Followers

Saturday, July 31, 2010

Cadangan Pemuda Umno Membenarkan Pensyarah Dan Mahasiswa Berpolitik Akan Menimbulkan Masalah

Cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan turut membenarkan pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam politik seperti yang diberikan kepada guru perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata universiti dijadikan sebagai gelanggang politik dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

"Proses mempengaruh akan berlaku sekiranya universiti itu dijadikan gelanggang politik. Walaupun cadangan itu disertakan dengan syarat iaitu pensyarah perlu beri perhatian mengajar dan pelajar beri perhatian untuk belajar, namun, tetap akan menimbulkan masalah," katanya pada majlis penyampaian
hadiah golf amal anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang, di Johor Bharu, hari ini.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.

Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata pensyarah yang mempunyai pegangan politik akan berusaha sedaya upaya supaya pemikiran dan pendiriannya menjadi ikutan dan disokong semua pihak.

"Kalau kita benarkan pelajar berpolitik dalam universiti, pensyarah pun hendak berpolitik juga. Kalau kita benarkan kedua-duanya berpolitik, bayangkan kalau pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya pula daripada Pas, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh timbul," katanya.

Menyifatkan cadangan Pemuda itu sebagai populis, beliau berkata Pemuda perlu mengemukakannya kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

"Kalau MT buat keputusan, saya sebagai ahli Umno akan patuh sahaja tanpa banyak soal. Jangan berkokok di luar, bawa dalam mesyuarat MT dan tengok apa keputusannya," katanya.

PKFZ: Empat Laporan Rasuah Difailkan Sejak 2004

Sejak Disember 2004, sekurang-kurangnya empat laporan pernah dibuat Pakatan Rakyat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Exco Selangor Ronnie Liu Thian Kiew berkata pihak berkuasa bagaimanapun seolah bersikap acuh-tidak-acuh mengendalikan empat laporan itu, sehinggalah bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik didakwa, lima tahun kemudian.

Tun Dr Ling Liong Sik didakwa dengan tuduhan memperdayakan Kabinet antara September 25 dan Oktober 6 2002 meluluskan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ.

Pemimpin MCA ini didakwa dibawah Seskyen 418 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari 7 tahun, dan Seksyen 417 yang membawa hukuman penjara 5 tahun, jika disabitkan kesalahan.

"DAP pernah memfailkan laporan polis berhubung skandal PKFZ sejak tahun 2004. Saya sendiri pernah membuat laporan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik berkenaan urusan pembelian tanah itu," kata Exco Selangor, Ronnie Liu.

Penahanan dan pendakwaan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik disusuli dengan gesaan supaya semua suspek dan saksi yang mempunyai kaitan dengan skandal berbilion ringgit itu dibawa ke mahkamah.

Pemerhati bependapat perbicaraan Tun Dr Ling Liong Sik akan menjelaskan lagi peranan Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing, yang memiliki syarikat pemaju PKFZ, Kuala Dimensi Sdn Bhd dalam skandal ini.

Kerajaan juga mungkin terpaksa menjelaskan apakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Kabinet pada masa itu tidak diberi fakta secukupnya semasa meluluskan pembelian tanah untuk projek PKFZ.

"Kami mempunyai bukti, bahkan saya bersedia menjadi saksi," tegas Ronnie Liu.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam melaporkan Kerajaan Malaysia boleh menjimatkan RM645.87 juta ringgit jika tanah berkenaan dibeli mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. PAC juga melaporkan kos membeli tanah itu adalah RM47.76 satu kaki persegi, atau 67 peratus lebih tinggi dari harga yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, iaitu RM25 satu kaki persegi.

Bekas Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari mendedahkan Kabinet menyedari sepenuhnya hal-ehwal projek PKFZ dan pihak Kementerian terpaksa akur dengan keputusan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Urusan ini nampak mencurigakan, jadi saya buat laporan polis, dan saya juga pernah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk mengadu hal ini," ujar Ronnie Liu.

KJ vs Ibrahim Ali Esok

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali akan berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 Ahad ini.

Mereka akan bertemu dalam majlis tersebutyang berkemungkinan besar bertukar menjadi debat.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau - dalam jawapannya kepada Malaysiakini melalui SMS - mengesahkan beliau akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Sebelum itu, Khairy menulis dalam Twitternya: "Ada apa Ahad ini, saya dijemput berdepan dengan... Ibrahim Ali. Patutkah saya pergi?".

Selepas itu, ketika menjawab soalan pengikut twitternya - sama ada beliau akan menghadiri majlis tersebut - Khairy menulis: What do you think? I am Ketua Pemuda.

Memandangkan pada tajuknya serta sejarah hubungan antara kedua-dua mereka, maka forum ini menjanjikan sesuatu yang menarik - antara Khairy yang mengaku dirinya seorang reformis dan Ibrahim yang lantang bersuara - yang beberapa kali 'bertembung' sebelum ini.

Ianya bermula apabila Khairy 'menyelamatkan' Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, yang menjadi sasaran kecaman PERKASA pimpinan Ibrahim.

Sewaktu mendesak kerajaan mengekalkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) - di mana sejumlah yang terhad disediakan kepada bukan bumiputera - Wee berkata pelajar bumiputera juga akan terasa diabaikan jika jumlah biasiswa MARA dikurangkan.

Berikutan itu, Ibrahim menggesa Khairy supaya tidak menjadi 'pengkhianat' terhadap bangsanya sendiri dan berlaku perang mulut antara mereka sehingga ke peringkat memberi gelaran antara satu sama lain.

Khairy menggelar Ibrahim sebagai 'jaguh kampung' dan 'gedebe oportunis'.

Ibrahim pula membalasnya dengan menggelar Khairy sebagai seorang pemimpin yang lemah di mana kepimpinannya telah melemahkan Pemuda Umno, dan mengabaikan keperluan akar rumput orang Melayu, dan ruang itu kini diisi oleh PERKASA.

Sementara itu, ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kelantangannya Khalid Samad turut ditampilkan sebagai ahli panel dalam sidang yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyampai ucaptama.

Khalid dan Ibrahim juga sering bertembung secara terbuka dalam pelbagai isu, termasuklah isu biasiswa MARA baru-baru ini, apabila mereka dilihat saling memperlecehkan antara satu sama lain.

Menulis dalam laman Twitter malam tadi, Khairy juga bersuara, disebabkan beberapa pemimpin dan timbalannya yang tidak gemar berkongsi pentas dengan pelajar atau pemimpin pembangkang, beliaulah yang terpaksa menggantikannya.

"Jadi saya selalu dapat jemputan daripada pihak ketiga," katanya ketika mengemaskini status di laman blog mikronya itu.

