kegagalan tersebut telah merugikan rakyat Selangor sehingga mencecah jutaan ringgit.

“Menteri Besar telah berulang kali menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun, usaha Syabas atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, kerajaan negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada iaitu undang-undang bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh diguna pakai.

“Syabas sesungguhnya maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi Syabas membuat tuntutan pampasan di peringkat ini. Surat-surat tuntutan ini juga mendedahkan pekung Syabas yang tidak mengendahkan kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Pada 28 Julai lalu, Syabas berkata pihaknya sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Lee Miang Koi berkata sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

“Syabas akan tuntut pampasan, kami sedang menimbang untuk ambil tindakan undang-undang, ikut perjanjian konsesi kami memang berhak ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata Syabas sudah menghantar tuntutan mengenai pampasan itu bagaimanapun sehingga sekarang, masih tiada maklum balas dari pihak kerajaan negeri.

Wednesday, September 22, 2010

Zam celaru: Selamat tinggal Umno BN

“Sekadar mahu bersatu dengan asas bangsa semata-mata yang rapuh dan longgar, malah ternyata telahpun gagal, maka saya ucapkan selamat tinggal kepada Umno dan BN,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Beliau menegaskan bahawa sesungguhnya Pakatan Rakyat adalah pilihan rakyat Malaysia untuk melahirkan sebuah negara yang mempunyai masa depan yang lebih baik setelah dihancur dan dirosakkan oleh Umno BN sekian lama.

Justeru, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang dipetik sebagai berkata perpaduan Umno dan PAS tidak akan menjamin kekuatan bangsa, sebaliknya tiga parti utama pengasas BN iaitu Umno, MCA serta MIC perlu memulihkan jati diri dengan tegas dan berani menerusi pendekatan baru, untuk menjamin masa depan negara.

“Walaupun kenyataan Zam nampak keliru dan bercelaru, namun hakikat yang saya dapat ambil dari bekas menteri Umno itu ialah dia sudah mengakui mustahil akan wujudnya perpaduan selagi Umno tidak mahu kembali kepada Islam sebagai landasan perjuangan,” ujar Khalil di dalam blognya.

B eliau menambah, penegasan awal oleh kepimpinan PAS bahawa asas perpaduan sesama Melayu atau dengan banga lain adalah di atas dasar dan asas yang diajarkan oleh Islam sebagaimana yang berlaku di Madinah semasa tertubuhnya Kerajaan Islam contoh.

Demikianlah, jelasnya penyatuan semua bangsa di bawah Pakatan Rakyat yang terdapat sebuah parti Islam iaitu PAS adalah asas yang kukuh bahawa penyatuan semua bangsa bukan kerana idealogi masing-masing yang dipertahankan namun kerana kehebatan Islam itu sendiri yang lengkap dan melengkapi idealogi manusia yang banyak kepincangan.

Ini, kata beliau tentunya kerana idealogi Islam bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah.

“Malah saya membantah kenyataan Zainuddin yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang Islam dengan berkata perjuangan berasaskan ideologi, terutamanya agama, tidak mengenal tolak-ansur, bersifat keras serta wajah manis mereka adalah bersifat sementara dalam menunggu kesempatan.

“Kenyataan Zam semacam menolak kesyumulan Islam yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang mengaku Islam,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, kecelaruan pemikiran Zam yang mengajak bersatu atas asas bangsa semata-mata tanpa matlamat yang jelas melihatkan kecetekannya dalam menelusuri kekuatan bangsa mana sekalipun yang memerlukan kekuatan penghayatan rohani, akhlak atau moral.

Ini, jelasnya sehingga sesuatu yang dipanggil maksiat dalam Islam atau pelanggaran akhlak dan moral dalam agama lain merupakan asas yang kuat untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan makmur, kuat dan berdaulat.

Tuesday, September 21, 2010

Sekolah Harapan terima lima pelajar hamil, seorang Cina kejutkan JAIM

Sekolah Harapan di sini, yang diwujudkan bagi pelajar-pelajar hamil, hari ini menerima kemasukan seorang pelajar Cina — perkembangan yang mengejutkan banyak pihak khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menguruskan kemudahan tersebut.

Dia adalah antara lima pelajar yang diterima masuk oleh Sekolah Harapan hari ini.

Sehingga tengah hari tadi dua orang telah mendaftar manakala tiga lagi belum tiba dan dijangka akan mendaftar masuk petang ini.

Ketua Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani ketika dihubungi The Malaysian Insider menzahirkan rasa terkejutnya dengan sambutan yang diterima daripada kaum lain terhadap usahanya memberi teduhan sementara kepada pelajar-pelajar yang mengandung.

“Saya difahamkan pelajar Muslim sahaja yang mahu mendaftar hari ini tetapi tidak menyangka pula pelajar Cina itu sudah mendaftar terlebih dahulu di Rumah Harapan,” katanya.

Rumah Harapan merupakan asrama bagi pelajar yang akan mengikuti Sekolah Harapan.

Sebelum ini rumah yang diwujudkan itu mendapati lebih ramai pelajar Melayu yang menghubungi JAIM bertanyakan prosedur untuk masuk ke Rumah Harapan itu.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati pelajar tersebut hadir ke Rumah Harapan untuk mengisi beberapa borang dan menyerahkan beberapa butiran peribadi yang diperlukan oleh JAIM.

Pelajar tersebut ditemani keluarganya yang turut hadir untuk membantunya dalam pengurusan pendaftaran pada pukul 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, Penyelia Rumah Harapan Saimah Hiran berkata, borang pendaftaran yang mengandungi butiran peribadi pelajar itu akan terlebih dahulu diserahkan kepada JAIM untuk tindakan selanjutnya.

“Pelajar ini hadir untuk mengisi semua borang yang ada dan kemudian maklumatnya akan diteliti oleh Pegawai Tadbir Agama JAIM dan kemudian baru kita tahu tindakan susulan yang akan diambil mengikut prosedur,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pelajar itu perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan melalui beberapa proses saringan dan pemilihan terlebih dahulu.