"Jadi inilah jemputan di saat-saat akhir yang saya perlu putuskan. Nampaknya dua menteri menolaknya, jadi tiada sesiapa lagi (untuk mewakili Umno)"

Dalam masa yang sama, Khairy berkata, sesetengah media asing, terutamanya saluran televisyen, sukar mendapatkan menteri bagi menyertai program mereka.

"Sayalah yang terpaksa wakili Umno. Tetapi, selepas (Datuk Seri) Zainuddin Maidin di (stesen televisyen) Al Jazeera...," tulisnya lagi tanpa menghabiskan ayat tersebut.

Dalam reaksi terhadap perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada November tahun lalu, Zainuddin - menteri penerangan ketika itu - menjadi bahan ketawa banyak pihak, ekoran ulasannya berhubung 'perhimpunan haram' itu kepada Al Jazeera yang dilihat 'berterabur'.

Friday, July 30, 2010

Jemaah Menteri Pun Boleh Di Tipu

Bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Ling, 67, juga adalah bekas presiden MCA.

Beliau tiba di mahkamah pada jam 4.45 petang dengan ditemani isterinya, Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelakinya.

Ling kemudian mengambil tempatnya di kandang tertuduh.

Beliau adalah presiden MCA yang kedua dihadapkan ke mahkamah selepas Tan Koon Swan.

Ling didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Kelang.

Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.

Ling yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun yang sama.

Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.

Ling kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan membayar wang ikat jaminnya di Mahkamah Sesyen, esok.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup, manakala Ling diwakili peguam Datuk RR Sethu.

Sebelum ini, desas desus seorang personaliti terkenal dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen itu menyaksikan puluhan wartawan, termasuk agensi berita luar negara bekejar ke mahkamah sejak awal pagi ini.

Kebanyakan mereka berhimpun di lobi dan pintu masuk mahkamah manakala ada pula yang menunggu di kawasan sekitarnya.

Pada jam 4 petang, Abdul Gani dan tiga timbalan pendakwa raya, termasuk ketua pendakwa Datuk Tun Abdul Majid Hamzah, tiba di mahkamah tanpa bercakap kepada wartawan.

Dua yang lain itu adalah Manoj Kurup and Dzulkifli Ahmad.

Sebelum kehadiran mereka di mahkamah, sebuah kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki perkarangan mahkamah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.

Thursday, July 29, 2010

Kerajaan Takut Maklumat Tepat Sampai Ke Rakyat

Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Rocket dilihat sebagai kebimbangan kritikal Umno BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan akhir-akhir ini.

Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata, jika Umno BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

“Tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.

“Mengapa Umno BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Tarmizi, KAMI yakin, kekangan terhadap media cetak sejak akhir-akhir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh Umno dan BN.

“Sebagai persediaan nekad menghadapi pilihan raya umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakata Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno-BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini, kerana ia menjadi perhatain rakyat,” katanya.

Menurut Tarmizi adalah mustahil jika Suara Keadilan dan Rocket tidak berbisa, permitnya ditahan.

Begitupun, katanya, tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN.

“Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Rocket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah,” katanya lagi.

Menurutnya, sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka.

Katanya, tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

Beliau berkata, berbanding penguasaan Umno BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Keadilan, Rocket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno BN hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.

Saiful Akan Berkahwin Dengan Farah?

Setelah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, desas desus timbul Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan akan berkahwin saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam masa terdekat.

Menurut sumber badan kehakiman yang memberitahu Suara Keadilan, Saiful dan Farah dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan mereka secepat mungkin bagi menggelakkan lebih banyak persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.

Hubungan romantik antara mereka terbongkar apabila penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin mendedahkan dalam portal berita beliau, MalaysiaToday mengenai hubungan sulit Saiful dengan seorang timbalan pendakwaraya wanita.

Bagaimana pun hubungan cinta yang dirahsiakan itu mendapat kritikan hebat daripada pengamal undang-undang yang melihat pegawai Pejabat Peguam Negara itu telah meletakkan perjalanan pendakwaan terhadap Anwar dalam keadaan yang meragukan.

Ini kerana maklumat kertas siasatan pihak pendakwaan berkemungkinan mampu dibocorkan kepada Saiful yang mempuunyai kepentingan dalam kes tersebut sebagai pengadu.

Menurut laman web Pejabat Peguam Negara, Farah Azlina merupakan Timbalan Pendakwa Raya pada Gred L44.

Sebelum ditukar sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Pendakwaan pada 16 Februari 2010 lalu, Farah Azlina yang dipercayai berusia awal 30an bertugas di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan dalam jawatan yang sama.

Dalam sidang media yang diadakan semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Farah Azlina juga digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan, kurang enam bulan pertukaran beliau, atas alasan mengadakan hubungan romantis dengan Saiful.

Bagaimanapun Abdul Gani tidak menyatakan apakah status Farah Azlina di Pejabat Peguam Negara setelah beliau digugurkan.

Sebelum hubungan dengan Timbalan Pendakwa Raya ini, Saiful dikatakan mengikat tali pertunangan dengan Janna Syariza Mohd Zaki.

Wednesday, July 28, 2010

Prof Aziz: Benar guru aktif berpolitik langkah silap Umno-BN

Keputusan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini, yang diumumkan semalam adalah satu langkah “terdesak Umno-BN” yang silap, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan

Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.

“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini.

“Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.

Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.

Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Peguam Negara Patut Di Gugurkan?

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani (atas, kiri) berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

"Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

"Beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau persediaan kes termasuk penyusunan strategi pasukan pendakwa," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

"Pendakwa baru hanya membantu kami dalam menjalankan beberapa tugas yang sama sekali tidak melibatkan perbincangan, penyusunan strategi dan pembentangan hujah di dalam mahkamah," katanya.

Pasukan pendakwa untuk kes berkenaan diketuai oleh Peguam Cara Negara 2, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azman dan Farah Azlina.

"Tugas menyoal saksi dilakukan oleh Mohd Yusof, Mohamed Hanafiah, Datuk Nordin dan Noorin manakala Chiang Kiat bertugas membantu aspek perundangan berhubung rayuan dan semakan kes.

"Farah Azlina, Naidatul Athirah dan Mira Mirna hanya dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan mencatatkan segala nota perbicaraan," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.

- Bernama

Tuesday, July 27, 2010

Malaysia Di Bawah Umno-BN Tidak Beza Dengan Zaman Penjajah Inggeris

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan pihak polis tidak meluluskan permit bagi ceramah beliau di sebuah padang sekolah dan memaksa beliau berucap di dalam kebun getah jelas membuktikan kepada rakyat bahawa Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional tidak ubah seperti semasa negara di zaman penjajah.

Beliau yakin dengan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan mampu mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-13 nanti melihatkan kepada semangat dan sokongan yang diberikan rakyat kepada Pakatan Rakyat walaupun terpaksa memindahkan lokasi ceramah.

"Melihat pada malam ini saya yakin Pakatan Rakyat dapat menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya yang akan datang, dari tempat asal di padang kita telah dihalau sehinggakan berada di dalam kebun dan hutan ini tetapi itu semua tidak menjejaskan kehadiran penyokong-penyokong kita yang mahukan perubahan.

"Umno ingat bila mereka suruh kita adakan ceramah di dalam hutan maka rakyat tidak hadir tetapi mereka silap semangat penyokong Pakatan Rakyat tidak sama dengan semangat yang ada dalam penyokong Umno.

"Kita terus berjuang walau di mana kita berada dan saya pasti melihat pada kehadiran malam ini Umno terus diburu mimpi ngeri mereka," tambah beliau.

Anwar menegaskan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekarang berada di dalam ketakutan yang amat dahsyat sekali sehingga setiap kali diadakan program ceramah yang dianjurkan oleh KEADILAN akan mendapat tentangan yang hebat daripada Umno-BN.

"Pentadbiran Najib hari ini menyebabkan negara kita berada di era zaman penjajahan Inggeris seperti dulu, semua aktiviti dikongkong di halang malah berlakunya kekerasan serta penggunaan kuasa yang tanpa ada sikap bertimbang rasa. Kita lihat apa yang berlaku terhadap akhbar rasmi parti Suara Keadilan, sehingga sekarang permit tidak dikeluarkan.

"Serangan yang mereka lakukan melalui media dibawah telunjuk mereka setiap hari dengan pelbagai fitnah yang baru, tanpa memberi kita mempunyai ruang untuk kita mempertahankan diri ataupun membuat penjelasan.

"Saya tidak pernah risau gentar mahupun takut dengan apa yang mereka lakukan, bagi saya Umno-BN bersikap sedemikian kerana mereka takut kepada bayangannya sendiri dan mereka sedar bahawa KEADILAN sekarang ini sudah menjadi satu parti menjadi pilihan setiap rakyat di Malaysia.

"Umno-BN menyerang tanpa membuat penjelasan terhadap apa yang telah kita dedahkan sebelum ini, berkenaan dengan isu Felda segala bukti telah kita perjelaskan kenapa Umno yang mempunyai menteri kesayangan Najib tampil untuk membuat penjelasan ataupun menangkis segala dakwaan yang kita jelaskan itu. Kalau perkara tersebut tidak betul ataupun fitnah datang tampil berikan sebarang penjelasan," kata Anwar semasa berceramah di Linggi Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata tindakan Umno-BN mengekang kebebasan media tidak berbeza dengan dasar penjajah Inggeris yang menentang segala usaha pembangkang terhadap pemerintahnya.

"Bukankah mereka mempunyai segala media yang mengikut telunjuk boleh diarah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang tidak benar atau menipu, perjelaskanlah ini tidak haramkan permit kemudian hendak saman kita, apa punya kerajaan takut hendak memberikan penjelasan sebenar tetapi mengambil tindakan bersifat penjajah," jelas beliau.

Anwar juga menjelaskan rakyat sekarang ini berada dalam situasi yang amat tertekan kerana sikap Najib yang telah menaikkan harga barang tanpa memberi peluang kepada ahli parlimen yang dilantik oleh rakyat untuk dibahaskan.

"Pengumuman kenaikan harga barang selepas tamatnya persidangan Dewan Rakyat menunjukkan sikap sebenar Najib yang tidak bertanggungjawab.

"Najib menafikan hak seorang ahli parlimen serta tidak menghormati Dewan Rakyat. Bagi saya tindakan Najib membuat pengumuman selepas berlangsungnya sidang Dewan Rakyat kerana beliau tidak mahu perkara itu dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

"Najib tahu jika ia dibahaskan maka kesukaran akan dihadapi oleh kerajaan untuk membuat penjelasan terhadap segala persoalan yang kita timbulkan selain itu juga mungkin soal kenaikkan harga barang ini akan tertangguh.

"Kita pasti Umno-BN sekarang sudah lemah dan parah, kerajaan tidak lagi menpunyai sumber kewangan yang cukup, pemborosan yang berlaku di dalam pentadbiran Najib selain ketirisan setiap projek menyebabkan wang negara telah keluar tanpa sebarang rekod.

"Ini menyerlahkan lagi sikap mereka bila lihat rakyat marah maka mereka mengalih isu kenaikan harga barang kepada isu pasir di Selangor, saya ini jelaskan pada malam ini segala kerja kecurian pasir di Selangor telah berlaku sejak zaman pemerintahan BN lagi bukannya sekarang.

"Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah melakukan pemantauan yang ketat di setiap tempat terdapatnya aktiviti tersebut dan saya pasti Umno bising kerana tindakan tegas yang kita ambil ini menyebabkan sumber haram yang mereka perolehi sebelum ini telah tertutup," kata Anwar lagi.

Tambah beliau, tindakan Umno menuduh beliau agen CIA mahupun Yahudi tidak memberi kesan langsung kepadanya, malah sehingga sekarang beliau masih lagi boleh senyum dan gembira.

Tidak ada sedikit pun perasaan takut timbul bila tuduhan itu dilemparkan kepadanya.

"Kebelakangan ini saya dituduh dengan pelbagai fitnah seperti agen CIA mahupun Yahudi dan yang terbaru temuramah saya di dalam CNN juga mereka katakan saya membuat pembayaran untuk temubual itu. Ini apa punya manusia yang tidak tahu fikir, apa bila kita di temubual oleh media perlu kita yang keluarkan duit, saya tak pernah dibayar apa-apa malah saya pula dibayar kerana sudi hadir pada temuramah tersebut.

"Umno dengki sebab ketua mereka Najib tidak popular seperti saya sebab itulah mereka menuduh sedemikian, seperti yang saudara lihat saya masih lagi boleh senyum tidak takut malah tidak memberi kesan pun kepada saya terhadap apa jua isu yang ditimbulkan oleh puak-puak Umno itu.

"Rakyat jangan risau saya jamin di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kita akan terus membela nasib semua kaum di negara ini, politik kita adalah yang baru setiap kaum yang ada masalah mereka adalah masalah Pakatan Rakyat. Jangan bimbang kerana dasar kita jelas bukan untuk kepentingan peribadi mahupun kroni, landasan perjuangan kita untuk seluruh rakyat di negara ini.