“Pelajar akan ditemu bual, akan melalui sesi kaunseling, pemeriksaan kesihatan dan akhirnya ada proses pemilihan berdasarkan penilitian terperinci dijalankan,” katanya.

Difahamkan pelajar tersebut berasal dari Johor.

Selain itu, keluarga pelajar Cina tersebut menemui Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim kira-kira pukul 11.30 pagi untuk perbincangan lanjut berhubung kemasukan anak mereka ke Rumah Harapan dan Sekolah Harapan untuk belajar.

Sekolah Harapan ini diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi pelajar dapat mengikuti kelas seperti biasa untuk persediaan menduduki peperiksaan Penilaian Menegah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sekolah tersebut hanya terletak bersebelahan Rumah Harapan yang didaftar oleh pelajar Cina itu tadi.

Dalam satu sidang media khas oleh Ab Rahaman mengesahkan sehingga hari ini lima pelajar akan diterima masuk ke Sekolah Harapan dan Rumah Harapan.

Seorang adalah pelajar tingkatan empat manakala yang lain berada di tingkatan lima.

“Sehingga hari ini kita menerima lima pelajar empat daripadanya akan duduki SPM.

“Seorang tingkatan empat dan mereka datang dari Johor, Wilayah, Pahang selebihnya dari Melaka,” katanya.

Jelas beliau, kehadiran mereka adalah secara sukarela.

Rata-rata mereka sudah mengandung lebih enam bulan.

“Kita mungkin bersedia menerima kehadiran mereka, tempat tinggal, makan minum mereka dan akan segera melihat kesihatan mereka,” kata beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kelas pembelajaran turut sudah bermula hari ini dengan sesi pengenalan diri diadakan.

“Kelas pun sudah disediakan hari ini, gurunya pun sudah ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan segala maklumat pelajar dan keluarganya akan terjamin kerahsiaannya daripada pengetahuan orang ramai.

Selain itu, beliau turut berkata akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak-pihak lain bagi memantau psikologi mereka.

“Kita faham, kita hadir dan melihat perasaan jiwa dan hati mereka yang tertekan supaya pelajar ini tidak mengulangi perkara lama,” katanya.

Tambahan kepada lima pelajar terbabit, kata beliau pihaknya juga menerima empat lagi panggilan baru bertanyakan tentang maklumat kemasukan sekolah dan rumah yang diwujudkan khas bagi melindungi pelajar mengandung anak luar nikah.

“Semua belum berumah tangga dan ada tiga hingga empat panggilan lagi dari Pulau Pinang.

“Kami jangkakan akan lebih ramai pelajar akan daftar dan nampaknya mereka berminat untuk berada di sini dan berharap pengendalian lebih baik untuk mereka semua,” katanya.

Selain itu, kesemua pelajar akan mengikuti kelas aliran kebangsaan seperti biasa pada waktu pagi dan pada sebelah petangnya akan mengikuti kelas pendidikan agama dan pendidikan moral bagi pelajar yang bukan beragama Islam.

Malah kata beliau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut sama mahu membantu pelajar ini dengan memberikan sesi kaunseling.

“NGO banyak menawar diri kepada mereka untuk memberikan sesi kaunseling tetapi kita akan pantau, siasat dan semak supaya mereka yang benar-benar pakar sahaja dibenarkan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menegaskan hanya keluarga dan hubungan rapat dengan pelajar sahaja dibenarkan datang melawat pelajar-pelajar mengandung ini.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, seorang pembantu penyelia Siti Nor Rohaini Abdul Rahim berkata, setakat ini proses pendaftaran pelajar berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pada sesi pendaftaran itu tadi, kesemua ahli keluarga mahukan anak mereka diberi peluang kedua untuk meniti hari-hari mendatang.

“Macam bapa pelajar Cina itu tadi kata kalau boleh biarlah anak dia dijaga baik di sini dan mendapat sokongan penuh untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Beliau juga berkata pelajar Cina yang mendaftar pagi tadi bagaimanapun meminta tangguh dulu untuk tinggal di asrama ekoran perlu menyelesaikan pemindahan sekolah lama ke Sekolah Harapan.

Monday, September 20, 2010

Isu masjid: Mais didakwa amal double standard, tidak adil

Teo sewaktu lawatannya ke Surau Tholabiah Kampung Paya, Sungai Ramal Luar, Kajang
Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membidas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana mengamalkan sikap “double standard” berhubung isu tidak membenarkan orang bukan Islam daripada memasuki ruang solat masjid dan mendakwa institusi agama tersebut telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Ini jelas menunjukkan sikap double standard oleh Mais kerana sebelum ini mereka kata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat dan ia meliputi semua termasuk wakil rakyat serta ahli politik.

“Tapi bila membabitkan wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN), Mais seolah-olah tutup sebelah mata dan membenarkan wakil rakyat itu memasuki ruang solat untuk memberikan sumbangan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insider.

Beliau menyifatkan Mais sebagai “alat politik” Umno-BN kerana tidak mempunyai pendirian dalam isu tersebut.

“Ini adalah politik yang diamalkan Umno-BN, nampaknya Mais seperti lembu yang dicucuk hidung sehingga sanggup mendengar apa sahaja arahan yang dikeluarkan.

“Malah apa yang saya terkejut Mais juga telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Umno berpura-pura dalam isu yang hampir sama yang melibatkan wakil rakyat Hulu Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

“Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan masjid dan surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya,” kata Khalid dalam blognya.

Tulisan bertajuk “Umno, Kura-Kura dan Perahu”, Khalid menambah, menurut Umno dan BN lagi, ia dilakukan demi memperoleh undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri.

Khalid turut menyiarkan beberapa gambar di blognya menunjukkan wakil rakyat Umno memberikan tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid Felda Gedangsa.

Khalid menimbulkan persoalan sama ada wakil rakyat berkenaan mempunyai tauliah.

Selain itu beliau turut menyiarkan gambar Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan bersama ADUN Umno menyerahkan sumbangan cek di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Usaha mendapatkan komen Mais dan Kamalanathan sejak dua hari lalu berhubung isu ini gagal berhasil.

Pada 2 September lalu, Mais telah mengeluarkan surat arahan supaya orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ke ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Setiausaha Mais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata larangan itu perlu dipatuhi demi menjaga kesucian dan kehormatan masjid dan surau.

Selain itu, beliau berkata larangan daripada memasuki ruang solat itu juga turut melibatkan semua orang bukan Islam termasuk wakil rakyat sama ada dari PR atau BN.

Bagaimanapun tidak pasti bila kes terbaru ini dilaporkan berlaku.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu campur tangan dalam isu dan memanggil Mais untuk beri penjelasan.

“Saya berharap Sultan Selangor dapat memanggil Mais untuk beri penjelasan dalam isu ini kerana badan itu telah melanggar etika dan arahan yang dikeluarkan.

“Sultan Selangor juga harus melihat perkara ini dan bersikap adil kepada semua pihak termasuk kepada pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula berkata, Mais perlu menjelaskan keadaan yang sebenar mengenai larangan yang dibuat sebelum ini yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki ruang solat masjid dan surau.

“Bukankah ini tidak adil? Bila wakil rakyat Pakatan kata tidak boleh tapi bila wakil rakyat BN pula boleh pula.

“Jadi macam mana keadaan sebenarnya? Jadi saya minta Mais supaya menjelaskan semula syarat dan arahan larangan yang mereka keluarkan sebelum ini,” katanya.

Beliau juga mahu Mais mengambil tindakan tegas dalam isu itu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Mais telah membelakangkan arahan yang dikeluarkan institusi itu sendiri.

“Ini jelas menunjukkan wujudnya sikap double standard yang diamalkan Mais dan saya melihat ia tidak adil.

“Bila melibatkan wakil rakyat PR perkara ini dikatakan salah malah diperbesarkan tetapi bila libatkan wakil rakyat BN, Mais hanya membisu.

“Malah ia menunjukkan seolah-olah arahan yang dikeluarkan Mais tidak terpakai kepada wakil rakyat BN selain ada kepincangan yang berlaku,” katanya.

Bulan lalu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching telah dari DAP telah menerima surat amaran daripada Mais meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Selain Teo, seorang lagi ahli Parlimen dari PR William Leong (Ahli Parlimen Selayang) juga turut “diserang” kerana memberikan sumbangan kepada masjid dan surau di bahagian Parlimen Selayang.

Mais kini masih menyiasat dakwaan yang membabitkan William.

Sunday, September 19, 2010

Pergeseran Gerakan PP: Koh tolak adakan EGM

Di tengah-tengah pertembungan dalam GERAKAN Pulau Pinang, presiden parti Tan Sri Koh Tsu Koon memutuskan tidak mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) seperti yang dituntut sebilangan anggotanya.

Katanya, EGM adalah langkah terakhir sekiranya tidak ada lagi saluran menyalurkan pandangan dalam parti.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa pusat GERAKAN pagi ini, Koh berkata kepimpinan parti itu telah berhubung dengan kumpulan yang bertelagah di Pulau Pinang.

"Sebahagiannya meluahkan perasaan melalui saluran dalaman tetapi sebahagiannya meminta diadakan EGM seperti mana yang digariskan dalam perlembagaan (parti).

"Pemimpin jawatankuasa pusat daripada luar dan dalam Pulau Pinang telah berhubung dengan pelbagai kumpulan dan akan terus melakukannya," kata Koh yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Umno Persoal Halal Haram

Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog kononnya pemberian wang ehsan iaitu RM100 setahun kepada warga emas dan RM1,000 kepada waris keluarga warga emas meninggal dunia menerusi program penghargaan warga emas adalah menggunakan wang daripada sumber judi.

Ketua Penerangannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng perlu segera memberi penjelasan kerana dakwaan dalam blog “Pisau.Net” itu telah menimbulkan kegelisahan dan rasa kurang senang segelintir penerima wang ehsan itu, terutama yang beragama Islam.

“Saya terima banyak panggilan daripada warga emas yang bertanyakan mengenai perkara itu dan mereka bimbang serta gelisah kerana sudah menerima wang RM100 dan RM1,000 terbabit sejak kerajaan negeri melaksanakan program penghargaan warga emas.

“Mereka sangat bimbang dengan dakwaan wang berkenaan dari sumber duit judi yang haram bagi umat Islam... penjelasan berkenaan bagi menghilangkan keraguan orang ramai di mana sehingga kini masih belum ada sebarang penjelasan walaupun sudah beberapa hari blog berkenaan membuat dakwaan terbabit,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya bukan menuduh kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk melaksanakan program penghargaan warga emas sebaliknya hanya mahu penjelasan berhubung dakwaan itu bagi menghilangkan keraguan.

“Kami tidak buat menuduh mereka (kerajaan negeri ) berbuat demikian...cuma mahu penjelasan selepas blog berkenaan (Pisau.Net) membuat dakwaan baru-baru ini kerana ia membabitkan orang ramai terutama warga emas beragama Islam yang turut sama menerima wang berkenaan.

“Ambil tindakan terhadap blog berkenaan sekiranya dakwaan dibuat tidak benar, jangan hanya berdiam diri seperti dilakukan mereka sekarang sehingga menyebabkan rakyat merasa gelisah,” katanya.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas berkata sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengaku mengamalkan CAT (Kompeten, Akauntabiliti dan Telus), kerajaan negeri harus telus dan menyatakan sumber kewangan bagi program pemberian wang ehsan berkenaan. — Bernama

Anwar: Pelabur lari, perincian MBE diragui

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selagi kerajaan tidak mengutamakan mengutamakan sistem keadilan yang bersih, bebas rasuah dan kepimpinan yang meyakinkan, negara akan terus kehilangan pelaburan asing.