"Bukti telah ada lihat Menteri Besar dan juga Ketua Menteri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, tidak ada seorang pun dari mereka mempunyai tanah, saham serta mengambil hak milik rakyat. Ini tidak berlaku pada zaman pemerintahan Umno-BN, hak rakyat adalah hak mereka segala kekayaan negara menjadi milik peribadi mereka dan yang paling jelas penyamun menjadi ketua serta disanjung manakala seorang yang baik dan jujur menjadi fitnah buat mereka.

"Masa kita semakin hampir ke matlamat yang kita kehendaki, saya menyeru dikala Umno yang berada pada tahap yang begitu lemah kita perlu mengambil peluang untuk mendekati seluruh rakyat dan berikan penjelasan kepada mereka tentang dasar yang kita bawakan untuk mereka, jangan kita angkuh serta ego kerana tanpa rakyat dibawah kita tidak mencapai apa yang dikehendaki," tegasnya lagi.

Monday, July 26, 2010

Malaysiakini, Zunar saman KDN

Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque (Zunar) memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - kedua-duanya karya Zunar - didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Zunar (kiri) berkata, pengharaman itu merupakan cubaan untuk menekan ekspresi politik dan membataskan pertukaran idea dan pendapat di kalangan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan kami pengharaman seperti ini tidak perlu dalam sebuah negara demokrasi seperti ini," katanya dalam sidang media selepas memfailkan saman itu di kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran (bawah) pula berkata, pengharaman itu atas alasan "boleh mengancam ketenteraman awam" merupakan tidak adil sedangkan tiada penjelasan yang jelas diberikan oleh kerajaan.

Kementerian itu juga didakwa tidak memberikan peluang kepada Zunar dan Malaysiakini untuk memberikan respons.

"Selepas buku-buku itu dirampas, Malaysiakini menulis bagi berdialog dengan kementerian tetapi mereka tidak menjawabnya," katanya.

Buku terbitan Malaysiakini, 1Funny Malaysia dan Perak Datul Kartun - diterbitkan syarikat Zunar, Sepakat Efektif Sdn Bhd - dilarang daripada dipamerkan bermula 24 Jun lalu.

Zunar berkata sebelum diharamkan sebanyak 20,000 naskhah Perak Darul Kartun dijual manakala 1Funny Malaysia yang baru memasuki cetakan kedua hanya sempat beredar sebanyak 5,000 naskhah.

Zunar dan Malaysiakini diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.

Saturday, July 24, 2010

Umno Selangor menuju ke pusara

Semalam menurut laporan portal Malaysia Insider Umno Selangor telah melancarkan kempen "tawan Selangor dari PR" melalui sebuah majlis ceramah yang kononnya besar-besaran di Shah Alam.

Saya tidaklah berhasrat mahu merendahkan usaha gigih Noh Omar itu selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno (yang berebut pengaruh dengan Khir Toyo) tetapi majlis kempen mahu tawan Selangor itu (bukan kata PAS atau PR) menurut laporan portal berkenaan dihadiri oleh 200 penyokong termasuklah penduduk tempatan yang tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku (penonton terserempak tanpa undangan maksudnya).

Dalam majlis itu juga dilepaskan "ayam tambatan" Noh iaitu Ezam Md Nor (sekarang Senator) yang lepas-lepas sahaja terus berkokok menyerang Tan Sri Khalid dan kerajaan PR. Modal bersama yang dikongsi untuk menggodam PR pasir dan pasir semata-mata. Betul tak betul tak kira, tetapi itulah modal utama yang mampu mereka fikirkan.

Kalau perang Umno dilancar dengan kehadiran cuma 200 orang, bukan hanya orang PR dan rakyat Selangor tersenyum lebar tetapi saya pasti Khir Toyo "tegak misainya" mahu membuktikan betapa gagalnya kepimpinan Noh kerana "perang" apa kalau begitu sahaja kekuatan yang mampu dibariskan.

Ternyata Umno masih belum pulih. MCA dan MIC Selangor kita tak pasti wujud lagi ataupun tidak. Gerakan dan PPP Selangor entah mana batu nisannya. Kerana itu ini bukan masanya kita bersorak dan bercekak pinggang. Ini masanya kita memecut laju memperkemas dan memperteguhkan jentera pilihan raya kita masing-masing baik PAS, DAP mahupun PKR Selangor.

Gerak kerja mendaftar pengundi baru mesti dipertingkatkan. Menurut angka terbaru SPR bagi tempuh berakhir Jan-Jun 2010 PR jauh mengatasi BN di Selangor dalam mendaftarkan pengundi baru. Syabas, tetapi itu pun tidak cukup lagi. Alang-alang kita bertarung dengan BN dan Umno, pastikan mereka pupus terus.

PAS dilaporkan berjaya mendaftar 4,561 pengundi baru bagi tempuh berkenaan iaitu bersamaan 753 pengundi setiap bulan. Bilangan ini masih kecil sedangkan kita bakal bertanding di 20 kerusi DUN iaitu mempertahankan 8 dan bertanding menempuh ADUN Umno di 12 kerusi. Lantaran itu kita perlu bekerja lebih kuat lagi.

Umno sedang longlai, kita jangan turut begitu. Rakyat mengharapkan kepimpinan kita, kita sekarang memegang mandat, jangan mengecewakan pihak yang mengharapkan. Ayuh bersatu menggarab tenaga bekerja untuk Allah demi memartabatkan dasar perjuangan.

Friday, July 23, 2010

Dakwaan ‘cinta’ Saiful, DPP hantui pasukan pendakwa kes liwat Anwar

Dakwaan bahawa salah seorang anggota pasukan pendakwa kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam hubungan 'romantik' dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan mula menghantui pendakwa raya, tetapi status staf muda berkenaan masih belum diputuskan.

Pasukan pendakwa raya belum memutuskan sama ada akan menggugurkan rakan mereka itu apabila perbicaraan disambung semula pada 2 Ogos ini.

Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin awal hari ini mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan mereka, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Mohd Yusof enggan mengatakan sama ada anggota wanita itu akan digugurkan kelak.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof kepada The Malaysian Insider.

Mohd Yusof menekankan, peranan staf itu adalah kecil memandangkan dia bukan “anggota rasmi” dalam pasukan itu apabila kes itu mula didengar.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Saiful dan Farah belum dapat dihubungi untuk reaksi.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

“Jadi, saya tidak boleh mengatakan dia telah digugurkan daripada pasukan ini kerana dia sebenarnya bukan sebahagian daripada pasukan saya, tidak seperti (timbalan pendakwa raya) Noorin (Badaruddin) atau Wong (Chiang Kiat), atau diri saya.

“Dia dibawa untuk membantu tetapi kini kami ada sekurang-kurangnya tiga peguam yang boleh melakukan kerja-kerja menghimpunkan (data) dan kadangkala Noorin juga mengambil nota,” katanya.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

“Saya tidak periksa kehidupan peribadi mereka... jadi saya tidak tahu. Saya tidak boleh komen. Apakah anda boleh percaya Raja Petra? Dia selaku menyebarkan khabar angin,” katanya.

“Saya memberitahu anda yang ini... saya perlu menemui anggota pasukan saya (terlebih dahulu) dan saya akan kembali kepada anda. Bagaimanapun dia bukan bahagian penting dalam pasukan saya, dia hanya akan membantu kami bila kami memerlukannya,” tegas Mohd Yusof.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Nik Aziz: Umno, PAS tidak boleh jalin kerjasama politik

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas PAS dan Umno tidak boleh berunding daripada segi politik kerana kedua-dua parti itu mempunyai dasar parti yang berbeza.

“Keputusan itu bukan keputusan saya, tetapi telah diputus oleh parti (dalam muktamar PAS) di Ipoh dua tahun lepas.

“Tak boleh... Umno dasar lain, PAS lain, tak boleh kerana dasar kedua-dua parti itu berlainan antara satu sama lain,” kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan kilang lombong emas usahasama CNC Goldmine Limited dari China dengan Perdabanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di Kampung Sokor, dekat sini.

Nik Aziz yang juga Pengerusi PKINK berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasaruddin Hassan Tantawi bahawa PAS dan Umno masih mempunyai harapan untuk bekerjasama demi perpaduan Melayu. – Bernama

Thursday, July 22, 2010

'Mengapa k'jaan rahsia kos kontrak pertahanan?'

Seorang senator dari Pakatan Rakyat mempersoalkan sikap kerajaan yang merahsiakan butiran kontrak pertahanan negara.

Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim dari DAP berkata, jawapan yang tidak lengkap dan penolakan terus soalan pembangkang di Parlimen, menunjukkan kerajaan tidak telus dan menyalahgunakan label "rahsia rasmi" untuk menyembunyikan kebenaran.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Dewan Negara hari ini, beliau berkata, kerajaan sering memberi alasan bahawa kontrak pertahanan diklasifikasikan sebagai "rahsia".

"Kami tidak mahu tahu rahsia tentera. Apa yang kita ingin tahu hanyalah prosedur pemberian kontrak pertahanan.

"Lebih penting, ini melibatkan wang kerajaan, wang rakyat. Kita perlu tahu bagaimana ia dibelanjakan," kata Tunku Abdul Aziz.

Beliau merujuk kepada, antara lain, jawapan bertulis Kementerian Pertahanan kepada senator Syed Husin Ali dari PKR hari ini kepada soalannya semalam yang meminta kementerian berkenaan menyatakan nama syarikat yang diberi kontrak pertahanan dan nilai kontrak yang diberikan kepada setiap syarikat.


Dalam jawapan bertulis itu, kementerian berkenaan menamakan 29 syarikat yang diberikan kontrak pertahanan - 15 tempatan dan 14 syarikat asing - tetapi tidak menyatakan nilai kontrak yang diberikan.

Syed Husin, yang turut hadir di sidang akhbar tersebut berkat: "Saya menggesa kementerian itu menyatakan jumlah sebenarnya. Dan jika tidak boleh, maka ia perlu menjelaskan mengapa."

Syarikat yang disenaraikan sebagai kontraktor pertahanan untuk pasukan angkatan tentera termasuklah Naval Shipyard Sdn Bhd, Aviation Holding Company Sukhoi, Sarawak Shipyard Sdn Bhd and Geliga Slipway Sdn Bhd.

PM 'tabur' RM50k untuk dapat liputan akhbar Amerika

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar sebuah firma perunding politik yang berpangkalan di Washington RM50,000 (US$15,000) untuk membantunya memastikan rencana pendapat pengarang yang ditulisnya, diterbitkan di akhbar-akhbar utama di Amerika Syarikat.

Dan sekiranya hasil tulisannya itu disiarkan, maka perdana menteri akan mengeluarkan bayaran tambahan RM50,000 sebagai habuan untuk 'yuran kejayaan' kepada perunding berkenaan.

Perkara ini didedahkan menerusi dokumen yang difailkan di bawah Akta Pendaftaran Agen Asing oleh firma Quinn Gillespie & Associates (QGA), sebuah badan perunding perhubungan awam dan pelobi yang terkemuka di Washington DC.

Menurut dokumen yang diperolehi oleh Malaysiakini, QGA diberi tugas oleh sebuah lagi firma perunding, Kumpulan The Laurus, bagi cuba menyakinkan akhbar utama di Amerika bagi menyiarkan artikel Najib.

Kumpulan The Laurus, sebuah firma perhubungan awam yang diragui dengan laman webnya yang masih dalam pembinaan - juga diberikan tanggungjawab mengendalikan perkhidmatan perhubungan awam ketika lawatan seminggu Najib ke Washington DC dan New York dari 10 hingga 16 April tahun ini.

Najib, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berjumpa dengan Presiden Amerika, Barack Obama pada 12 April lalu di Washington.

Pasangan itu kemudiannya berlepas ke New York bagi upacara penyampaian Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010 kepada Rosmah. Majlis gilang gemilang dan jamuan gala itu turut dihadiri oleh bintang-bintang Hollywood.

'Yuran tak dikembalikan'

Pada surat perjanjian bertarikh 14 April antara dua firma perunding itu – QGA dan Laurus – dinyatakan QGA 'akan membekalkan perkhidmatan perhubungan awam dan media bagi pihak kerajaan Malaysia berhubung penyiaran rencana pendapat pengarang yang dihasilkan oleh perdana menteri Malaysia'.

Menurut perjanjian itu lagi, Laurus akan membayar QGA 'yuran US$15,000 yang tidak boleh dikembalikan sepanjang tempoh bermula 14 April, 2010 dan berakhir pada 20 April 2010'.

'Sekiranya QGA berjaya menempatkan rencana itu di penerbitan media utama, Laurus akan membayar QGA yuran kejayaan US$15,000. Yuran itu mesti dijelaskan dalam tempoh 30 hari selepas artikel berkenaan disiarkan'.

Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyebut akhbar-akhbar utama yang mana tulisan pendapat Najib itu sepatutnya disiarkan.

Semakan dengan beberapa akhbar utama Amerika - Washington Post, New York Times dan Wall Street Journal – menunjukkan tiada rencana pendapat seumpama itu disiarkan.