Ketua Umum PKR itu berkata, walaupun kerajaan membuat pembentangan serta perincian dasar ekonomi tetapi ia didakwa akan terus disambut dingin oleh pelabur kerana ia merupakan perkara yang mendasar.

"Malangnya hakikat ini terus dinafikan elit pemerintah walau rakyat jelatalah yang menderita menahan beban," katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata Laporan Bank of America Merill Lynch berkaitan pasaran negara begitu membimbangkan apabila Malaysia didapati antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik.

"Sungguhpun kerajaan cuba memberi gambaran yang serba indah, hakikatnya Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke 10, dan kini di kedudukan tercorot.

"Pastinya berita ini menerbitkan rasa bimbang saya berhubung kedudukan ekonomi semasa negara tatkala kononnya pentadbiran Datuk Sri Najib (Razak) akan mengemukakan satu kebijakan ekonomi yang diwar-warkan bertujuan menarik minat pelabur," katanya.

Katanya, perkara mustahak yang wajar diberi perhatian adalah pandangan pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran seperti Indonesia - yang menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia melonjak sepuluh anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara.

"Berikutan perkembangan sebeginilah kita sangsi perincian Model Baru Ekonomi yang bakal diumumkan perdana menteri mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap ini," kata bekas menteri kewangan itu.

Anwar berkata, hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM 2.2 trilion dalam masa sepuluh tahun - yang mana 92% dari jumlah itu datang dari pelaburan swasta - pastinya menimbulkan kemusykilan tatkala pelabur menjauhi pasaran kita.

Friday, September 17, 2010

Sekolah Hamil Dibuka Tanpa Kemasukan Pelajar

Sekolah yang dicadang kerajaan Melaka untuk menempatkan pelajar mengandung dibuka secara rasmi di sini, pagi tadi tanpa kemasukan pelajar.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Rumah Harapan, Datuk Abdul Rahman Abdul Karim berkata pengurusan sekolah itu hanya memperoleh tiga panggilan bertanyakan operasi sekolah berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Rumah Harapan, Datuk Abdul Rahman Abdul Karim berkata sekolah itu akan melindungi pelajar mengandung luar nikah dari terus tersesat jauh.

“Setakat ini kami sudah terima tiga panggilan dan satu mesej bertanyakan permohonan kemasukan pelajar ke sekolah ini," katanya yang menyifatkan hal itu sebagai perkembagan baik.

Beliau berkata panggilan telefon itu diterima dari pelajar dari Johor dan Negeri Sembilan, malah salah satu daripadanya bertanyakan sama ada sekolah itu boleh disertai mereka yang berusia lebih 30 tahun yang mahu menyertainya.

'Ustaz Kamal' MIC pula didakwa masuk masjid

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"

Menulis dalam blongnya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah' serta gambar ahli parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan hadir dalam program di sebuah masjid.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid.

Dalam gambar yang lain, dimuatkan juga sekeping gambar Kamalanathan dalan sebuah progam gotong royong di Masjid Felda Soeharto, Hulu Selangor yang mana pengerusi MAIS didakwa turut hadir.

"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang daripada DAP memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutamanya oleh pemimpin Umno dan BN.

MAIS malah memberikan amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu.

Syariat Islam tonggak tertinggi perundangan

Umat Islam khususnya wajar melihat semula kejayaan pelaksanaan syariat Islam sebagai tonggak tertinggi perundangan kehidupan Muslim ekoran kebejatan berbagai masalah mutakhir.

Demikian penegasan oleh Pengasas Pondok Bustanul Arifin, Ustaz Ahmad Ansori mengulas perkembangan negatif terkini yang berlaku dalam negara ketika ditemui di pusat tarbiyahnya, di sini petang kelmarin.

Menurutnya, umat sewajibnya mengakui segala perintah yang Allah SWT. tentukan itu adalah yang terbaik diturunkan sebagai pedoman paling berguna menyuluh kegelapan perjalanan mereka.

"Tanpa itu semua, umat Islam seperti berada di dalam gelap gelita seperti malam tanpa bintang meskipun mereka merasakan seperti berada di bawah cahaya terang mentari di siang hari," ujarnya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 7 tahun mendidik lebih 100 pelajar termasuk 12 mereka yang terlibat di dalam berbagai masalah peribadi kronik termasuk menyamun, mengambil dadah secara salah, merogol dan sebagainya.

Berpengalaman sejak belajar di Ansor, Batang Berjuntai, Taman Islam Kemaman, Pondok Kerasak Selatan Thailand menyambung pengajian di Syria dan Al-Azhar, Mesir; memberikan banyak pengalaman kepadanya untuk menangani isu itu.

Dalam perkembangan sama, beliau sangat kesal dengan sikap orang Melayu yang sanggup menjadi balaci bukan Islam untuk membunuh orang Melayu dalam apa cara sekalipun.

"Inikah tahap kemajuan bangsa Melayu yang hendak dibangga-banggakan oleh negara? Beginikah bentuk sikap dan keperibadian generasi baharu yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada satu masa nanti?

"Justeru, setelah semua bentuk perundang-undangan telah dicuba dan dipraktikkan namun seluruhnya menunjukkan natijah gagal, menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk melaksanakan undang-undang yang berteraskan sumber dari Pencipta sendiri.

"Persoalannya, kenapa mereka boleh laksanakan bentuk dan kaedah ciptaan manusia di masa sama menolak dan engkar dengan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT," tegasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Ansori mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah memberikan kemudahan infrastruktur kepada pusat-pusat berasaskan agama milik swasta.

Tambahnya, inilah bezanya bagaimana bentuk pentadbiran kerajaan yang mengutamakan rakyat dan mereka dapat buktikan, bukan hanya slogan semata.

"Sebagai bukti, pusat saya ini telah ditubuhkan selama tujuh tahun namun dalam masa dua tahun Pakatan Rakyat memerintah sahaja, baharulah terdapat kemudahan dan peruntukan yang diberikan kepada pusat seumpama ini.

"Bererti jika kerajaan lama terus memerintah Selangor amat sukar untuk kami dan kita semua akan dapat merasai nikmat kemajuan yang sewajarnya diberikan kepada semua yang berhak," jelasnya.

Majlis Peguam: Lebih 30 dipecat setiap tahun

Majlis Peguam Malaysia meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam menyeleweng dan terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

Presidennya, K Ragunath berkata setiap tahun, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam dan laporan polis terhadap mereka juga telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saranan itu dibuat berikutan pembunuhann kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua adik-beradik peguam.

Selain itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi, tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.

- Bernama

Wednesday, September 15, 2010

RM24 Juta Tak Cukup Bukti

Khir Toyo mengakui bahawa beliau tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan. Namun katanya, tohmahan rasuah yang dilemparkan ke atasnya setakat ini masih belum berjaya dibuktikan.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Khir mengambil peluang untuk menjelaskan satu persatu, setiap tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Antara dakwaan berkenaan adalah berhubung kunjungannya ke 'Disneyland' di Perancis dan Amerika Syarikat.

Katanya, lawatan kerja itu bukan semata-mata untuk melawat taman tema tersebut tetapi untuk mendapatkan pelaburan daripada negara berkenaan ke Selangor.

Hasil daripada semua lawatan itu, Selangor berjaya memperoleh pelaburan asing berjumlah RM11.87 billion. Pelaburan ini juga menyediakan 30,000 peluang pekerjaan di Selangor, kata Khir.

Begitu juga dengan bayaran insentif kepadanya selaku pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disifatkan sebagai imbuhan atas masa tambahan yang diluangkannya di syarikat berkenaan.

Mengulas dakwaan berkaitan pembelian unit apartmen di Mekah yang dibuatnya selaku pengerusi syarikat milik kerajaan negeri. Katanya rumah berkenaan kekal dimiliki oleh syarikat berkenaan.

Berikut adalah sedutan daripada wawancara dengan Khir Toyo:

Rentetan daripada siasatan ke atas isu melibatkan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Tun Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah. Pada masa itu timbul nama Datuk Seri.

Nama sayalah (timbul). Saya tak ada ambil hati. Saya tahu semua cerita. Saya tahu dua tiga hari sebelum tu. Saya tak risau. Negara kita ada undang-undang, ada sistem. Yang salah akan tetap dikenakan tindakan. Mahkamah akan tentukan salah atau tidak.

Saya ambil contoh tentang (pengarah penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad), semua salahkan Kudus, tapi hari ini dia diadili. Jadi jangan cepat buat persepsi orang ini dia ada kes. Tun Dr Ling Liong Sik pun belum tentu salah lagi.

Satu lagi yang menjadi tuduhan ialah berkenaan kediaman Datuk Seri. Adakah lebih baik jika sebuah agensi hartanah menilai rumah Datuk Seri untuk memadamkan cakap-cakap ini?

(Firma) Rahim & Co sudah nilaikan rumah saya. Saya dah keluarkan dalam blog saya, apa lagi? Adakah Rahim & Co tak independen? Dia dilantik oleh bank, bukan saya. Takkanlah bank tak bijak dan biarkan saya lantik penilai sendiri? Saya dapat pinjaman daripada bank (untuk beli rumah tersebut). Kalau saya dapat rumah itu dengan tunai, orang bolehlah siasat saya.

Kosnya tak mencecah RM24 juta?

Kalau 24 juta saya dah kayalah.

Jadi apa yang Datuk Seri tulis dalam blog ini...

(Adalah) realiti. Saya nafikan (tuduhan). Sebab itu saya saman balik (ADUN Sekinchan) Ng Sue Ling ini. Orang ini tidak lulus matematik dalam STPM pun. Dia tak terlibat dengan penilaian harta. Saya tak faham kenapa press semua percaya dengan dia. Kalau dia ni ada kelulusan dalam penilaian hartanah, bolehlah percaya. Saya saman tanya beritahu dari mana datang 24 juta, tak boleh jawab. Ini adalah tuduhan politik daripada political animal. Terpulang pada pihak berkuasalah. Kalau dipanggil saya akan pergi. Malah, saya isytiharkan semua aset saya.

Bagaimana pula dengan tuduhan mengenai lawatan ke Disneyland?

Ini bukan isu. Saya pergi, singgah dekat Perancis, nak pergi ke Jerman. Ada masa terluang kita lawat Disneyland untuk mencari pengalaman. Bukan kita betul-betul ke Disneyland. Untuk kunjungan itu saya bawa balik RM3 billion. Tiada apa-apa kesalahan.

Kalau hari ini, kerajaan negeri tak pergi ke Eropah. Pergi ke China dan Singapura sahaja untuk dapatkan pelabur, ia mustahil sebab syarikat di China takkan buka kilang di Selangor kerana kos untuk menjalankan perniagaan di Selangor tinggi berbanding di China.

Tetapi syarikat di Eropah (saya) tumpukan, yang ada teknologi tinggi semua sedang mencari tapak untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan di Selangor. Tiap-tiap tahun saya pergi tiga kali. Saya pergi Jepun, saya pergi Korea, Eropah, Amerika, sebab nak tarik pelaburan.

Jika saya duduk dalam negara sahaja, jadi macam sekaranglah. Terus terang saya katakan, nak pergi negara Arab untuk pelaburan susah. Saya dah buat. (Penasihat ekonomi Selangor Datuk Seri) Anwar Ibrahim kata apa? Dia kata kerajaan (dapat pelaburan) berbillion (daripada) syarikat dari Timur Tengah padahal sampai sekarang tak berlaku.

Timur Tengah bukan (dalam industri) pembuatan. Dia macam kita, pemaju, syarikat infrastruktur, perkara seperti itu. Tapi yang betul-betul (dalam) pembuatan, perjalanan saya ke Disneyland inilah hasilnya (syarikat pembuat sel solar) Q-Cell tengah buat tu.