Na
mun, Washington Times – sebuah akhbar yang dibiayai oleh pemimpin Gereja Unification, Sun Myung Moon – ada menerbitkan lampiran mengenai Malaysia, sehari sebelum Najib melawat ibu negara Amerika itu.

Yang menarik, pejabat kedua-dua Laurus dan QGA terletak di tingkat yang sama di sebuah bangunan di Connecticut Avenue. Washington, DC.

Kumpulan The Laurus juga dipercayai terbabit dengan iklan dua halaman kontroversial di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah kerana menerima anugerah keamanan tersebut.

Najib didakwa terdesak guna ulama tekan, lemahkan PAS

Tuan Ibrahim mendakwa isu rundingan Umno dan PAS sengaja dibangkitkan untuk mengalihkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. – Gambar fail
– Datuk Seri Najib Razak terdesak sehingga terpaksa menggunakan ulama dan mufti dalam isu syor kerjasama Umno-PAS, sekali gus mencetuskan persepsi negatif tentang PAS, dakwa pemimpin-pemimpin parti Islam itu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno menggunakan ulama dan mufti juga kelihatan mahu mengenakan tekanan ke atas PAS dalam isu kerjasama kedua-dua parti.

“Apabila PAS tolak Umno, ia akan memberikan gambaran negatif di kalangan masyarakat bahawa PAS tidak mahukan perpaduan.

“Jadi Najib sengaja menggunakan ulama dan mufti untuk menaikkan semula kredibiliti Umno selepas ia mula hilang kepercayaan di kalangan orang Melayu.

“Bagi saya ia hanya satu kaedah lapuk yang digunakan untuk menjatuhkan pihak pembangkang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.

Beliau juga berkata soal rundingan Umno dan PAS yang dibangkitkan sebelum ini juga adalah untuk mengalihkan perhatian dan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

“Sebelum ini banyak perkara yang telah membangkitkan kemarahan rakyat termasuk pemotongan subsidi, rasuah, judi dan sebagainya, jadi Perdana Menteri sengaja mengalihkan perkara ini.

“Daripada rakyat marah kepada Umno, tukar rakyat marah PAS pula kerana tolak perpaduan,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang ini.

Laporan awal The Malaysian Insider memetik Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebagai berkata Najib bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS demi untuk mempertahankan perpaduan Melayu dan Islam negara ini, dan mahu usaha itu disegerakan tanpa sebarang prasyarat.

Harussani berkata, keperluan itu dibangkitkan selepas Najib mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam semalam.

“Perdana Menteri setuju tapi jangan letak syarat, beliau setuju supaya disegerakan soal perbincangan di antara Umno dan PAS.

“Beliau juga bersetuju supaya perbincangan itu perlu dibuat demi untuk mempertahankan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.”

Menurut Harussani, Perdana Menteri berharap PAS tidak akan berdolak-dalik dalam perkara ini.

Sebelum ini Najib mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

Tuan Ibrahim berkata Umno sengaja menggunakan ulama dan mufti untuk melemahkan PAS yang selama ini memperjuangkan Islam dan orang Melayu.

“Umno kini hanya mahu menyerang PAS, jadi mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk gunakan ulama dan mufti.

“Ini kerana bila rakyat lihat ulama dan mufti sokong Umno maka imej PAS akan jatuh,” katanya.

Beliau juga membidas tindakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang memberikan sokongan kepada Umno tanpa memikirkan soal keperluan rakyat.

“Kenapa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam perlu sokong Umno?

“Sepatutnya mereka perlu ambil peranan dengan membantah segala kemungkaran yang dilakukan Umno sepanjang memerintah negara.

“Daripada ajak PAS untuk bekerjasama, lebih baik Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pastikan negara dipimpin dengan berpandukan Islam dan perintah Allah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga mendakwa Umno memang sudah tenat dan terdesak kerana sanggup menggunakan mufti Perak untuk berbohong mengatakan terdapat pimpinan PAS yang meminta beliau menguruskan perpaduan PAS-Umno.

“Saya mengajak rakyat Malaysia melihat akan tingkah laku Umno akhir-akhir ini.

“Rakyat Malaysia boleh melihat sendiri kelakuan Umno penghujung hayat mereka,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini sambil menambah institusi agama seperti pejabat mufti pun sanggup diperkudakan.

“Semuanya ‘halal’ bagi mereka, asalkan dapat terus berkuasa.

“Duli, kini dan selamanya Umno menipu rakyat. Sekarang bila semua sudah melihat kemungkaran mereka barulah terlolong ingin menyatupadukan bangsa Melayu.

“Inilah balasan kepada sikap bongkak, sombong dan kezaliman mereka.

“Kezaliman mereka bukan sahaja terhadap rakyat, malah alam semula jadi Malaysia pun mereka menzalimi demi memenuhi kerakusan mereka,” katanya.

Mahfuz berkata beliau berkeyakinan umat Islam dan bangsa Melayu ingin melihat Umno dimuziumkan beserta kebobrokan, kezaliman dan kerakusannya dalam pilihan raya umum ke-13.

Kerana Pasir Umno Selangor Berpecah ?

Persaingan di kalangan pemimpin Umno Selangor dalam mengutarakan isu pasir kini dilihat semakin ketara, terutama di antara kem penyokong Datuk Seri Khir Toyo dan Datuk Noh Omar.

Kedua
-dua pihak dilihat saling ke hadapan dalam mengutarakan isu kecurian pasir yang kian membelenggu pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat, namun usaha ini berlangsung secara berasingan dan tidak secara bersepadu.

Pada 11 Julai lalu, Khir yang juga ketua pembangkang DUN Selangor, bertindak membawa media ke kawasan melombong pasir di kawasan Kampung Bukit Changgang di daerah Dengkil.

Kemudiannya, pada 14 Julai pula, Noh pula memberi kenyataan kepada media selepas meninjau aktiviti pengeluaran pasir, dengan menaiki helikopter di sekitar Dengkil, Kuala Langat dan Batang Berjuntai.

Khir, pada malam semalam pula bertindak membawa beberapa orang penulis blog untuk meninjau satu kawasan perlombongan pasir di Kuala Selangor sehingga jam 1 pagi.

Kalangan penulis blog pro-Umno ini dikatakan tidak begitu menyukai Noh - yang juga timbalan ketua perhubungan Umno Selangor - yang pernah mencemuh golongan blogger sebagai kumpulan "musang berbulu ayam."

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Khir bagaimanapun menafikan wujudnya persaingan antara mereka dan menyifatkan hubungan mereka kini dalam keadaan baik.

'Membesar bersama'

"Saya membesar sekali dengan beliau di satu kampung. Takkanlah kami hendak bergaduh.