Jadi hasil dari pergi Morocco dan Disneyland jumlahnya RM3 billion?

Kita pergi ke sekeliling tempat masa tu. 15 hari kita pergi, bukannya (dengan) tangan kosong sahaja. Saya boleh duduk dalam negara sahaja. Tak ada perbelanjaan.

Ada tak perbelanjaan tambahan ditanggung. Contohnya Datuk membawa terlalu ramai orang?

Mereka tanggung kos sendiri. Mereka boleh ikut lawatan saya selagi mereka tanggung kos sendiri. Kalau anda nak bincang dengan syarikat besar-besar ni tak boleh pergi seorang. Anda kena datang dengan pegawai dan delegasi.

Jadi berapa banyak pulangan yang diperolehi daripada misi dagangan ini?

Kalau that lawatan itu sendiri, kita dapat RM3 billion. Yang selebihnya banyak lagilah. RM1 billion, RM2 billion. Saya pergi ke Jepun dapat RM1 billion. Sebab itu kita dapat RM11.87 billion (semuanya).

Jadi Datuk kata semua perbelanjaan untuk lawatan ini sudah ditampung dengan pelaburan yang dibawa masuk?

Ya. Peluang pekerjaan cukup banyak. 30,000. Ia bukan (kerja) mudah. Anda ingat seronok ke pergi seberang laut ni?

Bolehkah lawatan ini dibuat dengan kos lebih murah?

Isunya sekarang, OK. Saya terus terang katakan saya ikut Arahan Am. Saya ikut undang-undang.
OK, anda (tanya) begitu, OK. Anda tidak persoalkan mengapa PM naik penerbangan kelas pertama? Isunya sama. Saya tak nampak ada salah. Kalau ada masalah, maka ambil tindakan.

Jadi Datuk hanya menikmati kemudahan ini?

Saya rasa, kalau nak kira kemudahan, saya kerja 18 jam sehari. Sepatutnya saya dapat lebih lagi. Saya rasa dan lihat pembangunan selama lapan tahun itu sangat baik. Rekod menunjukkan IMD (Institute of Management and Development) sendiri buat laporan, bukan saya yang hendak angkat bakul, rekod dalam audit syarikat berkaitan kerajaan negeri pun nampak semua.

Bagaimana pula dengan bayaran insentif daripada GLC kepada Datuk sebagai MB? Khalid Ibrahim persoalkan perkara ini

Saya rasa semua MB dapat, termasuk Khalid Ibrahim hari ini. Ini (amalan) daripada MB sebelumnya. Kita ikut sahaja.

Datuk tak persoalkan? Mengapa?

Tidak. Setiap MB. Siapa-siapa pun (dapat).

Adakah ini amalan standard di negeri lain?

Setakat yang saya tahu. Sebab kita habiskan banyak masa bersama. Dan, yalah, kita ikut bonus pegawai dapat. Dan kita jalankan perniagaan. Kita tak guna duit rakyat pun.

Jadi bayaran ini hak sebagai MB?

Sebab isunya, PKNS (menghasilkan keuntungan) daripada menjalankan perniagaan. (Seperti) setiap CEO dia setiap syarikat swasta. Samalah, sebagai menteri besar, kita sebagai pengerusi PKNS satu perkara berbeza. Kita kena luangkan masa lebih.

Jadi ini bayaran untuk usaha lebih untuk GLC ini?

Ya, kalau syarikat rugi saya kena tanggung juga, betul tak? Ini perniagaan. Business is business.

Datuk juga ambil tanah yang ditawarkan pada harga diskaun. Datuk tidak rasa 'saya tidak patut ambil?'

Sekali sahaja seumur hidup saya. Dekat Bangi, tiga lot rumah, tak ingat dah. Sekali. Seumur hidup. Setakat pengetahuan saya, saya tidak ambil hak rakyat.

Ini pula tentang pembelian apartmen di Mekah

Saya beli atas nama saya on behalf sebagai pengerusi. Ia dipunyai oleh negeri. Saya dah suruh (pindah milik kepada kerajaan negeri) sekarang ini. Tapi (GLC) tak mahu buat. Tak tahu (kenapa). Apa saya dokumen (yang perlu), saya akan tandatangan. (Ketika itu) PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) memberi kuasa untuk membeli lima buah apartmen. Kita ditawarkan lebih, tapi mereka pun nak beli lima sebab (terma belian) tunai. Lima buah (milik) KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) ada lagi lima, sepuluh.

(Saya jelaskan dalam blog), kami ditawarkan lebih sebab masa saya beratur ramai-ramai saya dapat lebih, tawarkan kepada kerajan negeri, kerajaan negeri sanggup beli hanya lima. Yang lain ditawarkan kepada orang lain lah, kalau tidak rugilah deposit.

Tapi sebelum beratur tu Datuk tentu ada kelulusan daripada lembaga pengarah untuk beli lima sahaja?

Tidak, tidak, tidak. Saya pergi ke sana dulu.

Jadi apabila sudah beli baru ditanya kerajaan negeri mahu atau tidak?

Tidak, saya tawarkan kepada mereka di sini (Malaysia). Mereka (lembaga pengarah) buat mesyuarat semua di sini.

Tapi masa mula-mula beli, beli untuk Datuk sendiri dululah?

Tidak, saya tidak ada. Saya beli sebagai pengerusi. Mula-mula kita beli dapat lima, tapi ditawarkan lebih. Syarikat kata dia tak nak. Saya kata kalau ada pembeli yang nak beli lebih baik dibeli. Kalau tidak, tak diambil. Lembaga kata beli lima. Saya ditawarkan lebih

Itulah soalnya. Lembaga pengarah kata beli lima sahaja, mengapa Datuk beli lebih?

Saya ditawarkan lebih. Lembaga kata beli lima, di sana ditawarkan lebih. Saya kata kalau tidak mahu beli, cari pembeli lain.

Masa itu belum beli lagi?