"Saya sebagai pemimpin di peringkat negeri, Datuk Noh di peringkat persekutuan. Apabila dia pun (jalankan usaha sama), ini seolah-oleh memberi sokongan kepada usaha kita," jelasnya.

Persaingan antara kedua pemimpin ini mula dilihat susulan daripada cadangan untuk membolehkan jawatan pengerusi perhubungan Umno di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat diserahkan semula kepada pemimpin tempatan.

Jawatan pengerusi perhubungan Umno akan melayakkan penyandangnya dilantik sebagai menteri besar, sekiranya parti tersebut kembali menguasai negeri berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Cadangan itu disuarakan seorang naib presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi - dengan tujuan memulihkan kembali kekuatan parti di Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pada masa ini, jawatan tersebut disandang oleh pemimpin tertinggi Umno. Di Selangor, jawatan tersebut dipegang presidennya sendiri, Datuk Seri Najib Razak, Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Pulau Pinang (Ahmad Zahid), Kedah (Datuk Shafie Apdal) dan Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Khir bagaimanapun menegaskan, Umno Selangor menyokong Najib sepenuhnya sebagai ketua Umno Selangor dan aturan tersebut tidak seharusnya ditukar.

"D
i negeri lain saya tidak tahulah, tapi Selangor menyokong sepenuhnya Datuk Najib sebagai pengerusi perhubungan.

"(Najib) menjalankan tugas dengan baik. Umno Selangor selesa dengan (aturan) ini dan kita minta Datuk Najib kekalkan," katanya yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar.

Tambahnya, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada keputusan majlis tertinggi Umno yang bermesyuarat petang ini sama ada untuk memutuskan sebaliknya.

Wednesday, July 21, 2010

Najib: Bahagian tiada masalah tanpa Mat Taib

Umno bahagian Kelana Jaya masih mampu beroperasi seperti biasa walaupun tugas ketua bahagiannya kini telah dipangku timbalan ketua bahagian itu, kata presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, isu itu juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno petang ini.

"Tak bincang, tapi bahagian Kelana Jaya boleh teruskan. Tak ada masalah," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu petang ini.

Setelah dilaporkan memberikan mandat kepada timbalannya Datuk Yahya Bujang bermula April tahun lalu, terdapat desakan daripada akar umbi supaya Muhammad melepaskan jawatan.

Desakan itu dibuat antaranya bagi memastikan Umno bahagian itu mencapai segala objektif dan fungsi yang ditetapkan.

Setelah 'diam' selepas tewas dalam pemilihan agung Umno sebelum ini, Muhammad tidak pernah lekang daripada menjadi mangsa spekulasi, antaranya dakwaan beliau bakal keluar parti.

Ia antaranya ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tahun lalu bahawa Muhammad mengakui perubahan yang Pakatan dalam satu pertemuan pada November tahun lalu.

Khalid juga mendakwa, dalam pertemuan itu, Muhammad juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengannya "untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar.

Dalam sidang media petang ini, Najib turut ditanya lanjut berkaitan tindakan ketua bahagian itu Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menyerahkan tugas ketua bahagian itu kepada timbalan beliau.

"Tak apalah dia (Muhammad) delegate (serahkan kuasa). Kita terima, jalanlah macam biasa.

"Kalau dia (Muhammad) delegate, dia (timbalan) ada kuasa sebagai pemangku ketua," kata perdana menteri.

Tuesday, July 20, 2010

Umno Selangor dilanda ‘perang tonjol’ pengaruh?


Selepas tewas teruk dalam pilihan raya umum 2008 tanpa diduga, puak-puak dalam Umno Selangor kini bekerja keras untuk menonjolkan pengaruh dan kekuatan masing-masing di kaca mata kepimpinan pusat.

Ahli-ahli Umno di peringkat Umno Selangor Umno berpecah kepada aliran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd. Khir Toyo yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Kedua-dua pemimpin ini bergerak bersendirian untuk menggerakkan usaha memperlekeh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bagi menarik perhatian Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Ia terbukti dalam isu pasir yang menjadi perhatian sejak awal minggu lalu.

Khir yang sebelum ini dipersalahkan atas kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu dan Noh pula kini anggota Kabinet persekutuan, dikatakan cuba memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai bakal menteri besar jika BN kembali berkuasa di Selangor.

“Kelihatan kedua-dua bersaing satu sama lain untuk mendapatkan perhatian berbanding bekerjasama demi memperkukuh kekuatan Umno Selangor,” kata seorang wakil rakyat peringkat negeri yang enggan namanya didedahkan.

Pemerhati pula berpendapat situasi yang pernah disaksikan di Kelantan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1990 mula wujud di Selangor sekarang.

Kedua-dua pemimpin itu mencabar pentadbiran kerajaan negeri dengan mendakwa wujudnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir di Selangor.

Khir dan Noh mendedahkan perkara itu dengan mengadakan sidang media berasingan baru-baru ini.

Bekas menteri besar membawa pemberita ke Kampung Bukit Changgang di Dengkil pada 11 Julai untuk mendedahkan perlombongan pasir haram, yang menurutnya menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun anak syarikat pasir kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd menafikan dakwaan itu.

Dua hari kemudian Noh pula menyewa sebuah helikopter untuk melihat sendiri kawasan perlombongan pasir di kawasan Kuala Langat dan Batang Berjuntai dari udara.

Kedua-dua pemimpin itu menafikan wujudnya keretakan dalam hubungan mereka.

Ketua Penerangan Umno Selangor Umno, Abdul Shukor Idrus juga menafikan wujudnya masalah di antara Noh dan Khir.

“Kedua-dua mereka masih kawan dan tiada sebarang masalah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang ini kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Noh dan Khir bertungkus lumus untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan di arena politik domestik, khususnya di kaca mata Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Noh, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, juga memperoleh sokongan yang dinikmati Khir di kalangan wakil rakyat Umno di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Barisan 19 wakil rakyat itu dikatakan berpecah dua masing-masing kepada Khir dan Noh.

Sementara waki rakyat lama memihak kepada Khir atas alasan menikmati sokongan daripada pentadbirannya sebelum ini, yang baki menunggu pengesahan Najib dalam menentukan bakal kepimpinan negeri Umno-BN.

Mereka melihat Noh akan mengetuai negeri jika BN kembali bertapak di Selangor.

Di sebalik persaingan itu, Umno Selangor juga berhadapan dengan krisis baru ekoran ada usaha meminta bekas menteri Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dari 1986 hingga 1997, agar mengosongkan jawatan ketua Umno Kelana Jaya.

Bekas naib presiden Umno ini yang mesra dikenali sebagai “Mat Tyson” masih memiliki pengaruhnya dan ia telah diperlihatkan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor April lalu.

Bagaimanapun Abdul Shukor mengetepikan tekanan dan teguran beberapa pihak mengenai kedudukan Muhammad dengan berkata, beliau kini dalam peringkat “separa persaraan”, cuma belum lagi membuat pengumuman rasmi.

“Beliau telah pun menurunkan tanggungjawab peringkat bahagian itu kepada timbalannya Datuk Yahya Bujang,” katanya.

Turut mendapat perhatian ramai ialah kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri empat penggal, Datuk Mohamad Satim Diman.

Muncul spekulasi bulan lalu yang mengatakan wakil rakyat Sri Serdang itu akan melepaskan kesemua jawatan politik.

Ketidakhadiran Setiausaha Perhubungan Selangor juga menimbulkan spekulasi dengan sesetengah blog mendakwa beliau sudah tidak berupaya untuk memberi khidmat sebagai pemimpin Umno dan wakil rakyat.

Bagaimanapun minggu lalu, Satim menafikan yang beliau akan melepaskan kesemua jawatannya.

Pun begitu, masih wujud rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai mengenai peranan ahli politik veteran ini, yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti 45 undi pada 8 Mac 2008.

“Sebagai ketua BN Puchong beliau tidak pernah memanggil mesyuarat sejak 2008 dan beliau tidak kelihatan di kawasan,” kata Ketua MIC Puchong Awtar Singh.

Awtar, yang satu ketika dulu pembantu khas Satim menambah, ahli politik itu telah gagal dalam tanggungjawab sebagai wakil rakyat pembangkang.

“Beliau telah gagal dalam menyuarakan kelemahan kerajaan Pakatan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Umno Puchong Datuk Radin Mokthar sebelum ini telah menafikan wujudnya masalah dengan kepimpinan Satim, sebaliknya mengendalikan urusan parti seperti biasa.

Umno anjur konvensyen bagi rampas semula Kedah

Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menganjurkan konvensyen pada 31 Julai ini bagi membincangkan lapan perkara yang menjadi asas gerakan untuk mengambil semula negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata konvensyen sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu akan dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat negeri dan bahagian.

"(Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi, diikuti lapan sesi bengkel dengan setiap bengkel disertai antara 100 dan 120 peserta.

"Pelbagai isu akan dibincang pada sesi bengkel itu dan setiap peserta boleh menyuarakan idea dan cadangan bagi memantapkan perjalanan dan gerak kerja parti ke arah pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Alor Star hari ini.

Beliau berkata resolusi daripada konvensyen itu akan menjadi 'blue print' terhadap gerak kerja Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Resolusi konvensyen itu akan disalur kepada akar umbi bagi membolehkan mereka memahami tindakan yang telah disusun dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum nanti," katanya.

- Bernama

Gagal dapat perlindungan, Tharmendran pilih penjara

Bekas Sarjan TUDM, N Tharmendran membatalkan ikatjamin terhadap dirinya selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.

Tharmendran memfailkan permohonan perintah perlindungan di sebuah balai polis berhampiran.

Kehadiran dua pegawai TUDM yang berada di perkarangan mahkamah mengusarkan peguam-peguam Tharmendran yang bimbang anak guamnya itu akan 'ditahan.'

Berikutan pembatalan ikatjamin itu, Tharmendran akan kembali ke Penjara Sungai Buloh - dua minggu selepas dibebaskan dengan ikatjamin RM50,000.

Tharmendran berdepan dengan tuduhan mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.

Peguam utamanya, N Surendran berkata Tharmendran membuat permohonan tersebut kerana dia bimbang akan dibawa oleh pegawai TUDM yang sedang menunggu di luar dewan mahkamah.

"Ini menunjukkan bahawa orang yang pernah diseksa sebelum ini, tidak mahu diseksa lagi," kata Surendran mengenai dakwaan pelanggannya diseksa oleh pegawai perisik tentera.

Surendran mendakwa terdapat cubaan dari pihak TUDM untuk menangkap anak guamnya itu untuk dibawa balik ke Pangkalan TUDM 16 Julai lalu.

Menurutnya, beberapa kakitangan tentera udara - tiga lelaki dan seorang wanita - muncul di rumah Tharmendran di Seremban Jumaat lalu bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".

"Ibu bapanya bagaimanapun berkata mereka tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain," kata Surendran.

"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletakkan jawatan 28 Mei lalu," kata Surendran.

Hadir pada perbicaraan ini adalah tertuduh bersama K Rajandran Prasad, yang diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.

Pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ishak Muhamad Yusof.

Mahkamah sesyen menetapkan 6 September sebagai tarikh sebutan kes dan sambungan perbicaraan.

Alasan barang naik BN melucukan;Senator

Senator pembangkang hari ini mendapati alasan yang diberikan untuk kenaikan 5-dalam-1 membabitkan petrol, diesel, gula dan petroleum gas cecair (LPG) berkuatkuasa Jumaat lalu sebagai 'melucukan'.

Apa sekalipun nama yang diberikan, kenyataan ialah harga telah naik,” kata Senator Syed Husin Ali dari PKR.

Antara alasan yang diberikan olek kerajaan untuk mengurangkan subsidi gula ialah sebab kesihatan - yang dianggap Syed Husin sebagai tidak masuk akal.

"Daging juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Telur dan mentega pula boleh meningkatkan kadar kolesterol - jadi adakah kerajaan akan menaikkan harga barangan itu atas alasan kesihatan?” soalnya.

Kaya bertambah kaya

Katanya, pengurangan subsidi, kgususnya yang barangan keperluan seperti petrol dan gula hanya membebankan golongan berpendapatan rendah. Tetapi pada masa yang sama pembekal tenaga bebas (IPP) mendapat subsidi RM19 bilion.

"Yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin terpaksa merana,” katanya di lobi senat hari ini.

Huj
ah bahawa barangan keperluan di beberapa negara adalah lebh tinggi juga dianggap Syed Husin yang merupakan timbalan presiden PKR sebagai mengarut.

"Ada negara di mana, berasnya lebih murah dari harga di Malaysia, ada negara byang dagingnya lebih murah dan ada juga negara yang buah-buahannya lebih murah,” katanya.

Minggu lalu kerajaan mengumumkan kenaikan beberapa barangan keperluan berkenaan.

Hadir bersama pada sidang media ini adalah Tunku Abdul Aziz Ibrahim (DAP), S Ramakrishnan (DAP) dan Kamal Mohd Yusoff (PKR).

berita terdahulu

Related Posts with Thumbnails

AL - QURAN

Listen to Quran