Belum lagi. Saya jalankan dengan fikiran yang jelas. Tiada apa yang hendak disembunyikan. Lima, itu yang depa mampu. Sebab bayar tunai. Jadi sampai sekarang sebarang surat saya (akan) tandatangan. Saya tak terlibat langsung dalam pengurusan, transaksi, tak ada. Tiada satu pun masuk ke dalam akaun saya.

Bekas ketua Abim tidak tanding timbalan presiden PKR

Persaingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin mengecil dengan seorang lagi pemimpin yang disebut-sebut akan bertanding menjelaskan, tidak berhasrat untuk bersaing kerusi nombor dua itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Dr Muhammad Nur Manuty berkata: “Tidak, saya tidak akan bertanding.”

“Saya sudah membuat keputusan, dan saudara menelefon dan tanya saya... sekarang saya memaklumkan saya tidak bertanding (jawatan timbalan presiden),” kata beliau ketika ditanya sama ada akan turut turun gelanggang ekoran keputusan Senator Dr Syed Husin Ali pagi semalam mengumumkan tidak akan mempertahankan kedudukannya kali ini.

Ketika ditanya mengenai asas mengapa memutuskan untuk tidak bertanding, Muhammad Nur, bekas ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ini berkata, beliau tidak mahu ada perpecahan dalam parti ekoran pertandingan sengit.

“Saya tidak mahu melihat ada perpecahan kerana pertandingan,” kata beliau merujuk kepada arah aliran persaingan kali ini.

Muhammad Nur pernah bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan sulung parti tahun 2001 dengan mengetuai kumpulan pemimpin-pemimpin yang pernah berada berada dalam Abim.

Ketika itu pemilihan diadakan menggunakan sistem perwakilan.

Beliau tewas kepada ahli perniagaan Abdul Rahman Othman dengan perbezaan 44 undi.

Mustaffa Kamil Ayub seorang lagi pemimpin dari kumpulan Abim tewas dalam persaingan merebut jawatan naib ketua Angkatan Muda Keadilan kepada Saifuddin Nasution Ismail yang kini merupakan Setiausaha Agung PKR.

Selepas Syed Husin mengumumkan hasrat untuk tidak bertanding beberapa nama lain disebut-sebut akan turun gelanggang.

Naib Presiden Azmin Ali yang baru-baru ini menerima sokongan daripada 20 ahli Parlimen dan majoriti ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan akan bertanding ataupun sebaliknya.

Kerusi itu kemungkinan disaingi tiga lagi calon termasuk ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak turun gelanggang.

Selain Azmin dan Zaid, dua lagi pemimpin turut disebut-sebut iaitu Mustaffa Kamil yang juga Naib Presiden PKR dan Muhammad Nur sendiri.

Kesemua 218 cabang PKR akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mula 17 September ini.

Cabang-cabang akan mengundi memilih pemimpin nasional mulai 29 Oktober hingga 21 November.

Kelmarin, kepimpinan PKR Kedah mahu kesemua cabang di negeri itu mencalonkan Anwar bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini.

Bagi jawatan timbalan presiden PKR negeri itu akan membuat pengumuman dalam sehari dua ini khususnya selepas Syed Husin mengumumkan pendiriannya.

Minggu lalu Majlis Muafakat Kepemimpinan PKR Selangor mengesyorkan agar Anwar dan Wan Azizah bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden ataupun mengekalkan status quo semasa.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu diambil dengan meneliti peluang dalam persaingan, Muhammad Nur memberitahu:

“Hasil perbincangan saya dengan kawan-kawan saya, ada yang berkata saya ada peluang untuk menang, dan juga yang berkata peluang menang sukar.”

Bagaimanapun beliau menafikan keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk kepimpinan.

“Tidak, ini adalah keputusan saya sendiri hasil perbincangan dengan rakan-rakan... dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi,” katanya.

Ambil Tindakan Segera Atasi Campur Tangan Pihak Ketiga Dalam PDRM

Badan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengambil tindakan segera sekiranya wujud isu campur tangan pihak ketiga dalam kepolisian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan bukan melepaskan ketidakpuasan melalui media sahaja.

Kata badan itu, adalah juga menjadi tanggungjawab KPN yang baru Tan Sri Ismail Omar untuk mengambil tindakan sekiranya isu tersebut wujud selepas beliau memegang jawatan itu.

"Kami kecewa terhadap Musa Hassan yang telah berkhidmat dalam PDRM selama 41 tahun namun langsung tidak dapat menyelesaikan isu krompromi dan salahguna kuasa yang wujud dalam PDRM selama beliau memimpin dalam pasukan polis.

"Isu ‘campur tangan’ pihak ketiga dibangkitkan hanya selepas kontrak beliau tidak dapat disambungkan.

"Suaram berpendirian penubuhan mekanisme pemantauan yang adil, telus dan bebas seperti Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) amat diperlukan pada masa ini untuk menyelesaikan masalah salahguna kuasa serta campur tangan pihak ketiga dalam PDRM dengan berkesan," kata badan Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam satu kenyataan media Jumaat lalu.

Tambah Suaram, PDRM merupakan institusi keselamatan yang paling penting dalam negara untuk menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.

Justeru itu, pemantauan Suaram terhadap tindakan polis yang tidak adil terhadap kritikan rakyat dan pembangkang telah menjejaskan kredibiliti dan imej PDRM.

Malah penukaran KPN baru dilihat tidak juga mampu memulihkan keyakinan rakyat selagi PDRM masih di bawah kawalan dan dipergunakan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Isu kepolisian adalah isu penting yang akan mempengaruhi undi rakyat semasa pada pilihan raya akan datang. Lebih penting, reformasi dalam PDRM terutama menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) amat diperlukan untuk mewujudkan akauntabiliti dan menegakkan prinsip hak asasi manusia. Sekiranya tidak, maka rakyat akan kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap PDRM dan Umno-BN," kata Heng Lung lagi.

Tuesday, September 14, 2010

Umno dicabar tukar jadi Pekembar

PAS mencabar Umno agar menukar singkatan namananya dalam bahasa Inggeris 'United Malay National Organisation' kepada bahasa Melayu iaitu Pertubahan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar).

Menurut timbalan pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tindakan itu bagi memastikan orang Melayu memahami agenda politik Umno.

Katanya, di kawasan pedalaman, kebanyakan orang Melayu tidak faham apa itu Umno kerana ia dalam bahasa Inggeris.

Malah menurut Nizar, ada juga di kalangan ahli Umno sendiri tidak tahu dan memahami singkatan bagi nama Umno itu.

Menteri besar Perak yang disingkirkan itu berhujah jika Umno ikhlas berjuang untuk masyarakat Melayu termasuk mempertahankan bahasa dan budayanya, adalah amat menghairankan bagi mereka mengekalkan nama dalam bahasa penjajah.

“Tidak perlu malu bagi menggantikan nama Inggeris - Umno dengan versi Melayu - Pekembar untuk mencerminkan agenda politik mereka,” kata Nizar.

Menurut beliau Umno sebenarnya adalah parti perkauman dan juga hiprokit kerana menggunakan nama Inggeris untuk memperkenalkan budaya dan bahasa Melayu.

Dakwanya setelah mencapai kemerdekaan 53 tahun, Umno tetap merupakan sebuah parti rasis kerana hanya memperjuangkan hak Melayu sedangkan PAS bergelut untuk kepentingan Islam dan juga bukan Islam.

Nizar berucap di sebuah ceramah baru-baru ini di Kampung Batu Enam, Selama di Perak.

Pada ucapannya itu, beliau juga membidas tindakan kerajaan dan mepersoalkan mengapa pembelajaran tulisan Jawi dikeluarkan daripada sistem pendidikan di sekolah-sekolah.

Katanya, akibat tindakan itu, sebahagian besar generasi muda tidak boleh membaca dalam tulisan Jawi dan menyukarkan pembelajaran Al-Quran dan agama kerana kebanyakan bahan berkenaan adalah dalam bahasa Arab yang menggunakan tulisan Jawi.

Utusan Di Bidas Khairy Kerana Sokong Perkasa

Meskipun pemimpin Umno dan BN menjauhkan diri mereka daripada kumpulan pendesak Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), namun akhbar Utusan Malaysia terus menyokongnya.

Dalam edisinya hari ini, akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

Dalam reaksi kepada tindakan Utusan Malaysia itu, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar - seorang daripada pengkritik hebat PERKASA - melancarkan serangan secara berselindung di akaun Twitter.

Khairy menulis bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya.

Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

Ketua pemuda Umno itu juga telah berulang-kali menegaskan bahawa Umno tidak bersekongkol dengan PERKASA dalam apa bentuk sekalipun.

Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno termasuk setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli majlis tertinggi, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PERKASA.

Mereka mendakwa pandangan melampau PERKASA berhubung hak dan dan keistimewaan Melayu akan meminggirkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Utusan melalui beberapa artikelnya telah menyokong PERKASA dan rencana pengarangnya pada Ahad lalu menggesa Umno supaya memikirkan semula hubungan dengan NGO itu.

Tiada mahkamah boleh cabar pelantikan Sultan

Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.

“Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Keterangan perubatan

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.

“Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit,” katanya.

Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.

Shad Saleem Faruqi: Boleh dicabar

Di Kuala Lumpur , pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 63, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sebarang kekeliruan tentang pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan boleh diperjelaskan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

"Peruntukan Perkara 23(A) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan
(Bahagian Yang Kedua) jelas menyatakan jika siasatan mendapati raja mempunyai kecacatan besar sehingga menjejaskan keupayaan memerintah, Majlis Perajaan Negeri (MPN) berhak mencari pengganti sultan.

"Walau bagaimanapun, saya pasti perkara ini akan dipersoalkan oleh pihak tertentu iaitu sama ada pindaan Perkara 23(A) pada 22 Julai lalu dilakukan di bawah keadaan sah atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kelantan yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Langgar perlembagaan negeri

Bagaimanapun, pemasyhuran tersebut dipertikai kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang mendakwa pelantikan anak saudaranya itu tidak memenuhi syarat dan melanggar perlembagaan negeri.

Situasi tersebut sekaligus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (bawah, kiri) menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

"Saya rasa yang paling penting, sejak 31 ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan tersebut haruslah dipatuhi.

"Walau bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan tersebut tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ia tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya," katanya.

PAKATAN sambut baik

Sementara itu, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) melahirkan rasa syukur atas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan baru semalam.

Presidennya Datuk Dr Noordin Ab Razak berkata keprihatinan tinggi Tuanku terhadap rakyat jelata di samping mementingkan keadilan dan kebajikan hamba rakyat menyebabkan persatuan tersebut melahirkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap pemerintahan baru tersebut.

"Sebagai rakyat Kelantan yang berada di perantauan, kami berasa amat berbangga dan bertuah sekali berpayung di bawah naungan Tuanku.

"Sikap penyayang Tuanku terhadap rakyat terbukti dengan penganjuran program-program kebajikan seperti pengurniaan zakat kepada orang-orang miskin yang terdapat di seluruh jajahan di negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Noordin turut berkata PAKATAN akan sentiasa bersedia untuk membantu apa yang terdaya dalam mengangkat kembali taraf Kesultanan Kelantan yang sentiasa dijunjung dan disayangi.

"Sesungguhnya kami sebagai rakyat jelata, amat yakin Tuanku akan dapat memajukan dan memakmurkan lagi negeri Kelantan dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan, pegawai-pegawai dan juga rakyat sekalian," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub turut mengucapkan tahniah kepada Tuanku Muhammad Faris Petra atas pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan.

"Warkah ikhlas yang tidak sepertinya ini adalah sebagai pengganti diri daripada patik diutus dengan hasrat mengucapkan sembah tahniah di atas pemasyhuran yang memegang tahta Al-Sultan Kelantan yang ke–29 pada hari semalam," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu dalam satu kenyataan.

- Bernama

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran